LOKASI ini sememangnya 'rare' dan jarang didengari sekiranya ke Itali, namun Pesaro mempunyai keunikan tersendiri.
Bagaimanapun, bagi penulis yang berpeluang ke lokasi itu baru-baru ini atas tuntutan tugasan ternyata ia adalah bandar yang tenang serta indah.
Pesaro terletak di dalam satu daripada 20 wilayah di Itali iaitu Marche di daerah Pesaro e Urbino. Ia juga adalah Bandar Kreatif Muzik Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan dari Milan.
Bandar ini bukanlah bandar serba moden, semua bangunan adalah rekaan lama yang dipelihara dengan baik menjadikan ia mempunyai karakter tersendiri.
Corak gaya hidup Eropah lama ditawarkan di sini selain tenang, keadaan trafik juga lancar yang kebanyakan menggunakan skuter untuk bergerak ke lokasi pilihan.
Bandar ini tampil menarik kerana ia begitu hampir dengan pantai Laut Adriatik yang menyajikan pemandangan indah.
Penulis mengambil peluang berbasikal di sepanjang pantai yang bukan sahaja meriah dengan pengunjung malah banyak menyediakan penginapan ala motel dan karavan.
Laluan basikal yang disediakan juga cukup baik untuk berkayuh dengan dua lorong dan lokasi hentian disediakan untuk meletak serta mengunci basikal sekiranya ingin singgah di mana-mana lokasi sepanjang pantai.
Malah ia juga dilengkapi maklumat dan papan tanda untuk pelancong mudah ke lokasi tumpuan dan semua laluan landai memudahkan kayuhan.
Kebetulan ketika penulis berkunjung adalah musim panas dan Pesaro yang juga bandar pelancongan menyediakan banyak lokasi untuk mereka berjemur di pantai dengan payung serta khemah seluas mata memandang.
Bandar peranginan ini juga menyediakan banyak kafe dan restoran makanan Barat selain kedai menjual cenderamata di sepanjang laluan pantai.
Kehidupan malam juga agak tenang dan santai, tiada hiruk-pikuk kota dan oleh kerana balkoni bilik hotel penulis di hadapan laluan utama sekali-sekala kedengaran bunyi skuter selain suara remaja berbual di kaki lima laluan pejalan kaki.
Malah hotel penginapan penulis juga dengan gaya Eropah lama, dekorasi seperti kita berada pada zaman 1950-an nyata memberikan suasana berbeza.
Sepanjang di Itali, penulis juga tidak banyak membuat tukaran wang asing (Euro) kerana hanya menggunakan kad debit Visa yang kebanyakan kedai menerimanya bagi memudahkan urusan pembelian termasuk air minuman.
Ia antara kaedah lebih selamat berbanding tunai kerana berkemungkinan boleh tercicir atau hilang atas kelalaian sendiri.
Oleh kerana tugasan penulis di Litar Dunia Misano (MWC) Marco Simoncelli kira-kira 23 kilometer (km) dari Pesaro, sepanjang laluan juga dihiasi pemandangan indah.
Serba sedikit mengenai litar ini adalah sepanjang 4.226km yang juga menganjurkan banyak acara perlumbaan utama dunia seperti motosikal Grand Prix, World SBK dan MotoE.
Ia juga mempunyai kisah tersendiri iaitu nama Marco Simoncelli itu adalah seorang pelumba MotoGP Itali yang mendapat kejuaraan pertama pada 2008 untuk Kejuaraan dunia 250cc di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun juga terkorban di litar yang sama pada 2011. Malah nama singkatannya juga adalah Sic.
Sudah pasti jika cuaca musim luruh atau dingin menjadikan suasana lebih nyaman berbanding ketika penulis lawati itu ketika musim panas melampau sekitar 37 ke 38 darjah Celsius menjadikan ia sama seperti di Malaysia.
Ketika di litar sempena acara Minggu Ducati Dunia 2022 (WDW 2022) itu pelbagai aktiviti diadakan terutama untuk pemilik motosikal dari seluruh dunia dan paling ramai ialah dari Itali.
Pelbagai model klasik dan vintaj sehingga yang terkini boleh dilihat malah kebanyakannya masih dalam keadaan baik yang dijaga rapi.
Sepanjang berada di Itali penulis 'terperasan' ada beberapa ayat yang menyamai bahasa Melayu seperti 'ananas' (buah nanas), 'due' (dua) dan 'sabato' (Sabtu).
Sememangnya kenangan di Itali ini memberikan satu momen indah, suatu lokasi yang berbeza serta unik lain daripada kebiasaan dan memberikan pengalaman baharu.