LALUAN mencabar yang perlu dilalui untuk menghantar bekalan ubat di kawasan pedalaman.
LALUAN mencabar yang perlu dilalui untuk menghantar bekalan ubat di kawasan pedalaman.
Muhamaad Razis Ismail


Tiga jam perjalanan ditempuh penulis untuk ke Klinik Kesihatan Nanga Merit, Kapit, Sarawak yang jauh di kawasan pedalaman baru-baru ini.

Dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, penulis bersama beberapa pengamal media dari Semenanjung Malaysia melalui laluan balak yang berselekoh tajam, sempit, curam dan rosak.

Bukan itu sahaja, beberapa kali kenderaan kami terpaksa berhenti di sisi jalan untuk memberi laluan kepada lori balak yang keluar masuk dengan menggunakan laluan sama.

Kami sangkakan perjalanan sudah tamat apabila tiba di kawasan perkampungan terbabit kira-kira jam 12 tengah hari.

Sebaliknya, kami masih perlu menaiki bot untuk menyeberang Sungai Rajang selama kira-kira 10 minit untuk menghantar bekalan ubat ke Klinik Kesihatan Nanga Merit.

Bekalan ubat itu amat diperlukan klinik kesihatan terbabit untuk memenuhi keperluan penduduk di 36 kampung di kawasan sekitar kira-kira 90 kilometer dari Kapit.

Terdahulu, kami dibawa ke gudang Pharmaniaga Logistics Kuching Sdn Bhd untuk melihat sendiri proses pembungkusan ubat-ubatan yang dilakukan dengan teliti dan cermat sebelum penghantaran perlu dibuat dalam tempoh 10 hari bekerja.

Kemudian hari berikutnya, kami menempuh perjalanan hampir 10 jam dari Kuching ke Kapit melalui Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan untuk menghantar bekalan ubat-ubatan.

Penulis bersama rakan media lain dibawa Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) untuk merasai pengalaman dan cabaran untuk menghantar bekalan ubat-ubatan di kawasan pedalaman.

Biarpun begitu, itu adalah sebahagian kecil cabaran yang dihadapi pihak Pharmaniaga Berhad untuk memastikan bekalan ubat-ubatan yang selamat, berkualiti dan berpatutan ini dinikmati seluruh masyarakat di negara ini.

Kecekapan dan dedikasi yang ditunjukkan kakitangan Pharmaniaga sebagai wira yang tidak didendang wajar dipuji kerana berani menyahut cabaran membekalkan ubat-ubatan ke kawasan pedalaman.

Pengarah Komunikasi Korporat Pharmaniaga, Datuk Zuhri Iskandar Kamarzaman berkata, pihaknya adalah tulang belakang untuk memastikan matlamat akses perubatan kerajaan sampai kepada masyarakat.

Katanya, cabaran di di Sarawak memang berbeza di Semenanjung, namun pihaknya tetap bersemangat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Penghantaran bekalan ubat di Sarawak menggunakan kenderaan seperti van, lori, pacuan empat roda serta bot ke semua hospital dan klinik kesihatan milik kerajaan di 12 bahagian negeri berkenaan.

"Penghantaran bekalan ubat ke hospital dan klinik kesihatan di Sarawak terutama kawasan pedalaman berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk laluan balak, cuaca yang tidak menentu, bencana tanah runtuh, kerosakan kenderaan dan sungai surut

"Namun atas rasa tanggungjawab dalam memastikan semua penduduk Sarawak mendapat akses perubatan kami tetap berusaha menghantarnya dalam tempoh 10 hari bekerja seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, Pharmaniaga melalui anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) mempunyai 15 pusat logistik dan edaran di Bukit Raja, Shah Alam, Pulau Pinang (Juru), Sabah (Kota Kinabalu) dan Sarawak (Kuching).

"Pada masa sama, Pharmaniaga menguruskan 300 kenderaan dan 450,000 penghantaran tahunan melalui darat, udara, laut dan sungai ke 1,500 kemudahan kesihatan kerajaan di semenanjung dan kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

"Tugasan ini dilaksanakan 500 kakitangan logistik dan pengedaran terdiri daripada 100 peratus pekerja tempatan.

"Kami merancang menambah baik rangkaian serta kemudahan logistiknya dari semasa ke semasa dalam memastikan penghantaran bekalan ubat ke fasiliti perubatan seluruh negara lebih cekap dan pantas," katanya.

Rata-rata penduduk kampung yang ditemui menyambut baik usaha kerajaan yang tidak meminggirkan kawasan pedalaman untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan melalui penghantaran ubat-ubatan.

Penulis turut dibawa berkunjung ke rumah panjang Pius Nanga Banyau Merit yang menempatkan 21 keluarga dan berpeluang beramah mesra dengan penghuninya.

Tuai Rumah Panjang Pius Nanga Banyau Merit, Pius Lagon, 50, kedudukan kampung itu yang terletak jauh di kawasan pedalaman menyukarkan penduduk untuk ke bandar.

"Di sini kebanyakan penduduk memerlukan ubat darah tinggi dan demam. Untuk ke Kapit kami perlu menempuh perjalanan lebih dua jam melalui laluan darat atau air. Pada masa sama, kami perlu menanggung kos lain termasuk minyak, tambang dan sebagainya.

"Dengan bantuan penghantaran ubat-ubatan Pharmaniaga, kami dapat mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sekali gus dapat menjimatkan masa, tenaga dan wang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 7:00 AM