RAYYAN bersemangat mencuba senjata TDM yang dipamerkan.
RAYYAN bersemangat mencuba senjata TDM yang dipamerkan.
Mohamad Fahd Rahmat


KANAK-kanak lelaki berusia empat tahun ini menunjukkan minatnya yang begitu mendalam terhadap pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) apabila sentiasa berpakaian ala tentera selama 24 jam selain turut menghafal lagu ketenteraan yang sering dimainkan dalam pasukan itu.

Bapanya, Muhammad Arif Zakaria, 30, yang juga anggota tentera di Kem Batu 10 Kuantan, Pahang berkata, anak tunggalnya itu, Muhammad Rayyan Mikael Al Hafiz yang mesra disapa Rayyan juga memiliki kebolehan menghafal nama setiap jentera TDM.

"Rayyan bukan saja sentiasa teruja menyaksikan pelbagai jenis kenderaan milik TDM dalam kem, malah rajin bertanyakan mengenai nama dan fungsi pelbagai jentera yang ada.

"Disebabkan keterujaan Rayyan yang tak mampu dibendung itu, dia pernah hilang ketika kami melawat pameran TUDM di Kuantan sebelum ini dan apabila ditemui Rayyan memaklumkan dia masuk ke setiap jentera dipamerkan," katanya.

Dua beranak itu ditemui ketika Karnival Tentera Darat 2022 Sempena Hari Malaysia dan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Mini Taman Seri Lambak, Kluang, Johor.

Muhammad Arif berkata, jika diminta untuk menggantikan pakaian tenteranya itu, Rayyan agak keberatan melainkan untuk dicuci sebelum dipakai semula.

"Jika diusik supaya pilih kerja lain pun, Rayyan tidak mahu, dia hanya minat jadi pasukan TDM," katanya.

AKSI Rayyan ketika Karnival Tentera Darat 2022 Sempena Hari Malaysia dan Hari ATM di Stadium Mini Taman Seri Lambak, di Kluang Johor.
AKSI Rayyan ketika Karnival Tentera Darat 2022 Sempena Hari Malaysia dan Hari ATM di Stadium Mini Taman Seri Lambak, di Kluang Johor.

Katanya, Rayyan dididik untuk bangun tidur seawal tujuh pagi sebelum menjalani rutin mandi dan membersihkan tempat tidur serta mengemas alat mainan pada setiap hari.

Bertitik tolak daripada itu, anak tunggalnya itu secara semula jadi sangat patuh dengan displin yang diterapkan, malah bercita-cita menjadi anggota TDM apabila dewasa kelak.

Muhammad Arif yang berpangkat koperal di Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja di kem berkenaan berkata, sudah berkhidmat 12 tahun dalam pasukan dan mengasuh Rayyan sendirian berikutan isterinya, Nur Hidayahtul Akhmal Hasan, 30, bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Sabah.

"Jika diikutkan dunia tentera ini bukan asing dalam keluarga kami kerana saya mengikut jejak datuk, Husin Ahmad, 89, pesara askar Melayu dalam skuad terjun payung, manakala arwah ayah, Zakaria Husin juga anggota TDM yang meninggal pada 2014 kerana kanser paru-paru.

ANTARA aksi menarik demonstrasi.
ANTARA aksi menarik demonstrasi.

"Di sebelah isteri saya, ayah mentua dan abang ipar berkhidmat dalam tentera darat manakala seorang lagi abang ipar berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya.

Malah, dia tidak akan menghalang minat Rayyan untuk menyertai pasukan TDM pada masa depan asalkan ia membawa kebaikan bagi dirinya dan keluarga.

Dalam pada itu, Ketua Staf Markas 7 Briged Kem Mahkota Kluang Leftenan Kolonel Mohamad Fairus Md Salleh berkata, lebih 31,000 pengunjung direkodkan hadir dalam karnival berkenaan.

"Karnival itu diadakan bertujuan meningkatkan hubungan baik TDM dengan masyarakat awam terutama di sekitar Johor.

"Objektif utama adalah memberi pendedahan mengenai tugas dan peranan TDM selain mempamerkan kepelbagaian aset serta kepakaran yang ada dalam pasukan TDM.

"Pelbagai aktiviti dan program menarik disusun untuk pengunjung seperti pameran, demonstrasi, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, pertandingan sajak dan acara sukan," katanya.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang membanjiri karnival.
SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang membanjiri karnival.

Beliau berkata, antara aset TDM yang dipamerkan adalah aset kenderaan seperti PT91M Pendekar, AV8 Gempita, AV4 Lipan Bara, ACV 300 Adnan, Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV), Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM GK MK IIII, Meriam 105 MM PH L5 dan pelbagai aset persenjataan serta alat komunikasi terkini.

"Lebih mencuri tumpuan ramai adalah aset Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) seperti helikopter AGUSTA A109LOH dan MD 530 G.

"Karnival ini turut disertai Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Yayasan LTAT serta Booth Pameran Kepakaran Tentera Darat," katanya.

Selain itu, turut diadakan demonstrasi Tim Akrobatik Army Red Warrior, Demonstrasi Ikhtiar Hidup dan Demonstrasi Masakan Medan oleh Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja.

AKSI dipamerkan mencuri perhatian pengunjung.
AKSI dipamerkan mencuri perhatian pengunjung.

"Kor Kesihatan Diraja (KKD) turut serta mengadakan Pameran Hospital Medan dan menawarkan pemeriksaan kesihatan dan pergigian kepada masyarakat setempat secara percuma.

"Pertandingan deklamasi sajak, mewarna dan melukis turut diadakan kepada pelajar sekolah serta kanak-kanak.

"Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) Tentera Darat juga mewarnai karnival ini dengan mengadakan aktiviti jualan sepanjang karnival," katanya.

Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan diiringi Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Selain Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Rashidin Hashimi Ab Rashid dan Panglima 7 Briged, Brigadier Jeneral Mohamad Suria Mohamad Saad selaku penganjur karnival.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 7:00 AM