BAHAROM melihat pembesaran pokok sacha inchi yang ditanam di Kampung Purun, Jelebu.
BAHAROM melihat pembesaran pokok sacha inchi yang ditanam di Kampung Purun, Jelebu.
Teks dan foto Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


TIDAK ramai yang mengenali pokok sacha inchi atau nama saintifiknya 'plukenetia volubilis' iaitu tumbuhan herba yang berasal dari Hutan Amazon di Peru.

Sejak 3,000 tahun dahulu, ia digunakan sebagai sumber perubatan dan kesihatan oleh masyarakat Inca di Peru dan tidak hairan ia turut dikenali sebagai 'inca peanut.'

Sacha inchi mampu mengeluarkan minyak jenis Omega 3, Omega 6 dan Omega 9 yang berfungsi membantu memulihkan tenaga serta kesihatan badan.

Di negara ini, biarpun pelbagai produk berkaitan sacha inchi sudah boleh diperoleh di farmasi, namun tidak ramai menanam scha inchi yang cukup mudah untuk dijaga.

Berikutan itu seorang usahawan pertanian mengambil inisiatif menanam tanaman itu secara komersial di Jelebu, Negeri Sembilan selepas mengetahui khasiatnya.

Toslan Ali dipercayai petani pertama di negeri ini menanam pokok itu secara komersial di atas tanah miliknya seluas dua hektar yang sebelum ini terbiar begitu saja.

Katanya, idea menanam pokok berkenaan secara komersial dibuat selepas dia mencuba minyak sasha inchi diberikan rakannya ketika mengadu sakit kaki dan hampir mendapat penyakit gout.

Selepas mengamal minum minyak berkenaan, sakit kakinya pulih dan kemudian dia dicadangkan menanam pokok berkenaan.

INILAH kacang yang terhasil selepas melalui beberapa proses dan daripada kacang ini pelbagai produk boleh dihasilkan.
INILAH kacang yang terhasil selepas melalui beberapa proses dan daripada kacang ini pelbagai produk boleh dihasilkan.

"Kebetulan saya mempunyai tanah yang belum diusahakan lagi di Kampung Purun, Jelebu dan sacha inchi adalah pokok renek jenis kekacang yang mudah ditanam malah pemerhatian mendapati tanaman itu kurang diminati serangga perosak.

"Ketika ini saya sudah menanam pokok jenis kekacang itu di atas tanah seluas dua hektar di Muka Sauk berhampiran Kampung Purun sejak Oktober lalu, " katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Toslan berkata pelbagai produk boleh dihasilkan daripada pokok berkenaan termasuk minyak, sabun dan makanan.

"Tanaman ini boleh hidup sehingga 15 tahun dan sangat sesuai untuk dijadikan tanaman sampingan oleh pekebun ketika mula menanam getah atau kelapa sawit.

"Malah tanaman ini mampu mengeluarkan hasil apabila berusia lapan bulan dan bagi setiap satu kilogram kacang mentah dijual pada RM3 sekilogram," katanya.

Berikutan permintaan tinggi, dia bercadang menanam pokok berkenaan di atas tanah seluas 2.4 hektar miliknya di Kampung Purun pada tahun ini.

ANTARA makanan yang dihasilkan.
ANTARA makanan yang dihasilkan.

Bagi Pengurus Ladang dan Nursery, Baharom Udin, menanam pokok berkenaan tidak rumit selain ia mudah dijaga.

Baharom berkata kebiasaan, apabila berusia lapan bulan pokok sudah mengeluarkan kacang yang sudah boleh dituai berbentuk bintang berbucu empat,lima atau enam.

"Selepas kacang dikeluarkan dari kulit ia sudah boleh diproses untuk dijadikan pelbagai produk termasuk makanan seperti snek kacang mahupun biskut.

"Jika ada petani yang berminat untuk mengusaha tanamkan berkenaan, kami sedia membeli kacang mentah secara terus tanpa membabitkan orang tengah," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir, mengakui Toslan akan dijadikan usahawan contoh dalam mengembangkan penanaman sacha inchi di negeri ini.

Katanya, memandangkan tanaman ini masih baharu di negeri ini yang diusahakan secara komersial, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum ia dikomersialkan secara besar-besaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 6:50 AM