SEBUT saja Barcelona, pastinya perkara pertama yang terbayang difikirkan adalah kelab bola sepak tersohor dunia, FC Barcelona selain nama bintang yang pernah atau masih beraksi dengan pasukan itu antaranya Lionel Messi, Neymar dan Ronaldinho.
Penulis tidak berhasrat ingin menceritakan kemegahan kelab bola sepak berkenaan sebaliknya berpeluang menjejakkan kaki ke bandar kedua terbesar Sepanyol itu ketika menghadiri satu persidangan antarabangsa di bandar berkenaan, baru-baru ini.
Apa yang boleh penulis katakan, Barcelona ini mempunyai 1,001 daya tarikan pelancongan tersendiri termasuk kawasan pesisir pantai yang cantik dan pembangunan kotanya yang tersusun.
Secara umum, Barcelona adalah sebuah bandar di pantai timur laut Sepanyol, ibu kota dan bandar terbesar bagi komuniti autonomi Catalonia serta perbandaran kedua paling ramai penduduk di Sepanyol selepas Madrid.
Kota raya ini sangat terkenal sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai kepelbagaian destinasi termasuk keunikan makanan laut dan populasi kota ini kira-kira 1.6 juta orang.
Bagi yang berhasrat mengunjungi Sepanyol bagi destinasi pelancongan, pemilihan Barcelona adalah pilihan yang tepat dan tidak 'sah' rasanya melawat kota ini tanpa mengunjungi tiga tempat tumpuan utama iaitu Sagrada Familia, Tibidabo Amusement Park, Casa Battlo dan La Rambla.
Perjalanan penulis mengambil masa kira-kira 12 jam secara keseluruhan tempoh penerbangan dengan satu tempat transit iaitu di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum sampai ke Barcelona.
Keadaan cuaca di Barcelona adalah beriklim Mediterranean dan sekitar Januari hingga Mac adalah penghujung musim sejuk. Malah penulis berasakan ia masa paling sesuai untuk melawat kota raya ini.
Destinasi yang wajib dikunjungi adalah Sagrada Familia untuk melihat keunikan seni reka bentuknya hasil idea daripada arkitek tersohor wilayah Catalonia, Antonio Gaudi.
Walaupun bangunan berkenaan tidak dapat disiapkan ketika hayat Gaudi, proses untuk menyiapkannya masih berlangsung sehingga ke hari ini dan difahamkan, proses pembangunan berkenaan bergantung kepada dana awam.
Pengunjung boleh merakam gambar di hadapan Sagrada Familia berkenaan dan di sekitar lokasi itu terdapat taman permainan yang memberikan pemandangan penuh untuk infrastruktur bangunan itu.
Sekadar tip tambahan, pengunjung boleh membeli cenderahati antaranya 'fridge magnet,' 'keychain' dan 'standing plate' di sekitar taman yang terletak di depan Sagrada Familia dengan harga yang murah serta berpatutan berbanding lokasi lain.
Hasil seni rekaan unik daripada Gaudi juga boleh dilihat jika mengunjungi Casa Battlo dan ia adalah satu daripada rekaan 'masterpiece' oleh arkitek tersohor berkenaan selain daripada Sagrada Familia.
Lokasi kedua yang pastinya menjadi kegilaan setiap pengunjung untuk membeli-belah, melihat keunikan dan bersantai adalah mengunjungi La Rambla, di tengah kota Barcelona.
La Rambla adalah satu laluan pejalan kaki sejauh 1.2 kilometer (km) bermula daripada Rambla de Mar sehingga Rambla de Canaletes dan penulis sangat menggalakkan jika pengunjung menikmati sepanjang laluan berkenaan.
Bahagian kiri dan kanan laluan pejalan kaki itu terdapat banyak kedai cenderahati termasuk 'kedai kopi' untuk menikmati pemandangan kota Barcelona berkenaan.
Jika pengunjung meneruskan laluan berkenaan, pastikan mengunjungi Columbus Column iaitu monumen Christopher Columbus dan jika diperhatikan kepada monumen berkenaan, tangan kanan Christopher Columbus menunjukkan ke arah 'dunia baharu' atau Amerika Syarikat (AS).
Pengunjung juga boleh melawat Tibidabo Amusemen Park di Collserola Ridge dan ia adalah 'taman tema' paling lama pernah dibuka iaitu sejak 1899 serta beroperasi sehingga kini.
Pada masa sama, Tibidabo Park adalah lokasi paling sesuai untuk merakam gambar keseluruhan kota Barcelona dan melihat kawasan pesisir pantai.
Sebenarnya, Barcelona mempunyai pelbagai tarikan dan ia adalah pilihan lokasi melancong yang sangat baik di samping penawaran makanan laut yang pelbagai.