BUSRA antara lokasi menarik dikunjungi di Syria.
BUSRA antara lokasi menarik dikunjungi di Syria.
Muhamaad Razis Ismail


TERKEJUT dan teruja. Itu reaksi penduduk tempatan sebaik bertemu Abdullah Abrar Haron bersama tujuh rakannya melancong ke Syria pada Julai lalu.

Abdullah Abrar bersama rakannya melancong ke beberapa lokasi menarik di negara terbabit selama lapan hari bagi melengkapkan pengembaraan ketiga negara iaitu Lubnan, Syria dan Jordan.

Menurut Abdullah Abrar berkata, ketika melawat kawasan pasar yang menjual pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan di Bandar Damsyik, peniaga di situ terkejut apabila mengetahui mereka berasal dari Malaysia.

Katanya, penduduk di situ memaklumkan sudah lama tidak bertemu pelancong dari Malaysia.

"Mereka (peniaga dan penduduk) sangat teruja apabila mengetahui pelancong dari Malaysia mula masuk ke Syria semula.

"Malah, ada yang berkata kami adalah kumpulan pelancong Malaysia pertama ditemui selepas 10 tahun sejak krisis melanda negara itu," katanya.

Menurutnya, perkara itu berlaku berkemungkinan masih ramai yang bimbang untuk melancong ke negara berkenaan.

"Sebenarnya ada banyak lokasi menarik yang selamat untuk dikunjungi di negara ini.

"Bagaimanapun, kini setiap pelancong diwajibkan menggunakan ejen pelancongan bagi menguruskan permit dan surat kebenaran masuk ke Syria yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan negara itu," katanya.

Abdullah Abrar berkata, perancangan ke negara terbabit dilakukan untuk melengkapkan misinya ke 100 negara sebelum berusia 30 tahun.

ABDULLAH Abrar mengabadikan kenangan di Masjid Umawi.
ABDULLAH Abrar mengabadikan kenangan di Masjid Umawi.

Katanya, pada usia 29 tahun dia sudah pergi ke 88 negara di seluruh dunia sejak 2016.

"Ini adalah kali ketiga ke negara ini kerana pernah belajar di sini selama beberapa bulan. Sebelum ini saya hanya berada di bandar Damsyik dan untuk percutian kali ini, saya berpeluang ke beberapa lokasi menarik di sekitar Syria," katanya.

Jelasnya, antara lokasi paling digemari adalah bandar Damsyik yang begitu popular dengan bandar lama dan Masjid Umawi yang menempatkan makam Salahuddin al-Ayyubi dan makam Sa'id Ramadan Al-Bouti.

KESAN runtuhan bangunan yang masih boleh dilihat akibat krisis di Syria.
KESAN runtuhan bangunan yang masih boleh dilihat akibat krisis di Syria.

"Kami turut mengambil kesempatan mengunjungi kawasan pasar yang menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk mendapatkan barang keperluan.

"Saya boleh katakan ini adalah pengalaman paling menarik sepanjang berada di Syria apabila berpeluang melihat lebih dekat budaya masyarakat setempat.

"Pada pandangan saya, penduduk Syria antara masyarakat Arab yang paling lembut sehinggakan apabila bergaduh di pasar, intonasi percakapan mereka seolah-olah sedang bersyair," katanya yang mesra disapa Abrar.

Selain itu, mereka turut dibawa ke Ma'aloula yang mengimbau kenangan Abdullah Abrar yang pernah berada di Antelope Canyon, Amerika Syarikat sebelum ini.

BAZAR Aleppo@halab yang dulu dipenuhi pengunjung kini kosong akibat krisis di Syria.
BAZAR Aleppo@halab yang dulu dipenuhi pengunjung kini kosong akibat krisis di Syria.

"Pemandangan di sini sangat menakjubkan dan kami berpeluang berjalan di celah-celah gunung yang unik dan menarik," katanya.

Katanya, pada hari ketiga mereka dibawa ke Palmyra yang terkenal dengan tinggalan bangunan bandar purba dan pelbagai artifak bersejarah.

"Untuk ke lokasi ini, setiap pelancong memerlukan permit khas dari Kementerian Pelancongan Syria dan bukan semua ejen boleh mendapatkan kebenaran ini kerana diklasifikasikan sebagai kawasan 'panas.'

"Di sini, kami turut dibawa melihat sisa runtuhan rumah ejen pelancongan kami berikutan konflik di negara terbabit," katanya.

Abdullah Abrar berkata, sepanjang berada di sana tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Tidak dinafikan, kesan pengeboman masih boleh dilihat di sini, namun kami hanya dibawa ke kawasan yang selamat dikunjungi. Namun, itu bukan bermakna kami tidak berhati-hati.

"Biarpun masih berdepan konflik, ada kawasan tertentu dipenuhi orang ramai seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku di negara terbabit. Namun, ada juga kawasan yang dahulunya ramai, kini terbiar tanpa penghuni.

"Penduduk di sana juga sangat mengalu-alukan kehadiran pelancong yang secara tidak langsung dapat membantu menjana pendapatan mereka," katanya.

Bagi mereka yang ingin melancong ke Syria, Abdullah Abrar menasihatkan supaya persediaan awal dibuat dengan mendapatkan ejen pelancongan di Syria lebih awal.

"Proses untuk mendapatkan permit dan surat kebenaran memasuki negara ini juga mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

"Selain itu, sebolehnya elakkan kunjungan ke sana pada musim panas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 7:00 AM