MENGGUNAKAN Re-Circulating Aquaculture System.
MENGGUNAKAN Re-Circulating Aquaculture System.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


BERMULA sekadar hobi, kini dia dan isteri mampu berbangga dengan ternakan udang kara yang diusahakan sejak lapan tahun lalu apabila mula membuahkan hasil.

Apa tidaknya, syarikat SMaju Agro Venture yang diusahakan Suhaidy Shuib, 36, dan isterinya, Aishah Zakariah, 36, di Hulu Langat, Selangor kini menjadi satunya-satunya hab pengumpulan dan tumpuan penternakan udang kara di negara ini di bawah Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Selangor.

Menerusi keluasan 0.4 hektar, sebanyak 74 tangki disediakan untuk menempatkan udang kara dengan nama saintifiknya Cherax Quadricarinatus atau lebih dikenali 'red claw' menggunakan Re-Circulating Aquaculture System (RAS).

Suhaidy yang bertugas sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan SMaju Agro Venture berkata, pada mulanya dia memelihara pelbagai hidupan akuatik seperti ikan arowana dan ikan kap sebagai hobi kemudian tercetus idea untuk menjana pendapatan sampingan menerusi hobi terbabit.

"Selepas membuat kajian, pada 2013, saya berjumpa seorang guru dari Melaka yang memberi tunjuk ajar dan membuka mata bahawa udang kara memiliki potensi besar.

"Kemudian saya buat keputusan untuk meletak jawatan sebagai penjawat awam dan fokus dengan ternakan udang kara," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya bermula dengan 100 udang kara yang dipelihara di kediamannya.

"Hanya menggunakan simpanan sedia ada dan bantuan ibu bapa sebagai modal, saya mulakan ternakan di rumah.

TERNAKAN udang kara memiliki potensi untuk berkembang.
TERNAKAN udang kara memiliki potensi untuk berkembang.

"Kemudian saya berpindah ke sini (Hulu Langat) dan memperoleh geran menerusi Program Agropreneur Muda. Pada 2019 saya dapat geran daripada Jabatan Perikanan dan LPP Selangor untuk menjadi hab pengumpulan serta tumpuan penternakan udang kara," katanya.

Mengulas lanjut, menerusi kerjasama yang dijalankan dengan Jabatan Perikanan dan LPP Selangor ini, pihaknya menjadi orang tengah membantu penternak udang kara lain.

"Menerusi peruntukan dan teknikal, kami membeli ternakan udang kara termasuk benih daripada penternak lain dengan syarat yang ditetapkan untuk dipasarkan pada harga yang dipersetujui.

"Kita juga jalankan Projek Entrepreneur Ternakan Udang Kara Selangor (PETUKAR Selangor) bersama Pertubuhan Peladang Kawasan Hulu Langat untuk lahirkan belia Selangor menceburi bidang ternakan akuakultur dan melahirkan penternak asuhan SMaju Agro Venture," katanya.

Menurutnya, udang kara lebih mudah dipelihara biarpun tinggal di kawasan bandar.

SUHAIDY
SUHAIDY

"Udang kara menggunakan air tawar, jadi ia tidak menjadi masalah untuk diternak biarpun di belakang di rumah dan ruang yang terhad.

"Bagaimanapun, pemahaman kualiti air dan penyakit juga penting untuk pastikan udang kara dalam keadaan baik," katanya.

Jelasnya, untuk lebih memahami mengenai udang kara, beliau banyak mengambil inisiatif sendiri dengan mendekati pelbagai pihak untuk mendalami ilmu ternakan.

UDANG kara bersaiz enam inci sesuai untuk dimakan dan pasaran restoran.
UDANG kara bersaiz enam inci sesuai untuk dimakan dan pasaran restoran.

"Saya kerap ke Jabatan Perikanan, untuk faham secara am mengenai penternakan hidupan air tawar dan prosedur operasi standard (SOP) biosekuriti yang dikeluarkan Jabatan Perikanan.

PRODUK hiliran yang dikeluarkan SMaju Agro Venture untuk menjana pendapatan tambahan.
PRODUK hiliran yang dikeluarkan SMaju Agro Venture untuk menjana pendapatan tambahan.

"Selain itu, saya berjumpa ramai orang lama kerana daripada pengalaman mereka, kita dapat pelajari banyak perkara yang tiada dalam buku dan internet," katanya.

Bukan setakat itu, beliau juga menjalin kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkaitan udang kara.

"Menerusi kerjasama ini, kami berjaya menghasilkan palet khas untuk udang kara yang akan dipasarkan dalam masa terdekat.

KIT ujian pengesan penyakit udang kara.
KIT ujian pengesan penyakit udang kara.

"Selain itu, kami bekerjasama dengan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul dan Institut Biosains UPM untuk keluarkan kit ujian (masih fasa pembangunan prototaip) pengesanan penyakit udang kara yang diketuai Prof Madya Dr Mariatulqabtiah Abdul Razak," katanya.

TEKNOLOGI Internet of Things (IoT) untuk memantau kualiti air dengan telefon pintar.
TEKNOLOGI Internet of Things (IoT) untuk memantau kualiti air dengan telefon pintar.

Beliau turut menyediakan produk hiliran sendiri dengan membuka tempahan untuk pelbagai jenis masakan udang kara termasuk 'Buttermilk,' 'Dried Chilies' dan 'Butter Garlic.'

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami hanya buka tempahan secara pandu lalu dan penghantaran ke rumah," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, katanya, dia mahu meletakkan udang kara sebagai spesies yang diiktiraf sebagai produk bernilai tinggi supaya mudah dipasarkan kepada industri.

PALET yang dihasilkan dengan kerjasama UPM.
PALET yang dihasilkan dengan kerjasama UPM.

"Untuk syarikat, saya merancang jadikan kawasan ini sebagai kawasan agropelancongan supaya masyarakat lebih mengetahui mengenai udang kara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 7:01 AM