SUASANA malam di Ruza Agrotech Kampung Sungai Limau, Lunas Kulim.
SUASANA malam di Ruza Agrotech Kampung Sungai Limau, Lunas Kulim.
Izad Thaqif Hassan

Limpahan cahaya lampu berwarna-warni ternyata menghidupkan suasana malam di destinasi unik di Kampung Sungai Limau, Lunas, Kulim, Kedah ini.

Suasana ceria itu membuatkan pengunjung seolah-olah berada dalam dunia impian sendiri sebaik menjejak kaki ke pusat pelancongan yang bakal menjadi pusat sehenti (one stop center) berlandaskan agro apabila ia siap sepenuhnya kelak.

Selain itu, mata juga pasti akan tertumpu pada surau atas pokok dan rumah terbalik yang dapat dilihat sebaik melangkah masuk ke pintu utama membuatkan pengunjung pasti tidak sabar untuk meneroka lokasi seterusnya.

Itu antara tarikan yang terdapat di Ruza Agrotech yang pada mulanya dibangunkan pemiliknya iaitu pasangan suami isteri, Ruseli Ahmad, 53, dan Zalili Abdul Ghani, 52, khusus untuk menanam durian musang king dan duri hitam selain untuk membela haiwan ternakan.

Bermula sekadar hobi, kawasan persendirian itu kini dibuka kepada pengunjung luar selepas ia mendapat sambutan daripada penduduk kampung berhampiran.

Walaupun hanya tiga fasa yang dibuka kepada orang ramai, namun pusat pelancongan terbabit tetap menerima kehadiran pengunjung setiap hari yang mahu melihat sendiri serta merasai pengalaman di kawasan terbabit bersama keluarga.

Apatah lagi pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama ahli keluarga antaranya menunggang kuda, melihat pelbagai tanaman herba seperti tongkat ali, ladang durian musang king dan duri hitam.

SURAU atas pokok yang dibina di Ruza Agrotech.
SURAU atas pokok yang dibina di Ruza Agrotech.

Selain itu, kanak-kanak pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melihat burung unta, rusa, pelbagai spesis kambing dan juga ikan yang terdapat di situ.

Bagi anda yang gemar mengabadikan kenangan boleh memilih sendiri lokasi sesuai untuk 'outfit of the day' (OOTD) kerana banyak kawasan menarik yang boleh dijadikan pilihan untuk mengambil gambar.

Ruseli yang juga pengurus Ruza Agrotech berkata, setakat ini hanya tiga daripada lapan fasa dibuka untuk orang ramai dengan selebihnya djangka akan siap menjelang 2025.

RUMAH terbalik yang unik.
RUMAH terbalik yang unik.

Menurutnya, fasa ketiga yang juga pusat perniagaan bermula dari lokasi pintu masuk utama yang menyediakan pelbagai jualan antaranya restoran pandu lalu dan pelbagai produk hasil keluaran Ruza Agrotech.

"Untuk fasa ketiga ini, kami tidak mengenakan sebarang bayaran buat pengunjung dan turut meyediakan khidmat buggy untuk mereka yang berminat ke fasa satu dan dua.

"Terdapat beberapa tarikan di fasa ketiga antaranya surau atas pokok yang boleh menempatkan 50 jemaah, rumah terbalik yang mempunyai enam bilik penginapan serta mini disney dan soopa doopa untuk kanak-kanak," katanya.

SUASANA dekat dengan alam.
SUASANA dekat dengan alam.

Menurutnya, masih ada lagi beberapa pembinaan di fasa ketiga ini yang sedang disiapkan antaranya tiga chalet penginapan dengan kolam peribadi, kilang aiskrim dan pelbagai lagi.

"Pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti antaranya menunggang kuda, melihat dusun durian, OOTD, melawat petting zoo dan pelbagai lagi di fasa satu dan dua.

"Untuk masuk ke fasa satu dan dua pengunjung akan dikenakan tiket dan mereka juga boleh menyewa skuter elektrik atau menaiki tram yang disediakan," katanya.

ANTARA lokasi popular OOTD.
ANTARA lokasi popular OOTD.

Fasa keempat yang kini sedang dalam pembinaan pula lebih fokus kepada kawasan pertanian khusunya tanaman roselle, penternakan kambing dan zon lawatan untuk tanaman herba.

Bagi fasa kelima pula, ia akan menjadi kawasan eksklusif buat pengunjung yang menginap di resort yang akan menempatkan taman tema mini manakala fasa enam akan didirikan rumah tradisional yang dikekelilingi pokok kelapa dan dusun buah-buahan.

Fasa ketujuh pula merangkumi kawasan tanaman rumput napier, jagung bijirin manakala fasa terakhir iaitu fasa kelapan akan dibangunkan kawasan sawah padi.

DI bahagian luar ‘petting zoo’.
DI bahagian luar ‘petting zoo’.

Jika siap kelak, destinasi yang dibangunkan dengan kos mencecah RM10 juta itu bakal menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Selain itu, ia dijangka menjadi antara pusat pelancongan berlandaskan agro yang terbesar di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 6:30 AM