MOHAMAD Rizal menunjukkan arnab baka New Zealand White yang diternaknya.
MOHAMAD Rizal menunjukkan arnab baka New Zealand White yang diternaknya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.ny

SAMBUTAN menggalakkan terhadap daging arnab mendorong anak muda, Mohamad Rizal Adha Mohd Johari, 27, menternak haiwan berkenaan secara komersial sejak empat tahun lalu.

Bermula sebagai hobi, Mohamad Rizal yang juga bekas kakitangan kerajaan kini sudah memasarkan lebih 3,000 ekor arnab ke seluruh negara.

Kata Mohamad Rizal, dia membeli baka tempatan jenis New Zealand White dan kemudian membiakkan haiwan itu di belakang rumahnya di di Kampung Tok Machang Ulu Gali, Raub, Pahang.

Katanya, menternak arnab pedaging mudah dan tidak memerlukan modal atau perbelanjaan makanan yang terlalu besar berbanding ternakan lain seperti ayam, itik serta kambing.

"Arnab jenis baka New Zealand White juga memiliki lebih banyak daging berbanding jenis lain.

"Seekor arnab jenis itu boleh mencapai berat kira-kira dua kilogram (kg), namun selepas diproses (dicuci) beratnya hanyalah sekitar 1.1 kg.

"Dagingnya dijual sekitar RM35 sekilogram," katanya kepada Agro.

Menurut Mohamad Rizal, pihaknya tidak menang tangan memenuhi permintaan pasaran daging arnab kerana hanya mampu menyediakan kira-kira 150 hingga 200kg setiap bulan.

TERNAKAN arnab pedaging semakin mendapat perhatian.
TERNAKAN arnab pedaging semakin mendapat perhatian.

Katanya, dia menjual kepada peraih untuk pasaran sekitar Selangor.

"Daging arnab kini semakin digemari masyarakat, ada restoran yang menyajikan hidangan sate arnab, arnab salai, arnab golek dan sebagainya.

"Ia menjadi pilihan ramai kerana isinya lembut dan manis, " katanya.

Kata bapa kepada empat anak itu lagi, kos untuk makanan bagi seekor arnab sehingga mencapai usia yang sesuai untuk dijual atau disembelih adalah sekitar RM12 hingga RM15.

Menurutnya untuk daging, arnab yang sesuai disembelih adalah berusia kurang tiga bulan kerana jika lebih daripada itu, isinya agak liat.

"Bagi arnab hidup untuk dijadikan baka pula, biasanya berusia antara dua hingga tiga bulan.

SANGKAR yang dijual kepada orang ramai.
SANGKAR yang dijual kepada orang ramai.

IBU arnab menjaga anak yang baru dilahirkan.
IBU arnab menjaga anak yang baru dilahirkan.

"Harganya juga berbeza iaitu RM50 bagi usia dua bulan dan RM70 untuk usia tiga bulan.

"Arnab induk yang sudah sedia dibiakkan pula berusia enam bulan ke atas dan ia dijual RM250 seekor tidak kira jantan atau betina," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Rizal berkata, arnab juga susah dijangkiti penyakit dan mudah dijaga kerana hanya makan dalam kuantiti yang sedikit setiap hari.

Namun, katanya, dia masih perlu memantau sekiranya arnab ternakannya mengalami cirit-cirit atau jangkitan kurap.

"Dalam sehari, arnab hanya makan kira-kira 100 gram palet (dedak) dan selebihnya minum air.

"Waktu makannya juga berbeza daripada haiwan ternakan lain iaitu hanya bermula pada sebelah petang hingga ke malam ketika cuaca tidak panas," katanya.

NETSBOX untuk kemudahan ibu arnab menjaga dan menyusukan anak baru lahir.
NETSBOX untuk kemudahan ibu arnab menjaga dan menyusukan anak baru lahir.

SANGKAR khas untuk arnab induk.
SANGKAR khas untuk arnab induk.

Selain daging dan baka arnab, Mohamad Rizal turut menjual sangkar ternakan serta peralatan menternak haiwan berkenaan.

Katanya, barangan asas peralatan terbabit diimport dari China dan dipasang sendiri di rumahnya.

"Paling laris adalah sangkar jenis bertingkat sama ada tiga atau empat tingkat yang sememangnya boleh menjimatkan ruang.

"Terdapat juga 'netsbox' bagi kemudahan arnab betina menyusukan anak yang baru lahir dan semua barangan itu dijual menerusi dalam talian," katanya yang tetap yakin industri ternakan arnab pedaging mempunyai masa depan cerah di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 6:30 AM