Saksi fenomena alam semula jadi di Kilpisjarvi, Finland selepas gagal pada pencarian pertama.
Saksi fenomena alam semula jadi di Kilpisjarvi, Finland selepas gagal pada pencarian pertama.
Nor’Aidillah Zakaria


KEINGINAN penulis melancong ke negara di sekitar Skandinavia tercetus apabila secara tidak sengaja melihat keindahan fenomena alam semula jadi aurora di Internet.

Fenomena ini hanya boleh dilihat di negara yang mempunyai suhu sejuk yang ekstrem.

Kagum dengan ciptaan Allah itu, penulis dan suami membuat perancangan rapi untuk melancong ke negara terbabit.

Penulis membuat kajian selama lapan bulan berkenaan negara di Skandinavia termasuk menyertai kumpulan Facebook yang disertai oleh individu yang sudah berpengalaman berkunjung ke negara itu.

Melalui perkongsian mereka, penulis membuat persiapan awal daripada segi pakaian bersesuaian, kewangan, pengangkutan, penginapan dan sebagainya kerana akan mengembara di sana selama 15 hari.

Penulis juga menempah penginapan empat bulan lebih awal secara dalam talian untuk menjimatkan perbelanjaan.

Pada 30 Januari lalu, kami memulakan perjalanan dengan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat KLM ke Oslo, Norway.

Dari Oslo kami menaiki pesawat ke Bodo dan kemudian ke Lofoten. Sebenarnya, jika ingin berjimat anda boleh menaiki feri dari Bodo ke Lofoten, namun perjalanan akan menjadi lebih lama dan akan tiba di Lofoten pada waktu malam.

MENIKMATI keindahan aurora di Tundrea Resort, Finland.
MENIKMATI keindahan aurora di Tundrea Resort, Finland.

Di Lofoten kami menyewa kereta. Suami memandu di Lofoten kemudian ke Harstad/Narvik, Tromso, Kilpisjarvi, Levi, Abisko dan pulang semula ke Harstad.

Sebenarnya berdasarkan perancangan awal, dari Lofoten ke Harstad kami akan menaiki bas tapi pengangkutan awam di Lofoten sangat terhad pada musim sejuk.

Penginapan di Lofoten adalah tempat yang penulis impikan. Biarpun agak terpencil, namun mempunyai pemandangan yang sangat-sangat memukau kerana penginapan kami berhadapan laut dan fjord. Dari dalam rumah, keindahan di luar bagaikan sebuah lukisan.

KEINDAHAN alam semula jadi di Lofoten.
KEINDAHAN alam semula jadi di Lofoten.

Di Tromso juga, penginapan kami menghadap laut yang jaraknya empat kilometer dari bandar Tromso. Hari pertama sampai, kami dapat melihat feri cruise yang besar sedang belayar. Di sini, kami menggunakan perkhidmatan bas awam dari 'bnb' untuk ke bandar Tromso.

Malangnya sepanjang berada di Tromso, hujan, ribut dan angin yang kuat menghalang aktiviti kami. Kami hanya berjalan di sekitar bandar dalam keadaan basah lencun.

Kemudian kami memandu ke Kilpisjarvi, Finland. Perjalanan mengambil masa lebih dua jam dari Tromso. Sekali lagi kami terpegun dengan pemandangan di sepanjang perjalanan yang dipenuhi dengan fjord. Di Kilpisjarvi, kami menginap di Tundrea Resort selama satu malam.

ANTARA lokasi menarik di Henningsvaer, Lofoten.
ANTARA lokasi menarik di Henningsvaer, Lofoten.

Di sinilah kami mula mencari aurora selepas gagal di Tromso. Kami berjalan ke belakang resort kerana terdapat tasik beku yang sesuai untuk melihat aurora.

Kami keluar pada jam 9 malam ke tasik untuk menunggu, namun terpaksa berpatah balik ke bilik kerana suhu yang sangat sejuk dan ribut salji. Pada 11 malam, kami sekali lagi keluar ke tasik. Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit kami dapat melihat aurora.

Orang ramai yang berada di tasik bersorak keriangan dapat menikmati keindahan fenomena alam semula jadi itu.

RUSA kutub yang ditemui ketika dalam perjalanan di Abisko, Sweden.
RUSA kutub yang ditemui ketika dalam perjalanan di Abisko, Sweden.

Keesokannya kami ke Levi, Finland yang menjadi tumpuan pemain ski.

Perjalanan dari Levi kira-kira 30 minit dengan kereta. Pada sebelah malam, dari hotel kami berjalan ke tasik beku untuk melihat aurora lagi. Kami masih dapat melihat cahaya aurora walaupun sekejap kerana langit dilitupi awan yang tebal.

Seterusnya kami memandu pulang semula ke Harstad, Norway dengan melalui Abisko, Sweden. Dalam perjalanan, tiba-tiba di satu kawasan hutan alpain, sekumpulan rusa kutub datang menerpa dan melompat di hadapan kami. Kami teruja dapat melihat haiwan ini yang biasanya hanya dilihat di kaca televisyen.

Kami meneruskan perjalanan dan singgah sebentar di Abisko untuk merakam beberapa keping gambar dan membeli cenderahati. Sepanjang perjalanan ke Abisko, cuaca sangat baik.

PEMANDANGAN memukau di Lofoten.
PEMANDANGAN memukau di Lofoten.

Namun selepas melintasi Abisko, cuaca tiba-tiba berubah. Salji turun dengan lebat dan semakin hampir ke Harstad, ribut salji pula melanda. Mujur suami dapat memandu dengan baik dan sampai ke destinasi di Sure Hotel Harstad dengan selamat.

Keesokannya kami mengambil penerbangan ke Oslo dan terus ke Copenhagen, Denmark. Kami menginap di Urban House Hotel selama empat hari tiga malam dan hanya menggunakan tren Metro untuk berjalan-jalan di sekitar Copenhagen. Pada 15 Februari, kami bertolak pulang ke Malaysia.

Sekiranya diberi peluang, penulis berhasrat melancong lagi ke negara Skandinavia ini untuk merasai fenomena 'midnight sun' yang menyebabkan waktu siang 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 6:20 AM