LATIHAN tulisan bersambung atau 'cursive writing' perlu diadakan semula untuk bantu koordinasi mata dan tangan.
LATIHAN tulisan bersambung atau 'cursive writing' perlu diadakan semula untuk bantu koordinasi mata dan tangan.
Nurul Husna Mahmud


KERAP kedengaran rungutan ibu bapa ketika membantu anak-anak mereka menyiapkan lembaran kerja disebabkan sikap culas anak untuk menulis.

Ada juga ibu bapa yang†berdepan konflik iaitu anak-anak mengamuk dan meragam kerana tidak mahu menulis.

Sesetengah ibu bapa berpendapat, anak-anak yang enggan menulis menjadi punca mereka tidak mendapat latihan mencukupi.

Tidak hairanlah kelompok generasi sekarang mempunyai tulisan tidak kemas atau cakar ayam sehinggalah peringkat universiti kerana kurangnya aktiviti menulis.

Bagi Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad, dasar kepada permasalahan itu sebenarnya berpunca daripada kurangnya pendedahan anak-anak terhadap persiapan (pre-preparation) mengukuhkan kemahiran motor halus.

"Dalam perkembangan anak-anak terutama sebelum usia sesuai untuk proses pembelajaran iaitu lapan atau sembilan tahun, perkembangan lain terutama fizikal berkaitan kemahiran motor halus dan kasar perlu dimantapkan.

"Anak jadi culas untuk menulis bukan kerana bosan tetapi sebahagian besar mereka tidak melalui proses persediaan oleh ibu bapa atau penjaga sebelum menguasai skil menulis.

BERMAIN ikhtiar hidup dan menghantar mesej menerusi permainan kapal terbang kertas satu lagi contoh aktiviti menjadikan menulis suatu yang menarik.
BERMAIN ikhtiar hidup dan menghantar mesej menerusi permainan kapal terbang kertas satu lagi contoh aktiviti menjadikan menulis suatu yang menarik.

"Proses persediaan membabitkan aktiviti pengukuhan motor halus yang berkait rapat dengan kemahiran dan kemampuan menulis dengan baik.

"Kesannya, anak itu berasa menulis adalah aktiviti sukar dan melangkaui kemampuan mereka," katanya.

Ditambah dengan kegagalan ibu bapa mengesan permasalahan itu, tekanan lebih dirasai anak-anak kerana latihan diberikan tidak membantu menangani masalah itu.

"Biasanya ibu bapa yang bimbang atau melihat anak tidak dapat menulis dengan baik, mereka akan beri lembaran kerja atau aktiviti menulis dengan banyak.

"Anak akan berasa tertekan kerana tugasan diberi tidak membantu masalah yang berpunca dari kekurangan penguasaan kemahiran motor halus," katanya.

PENGGUNAAN teknologi juga punca kepada aktiviti menulis yang berkurangan.
PENGGUNAAN teknologi juga punca kepada aktiviti menulis yang berkurangan.

Berhadapan masalah anak yang mempunyai kesukaran menulis dan tidak mempunyai tulisan menarik, kata Anisa, penyelesaian adalah mudah.

"Kalau ibu bapa faham mengenai perkembangan kemahiran motor halus, aktiviti untuk bantu anak mereka tidaklah rumit.

"Pendekatan dengan kaedah bermain lebih mudah dan sesuai dengan perkembangan anak.

"Bermula dengan peringkat usia bayi lagi sebenarnya kemahiran motor halus boleh didedahkan kepada mereka.

"Ketika dia sudah boleh memegang, ibu bapa boleh berikan mainan lembut seperti bola untuk digenggam.

"Peringkat seterusnya, galakkan aktiviti melatih kemahiran motor halus dengan tugasan mudah seperti kolaj. Menerusi kerja koyak kertas dan aktiviti tampal kertas semua gerakan jari dirangsang.

"Begitu juga dengan aktiviti mengutip manik atau batu menggunakan ibu jari serta jari telunjuk. Semua aktiviti ini latih perkembangan motor halus mereka," katanya.

MENGUTIP batu atau mengoyak kertas antara aktiviti baik untuk perkembangan awal anak.
MENGUTIP batu atau mengoyak kertas antara aktiviti baik untuk perkembangan awal anak.

Kata Anisa lagi, menulis atau mempunyai tulisan buruk juga dialami golongan dewasa terutama sebaik kerja menulis sudah diambil alih peranan teknologi seperti komputer dan telefon pintar.

"Masalah itu lebih mencabar apabila teknologi terlalu maju sehingga mengabaikan kaedah lama yang membantu melatih kemahiran menulis.

"Seperti pelajar sekolah era 80-an hingga 90-an yang mana diajar mengenai teknik tulisan bersambung atau 'cursive writing,' kaedah itu berkait dengan kesinambungan melatih menulis.

"Malah kaedah itu juga dilihat terapi dan melatih skil motor halus meskipun pada peringkat usia dewasa. Bukan sahaja tulisan menarik, ia meningkatkan ketajaman koordinasi mata dan gerakan tangan menjadi lebih lebih harmoni," katanya.

Memiliki kelancaran dalam menulis juga dikatakan memberikan efek emosi lebih tenang kepada individu.

Anisa turut menyarankan supaya ibu bapa lebih aktif dan kreatif membantu anak uang mengalami masalah menulis.

Berikut aktiviti yang boleh dijadikan sokongan kepada latihan menulis.

1. Menguli doh

Ketika ibu bapa menyediakan kuih untuk minuman petang berikan sedikit doh kepada anak. Menerusi aktiviti menguli, anak-anak didedahkan dengan pergerakan tangan dan jari yang juga penting dalam perkembangan motor halus.

2. Berkebun

Aktiviti berkebun seperti mengutip batu, daun dan memetik buah antara latihan yang dapat menyokong kemahiran menulis.

3.Main peranan

Aktiviti bermain masak-masak, ikhtiar hidup dan juga kapal terbang kertas antara pendekatan menjadikan aktiviti menulis itu seronok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 6:20 AM