BRAN Castle istana yang dikatakan ada kaitan dengan Dracula. FOTO Bran-Castle.com
BRAN Castle istana yang dikatakan ada kaitan dengan Dracula. FOTO Bran-Castle.com
Idham Fikri Kamalro


WATAK puntianak di Barat yang sangat masyhur, Dracula dikatakan berasal daripada sebuah negara di rantau Balkan, Romania.

Kononnya, Dracula merujuk kepada kisah sebenar bangsawan Wallachia (kini menjadi sebahagian Romania), Vlad III atau gelarannya Vlad Dracula yang terkenal dengan sifat kejam apabila dikaitkan dengan pembunuhan beramai-ramai.

Tidak mendatangkan rasa gerun, sebaliknya penulis lebih teruja untuk mengenali negara itu yang juga 'kaya' dengan binaan kota lama dan istana yang unik.

Ditambah pula panorama semula jadi melatari Romania cukup indah apabila negara itu masih berjaya mengekalkan 50 kawasan hutannya yang juga antara kawasan hutan tertinggi di Eropah.

Penulis mahu melihat sendiri 'magis' di negara Balkan itu, bersama anak, Muhammad Wafiyuddin yang berusia lima tahun ketika itu dalam siri misi jelajah Balkan 22 hari pada 2019 membabitkan lima negara.

Kami memulakan perjalanan dari Sofia (Bulgaria) ke ibu kota Romania iaitu Bucharest dengan menaiki bas kira-kira lima jam.

Sebaik tiba di Bucharest pada jam 6.30 pagi, kami bergerak menaiki kereta sewa ke sebuah bandar bernama Sinaia yang terletak dalam daerah Muntenia, Transylvania.

Bandar Sinaia adalah pekan di kawasan pergunungan yang masih memiliki kota teguh dibina sejak kurun ke 18 lagi. Antara salah satu tarikan ikonik ialah Peles Castle, iaitu istana yang terkenal mempunyai lebih 160 bilik.

Istana itu tempat 'hinggap' keluarga diraja Romania, Carol I, ketika musim panas yang cukup mempesonakan dengan keindahan pemandangan lembah Sungai Peres.

LEBUH Raya Transfagarasan menghubungkan laluan antara bandar dengan merentasi gunung.
LEBUH Raya Transfagarasan menghubungkan laluan antara bandar dengan merentasi gunung.

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Brasov iaitu kota lama zaman pertengahan apabila berkesempatan mengunjungi sekitar Strada Sforii (laluan sempit), Strada Republici (kawasan utama di bandar Brasov) dan Piata Sfatului sambil mencari restoran halal.

Sebenarnya di Transylvania, sukar untuk mendapatkan makanan halal. Namun rezeki menyebelahi kami apabila terjumpa restoran makanan halal di pinggir kota Brasov milik imigran dari Turkiye. Kami bermalam di bandar ini untuk satu malam.

Penjelajahan kami semakin menarik apabila perancangan hari seterusnya adalah mengunjungi Bran Castle. Kami memulakan perjalanan awal kerana mahu menjelajah segenap istana itu yang dikatakan milik Count Dracula.

Versi lain ada menyebut, istana itu dibina 'Teutonic Knights' (cabang tentera Katolik). Apa-apa pun versi yang ada, istana lama itu kelihatan sangat gah di atas bukit dengan binaan bercirikan zaman pertengahan Eropah atau Medieval.

KOTA lama menjadi latar kebanyakan bandar kota Romania.
KOTA lama menjadi latar kebanyakan bandar kota Romania.

Selesai sesi di Bran Castle, kami teruskan perjalanan dengan memandu kenderaan ke Gunung Fagaras iaitu sebahagian gugusan banjaran Carpathian.

Dianggarkan sebuah gun

ung ketinggian lebih 2,500 meter dari aras laut boleh dilalui menerusi Lebuh raya Transfagarasan.

Jalannya bermula dari perkampungan kecil Cartisoara Empangan Vidraru dengan latar pemandangan indah gunung bersalji selain jalan raya bengkang-bengkok, ladang jagung, haiwan ternakan masyarakat setempat dan kabus menghiasi perjalanan kami.

Perjalanan pergi dan balik melalui lebuh raya terbabit mengambil masa enam hingga tujuh jam sebelum kami beristirahat di pekan terdekat menghala ke bandar Sibiu iaitu destinasi kami berikutnya. Harga petrol di Romania adalah sekitar 6.30 leu perliter (1 leu bersamaan RM1).

Sampai di bandar Sibiu yang diasaskan oleh orang 'Saxon' (puak atau orang Jerman) pada zaman dahulu, kami melawat tempat bersejarah dan bangunan ikonik kebudayaan bagi penduduk setempat.

RUMAH penduduk di kawasan pergunungan.
RUMAH penduduk di kawasan pergunungan.

Antaranya Muzium Sejarah Sibiu, GoldSmith Square, Dataran Sibiu, Bridge of Lies, Piata Mica (Little Square), Lutheran Cathedral, The Stairs Passage, Radu Stanca National Theathre yang dibina sejak kurun ke-17 dan beberapa tempat lain.

Di bandar ini juga boleh dilihat satu tugu peringatan Gheorghe Lazar, seorang pemikir yang lahir daripada rakyat biasa disanjungi penduduk bandar terbabit.

Keesokan harinya, kami meneruskan perjalanan ke sebuah pekan kecil di Fagaras untuk melawat sebuah kubu lama yang dibina untuk melindungi penduduk daripada serangan bangsa Tartar.

Kubu yang dinamakan Fagaras Fortress terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar Sibiu. Dalam perjalanan kami disajikan pemandangan gunung-ganang yang memukau selain seni bina membabitkan rumah penduduk yang sederhana.

Kepadatan penduduk di kawasan itu sangat rendah dengan punca rezeki dan ekonomi setempat adalah bercucuk tanam dan menternak haiwan. Kami bermalam di Fagaras di rumah 'host' yang dikenali menerusi aplikasi CouchSurfing.

Hari kelima di Transylvania, kami kembali ke Buchares menerusi jaringan jalan dari Fagaras, Sinca Noua, Rasnov,Brasov, Cheia menuju ke Bucharest mengambil tempoh perjalanan selama enam jam.

Setibanya di Bucharest, kami sempat singgah di beberapa lokasi popular seperti Bangunan Parlimen Romania dan Muzium Negara Romania.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 7:00 AM