TERNAKAN arnab diusahakan di kawasan rumah.
TERNAKAN arnab diusahakan di kawasan rumah.
Teks dan foto Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my

SIAPA sangka, arnab yang mulanya dipelihara untuk suka-suka sebagai hobi pada 2018, kini berubah menjadi sumber pendapatan utama buat Mohd Fadil Baharuddin, 50.

Malah, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac tahun lalu yang menjejaskan sumber pendapatannya sebagai pengedar jus kurma, penternakan arnab menjadi penyambung rezekinya.

Mohd Fadil berkata, dia bermula dengan hanya memiliki empat ekor arnab termasuk tiga daripadanya baka induk.

Kini, ternakan arnabnya sudah lebih 200 ekor meliputi jenis arnab pedaging dan hiasan yang diletakkan dalam 100 sangkar.

Dia turut menjadikan kawasan sekitar rumah lot tepi di Taman Rasa Sayang Senawang Negeri Sembilan, sebagai 'ladang' menternak arnab daging secara komersial.

Mohd Fadil berkata, arnab antara haiwan yang cepat membiak dan tidak mudah dijangkiti penyakit sekali gus memudahkan ia diternak.

Katanya, walaupun pernah mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila lebih 200 ekor haiwan itu dibaham anjing liar dalam tiga kejadian berasingan tahun lalu, ia tidak sesekali mematahkan semangatnya.

"Permintaan terhadap daging arnab sentiasa bertambah dan kadangkala ia tidak mampu dipenuhi kerana ada peniaga yang membuat tempahan dari luar Negeri Sembilan.

"Setakat ini, saya mempunyai lebih 100 pelanggan tetap yang memerlukan bekalan daging segar dan sejuk beku antara lima hingga 10 kilogram (kg) sebulan.

"Harga bagi sekilogram daging arnab bersih adalah RM35 manakala sejuk beku RM45," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut bapa kepada lima anak berusia antara 10 hingga 25 tahun itu lagi, selain menjual daging segar, dia juga membekalkan baka atau anak arnab berumur dua bulan dengan harga antara RM80 hingga RM150 seekor.

Kata Mohd Fadil, arnab yang diternak membabitkan beberapa jenis antaranya baka Parsi dan Anggora yang berumur sebulan setengah ke atas.

MAKANAN seperti dedak turut diberi.
MAKANAN seperti dedak turut diberi.

"Walaupun arnab tidak begitu sukar diternak berbanding haiwan lain, cabarannya tetap ada.

"Antaranya ialah kos makanan dan aspek keselamatan arnab yang terdedah kepada binatang pemangsa seperti anjing liar.

"Secara keseluruhan, kos perbelanjaan sekitar RM500 sebulan untuk makanan palet, tetapi dengan penggunaan daun segar dan semula jadi sebagai makanan tambahan, ia dapat mengurangkan kos yang perlu ditanggung," katanya.

Jelas Mohd Fadil, arnab yang makan daun tumbuhan semula jadi mempunyai kelebihan terutama dari segi kualiti dagingnya lebih baik dan kenyal.

Katanya, antibodi haiwan itu juga lebih kuat jika memakan sumber alam semula jadi dan tidak mudah diserang penyakit.

"Ia adalah antara faktor pelanggan menyukai arnab yang saya ternak kerana ia bersifat organik walaupun belum sepenuhnya," katanya yang berjaya menjual lebih 1,500 arnab sepanjang tempoh PKP 2.0 dan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akhir tahun lalu.

Sementara itu, bagi memastikan tahap pembesaran dan kesihatan arnab berada pada tahap terbaik, Mohd Fadil sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veteriner Negeri Sembilan (JPVNS).

Kata Mohd Fadil, pihaknya mahu memastikan kepentingan pengguna sentiasa dijaga dengan memastikan arnab atau daging yang dijual berkualiti.

Malah dia turut bercadang membesarkan projek ternakan itu bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meluas, bukan saja di Negeri Sembilan malah di negeri lain.

"Permintaan arnab pedaging bertambah termasuk dari Johor, Selangor dan Melaka dan saya juga berhasrat menternak arnab organik selepas ini.

"Sambutan yang menggalakkan itu mendorong saya mengembangkan projek penternakan arnab ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 6:30 AM