TIADA sedikit pun tanah digunakan, malah hanya sabut halus ditabur atas para dibina setinggi dua meter.
Benih sayur-sayuran yang mula mengeluarkan tunas dimasukkan dalam sabut basah mengikut jarak sesuai dan dibiarkan tiga hingga empat minggu.
Apabila mencapai tempohnya, sayur dibuka untuk jualan dan pengunjung boleh datang memetik sendiri untuk hasil lebih segar serta asli dari kebun.
Itulah cara dilakukan pemilik kebun di Parit Lahak, Batu Pahat yang juga suami isteri dalam menggunakan idea petik sendiri dari kebun.
Intan Syajatul Shamsudin, 30, graduan sains Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama suami, Dzulkhairi Ishak, 30, tidak menang tangan menuai hasil pelbagai jenis sayur-sayuran ditanam di tanah seluas 0.38 hektar.
Pasangan itu juga dibantu empat penuntut Kolej Pertanian Malaysia dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menjalani latihan praktikal di kebun miliknya.
"Selepas sayur mencapai tempoh sesuai, kami akan buka tempahan melalui media sosial. Mereka boleh datang ke sini untuk memetik sayur dipilih sebelum ditimbang.
"Jangan risau, sebab kami tidak menggunakan baja berbahaya. Ia lebih kepada organik dan baja campuran untuk tumbesaran.
"Apa yang menarik ialah pengunjung diberi peluang merasai pengalaman memetik sendiri sayur dijual di sini. Mereka boleh pilih kerana banyak jenis sayur yang kami tanam," kata Intan Syajatul.
Berbekal pengalaman ketika menyertai kursus pertanian, pasangan itu dilihat tidak kekok, malah konsep penanamannya sangat ringkas tetapi hasil yang diperoleh lumayan.
Menurut Intan Syajatul, penggunaan sabut halus amat mudah kerana ia mampu mengekalkan kelembapan dalam tempoh agak lama.
"Ramai pengunjung datang setiap hari untuk membeli sayur sejak kaedah memetik sendiri dibuka. Ia memberi kelebihan kepada pelanggan untuk mendapat sayur yang segar.
"Jadi, apabila datang ke kebun ini, mereka tidak lagi was-was, pilih mana suka, paling seronok tidak perlu penat menanam dan boleh ajak anak-anak melakukan aktiviti memetik bersama-sama.
"Setakat ini tanaman utama sawi, kangkung, terung, cili dan bayam. Biasanya tanaman boleh dipetik selepas 20 hari," katanya.
Bagi memastikan bekalan sayur tidak putus, kata Intan Syajatul, ia ditanam secara berperingkat.
Sementara itu, pengunjung, Siti Sapiah Sheikh Harun, 57, berkata, ini kali pertama dia bersama rakan datang ke kebun ini.
"Saya teruja melihat sayur segar dan pasti akan datang lagi. Sebelum ini saya selalu beli sayur di pasar basah atau kedai berhampiran yang mana kesegarannya belum tentu terjamin," katanya.