SAIZ anak pokok biasa dibawa masuk dari Thailand. FOTO U&U Global Enterprise
SAIZ anak pokok biasa dibawa masuk dari Thailand. FOTO U&U Global Enterprise
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

TANAMAN eksotik kian mendapat perhatian penggemar tanaman baik hiasan atau tujuan memperoleh buah.

Pengamatan penulis, pokok kurma boleh dikelaskan antara tanaman eksotik tempatan kerana tanaman itu berasal dari Timur Tengah dan kini mula ditanam penduduk negara ini.

Boleh dikatakan tanaman 'survival' ini lebih kepada tanaman landskap, namun peminatnya tidak menolak nilai komersial termasuk untuk tujuan tuaian buah segar seperti di Thailand.

Pengusaha anak pokok kurma dan juga pengasas U&U Global Enterprise, Jamaludin Maideen yang mula membawa masuk tanaman ini dari Chiang Mai, Thailand sejak 2015 lagi, tertarik dengan usahawan tani di negara itu yang lebih maju apabila menjadikan pokok kurma sebagai antara tanaman komersial alternatif.

"Saya pergi ke Thailand dan mempelajari mengenai pokok kurma dinamakan 'kolak' yang didapati menerusi semaian benih oleh Profesor Sam Lak Juan. Saya mendapat tahu petani Thailand menanam pokok kurma sebagai tanaman alternatif menguntungkan berdasarkan hasil jualan buah kurma segar selain diproses menjadi pelbagai produk dijual di pasar raya besar.

"Oleh itu, saya cuba membawa masuk anak pokok ke Malaysia bermula dengan 50 pokok pada 2015 dan melihat ada permintaan dalam pasaran tempatan terhadap tanaman itu sebagai pokok untuk memperindahkan kawasan.

"Lama-kelamaan, tanaman kurma dilihat serasi dengan cuaca tempatan apabila ada pohon sudah mengeluarkan bunga dan ada juga mula mengeluarkan buah. Jadi saya optimis suatu hari nanti pokok kurma ini boleh dijadikan tanaman komersial bagi tujuan pasaran buah pula,"katanya.

JAMALUDIN bersama pokok kurma kolak. FOTO U&U Global Enterprise
JAMALUDIN bersama pokok kurma kolak. FOTO U&U Global Enterprise

Menyentuh kepada penjagaan pokok seperti tanaman lain, 'medium' adalah elemen penting iaitu tanah perlulah subur dan tiada takungan air.

"Kalau bercakap mengenai kaedah pokok ini ditanam sebenarnya pemilik tanaman ini terutama yang merancang untuk merasa hasil buah perlu kenal terlebih dahulu karakternya. Pokok kurma ini dalam satu pokok hanya ada satu spesies iaitu sama ada jantan atau betina.

"Anak pokok disemai menerusi biji benih. Hanya selepas berbunga iaitu kira-kira tiga hingga empat tahun baru dapat kenal pasti spesies pokok. Karakter pokok jantan bunganya lebih berbentuk tajam sementara bunga betina pula berbiji.

"Buah hanya boleh dihasilkan pokok betina dan pendebungaan adalah menerusi debu bunga daripada pokok jantan 'dikahwinkan' untuk hasilkan buah. Jadi, perlu faham pelanggan yang membeli pokok kurma tiada istilah jaminan pokok dibeli akan mengeluarkan buah melainkan ia adalah pokok betina,"katanya.

Bagi medium asas untuk anak pokok, nisbahnya ialah tiga untuk tanah, dua kompos dan satu untuk pasir. Penjagaan lain ialah siram dan baja yang mencukupi memastikan pokok membesar serta tumbuh dengan baik.

"Pokok ini memang perlukan baja yang baik iaitu baja untuk tumbesaran pokok dan untuk buah pada usia tiga tahun. Selain itu pokok ini memerlukan jarak yang mencukupi iaitu tujuh meter kerana kemampuan pokok ini membesar sepadan dengan usianya boleh mencecah lebih 100 tahun.

"Kalaulah semua keperluan pokok ini dijaga rapi, satu pokok saja boleh mengeluarkan hasil 100 kilogram dan anggaran pendapatan boleh dapat dengan sekali tuaian itu sekitar RM5,000,"katanya.

Mengenai penyakit pokok berkenaan, kata Jamaludin, pokok ini kalah dengan musuh utama pokok jenis palma iaitu kumbang merah. Boleh dikesan menerusi daun dan batang yang menandakan kehadiran serangga pemusnah itu.

Anda boleh gunakan racun bersesuaian atau mendapat nasihat jabatan pertanian berhampiran bagi menangani masalah kumbang merah.

Sementara itu Jamaludin turut merancang menggalakkan lebih ramai pihak menanam pokok berkenaan dan bercadang membuka ladang seluas0.4 hektar bagi tujuan semaian anak pokok.

BUAH segar daripada hasil pokok kurma kolak. FOTO U&U Global Enterprise
BUAH segar daripada hasil pokok kurma kolak. FOTO U&U Global Enterprise

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 6:30 AM