Hanya menggunakan plastik sampah dan beg plastik, peminat wau naik mampu menghasilkan wau berkualiti bagi tujuan pertandingan dan mengisi waktu lapang pada musim kemarau ini.
Tukang rumah, Sulong Mat Ali, 65, dari Kampung Padang Pak Su Man, Marang, Terengganu berkata, fenomena cuaca panas membahang tidak menghalangnya untuk bermain wau naik.
Sekiranya berkelapangan seawal 2 petang, dia sudah ke kawasan padang untuk menaikkan wau yang dihasilkan dengan menggunakan plastik sampah.
Katanya, selain ringan, penggunaan plastik sampah dilihat mempunyai ketahanan berbanding kertas wau dan dia menghasilkan wau menggunakan plastik sejak lima tahun lalu.
"Walaupun terpaksa berada di bawah panas terik namun kerana minat bermain wau sejak kecil mendorong saya untuk meneruskan hobi ini.
"Namun, saya mengambil langkah dengan membawa bekal air terutama ketika menyertai pertandingan berikutan cuaca panas dan kering yang mengakibatkan badan cepat letih," katanya.
Menurut bapa kepada 10 cahaya mata dan 25 cucu itu, dia mempunyai lebih 30 wau diperbuat daripada plastik terdiri daripada wau bulan, burung dan barat.
Katanya, wau yang diperbuat menggunakan buluh dan plastik itu mempunyai pelbagai ukuran dengan saiz paling besar dengan lebar empat meter dan tinggi dua meter.
Sulong berkata, musim panas seperti sekarang ini adalah waktu sesuai untuk bermain wau dan masyarakat dahulu bermain wau selepas musim menuai padi kerana faktor angin yang membolehkan wau dinaikkan.
Jiran sekampung, Muhammad Hafizi Ab Ghani, 32, berkata, dia mempunyai lebih 50 wau naik yang diperbuat daripada plastik beg.
"Sebelum ini wau naik dihasilkan dengan menggunakan kertas wau, namun sejak lima enam tahun kebelakangan ini kami beralih menggunakan plastik pula.
"Material plastik lebih ringan dan memudahkan wau untuk dinaikkan selain senang untuk diperoleh," katanya yang juga seorang penternak.
Menurutnya, setiap hari dia akan menaikkan lebih 10 wau dan bermain wau adalah salah satu hobi terutama apabila tiba musim panas serta kemarau.
Katanya, cuaca panas membahang sekarang tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan hobi yang diminati sejak kecil itu.
Hafizi berkata, bagi mengurangkan rasa dahaga ketika di bawah panas terik, dia akan membawa bekal air sama ada ketika pertandingan mahupun bermain bagi mengisi waktu lapang setiap hari.
Menurutnya, sekali lihat mungkin orang tidak menyangka wau yang dihasilkan mengguna plastik kerana ia sama seperti kertas wau yang biasa.