PEMANDANGAN dari Hotel Eagle’s Nest, Hunza.
PEMANDANGAN dari Hotel Eagle’s Nest, Hunza.
Amy Roshilla Abdul Ghani


Sekiranya anda terbaca mengenai Pakistan, tentu terlintas di minda mengenai filem Bajrangi Bhaijan, lakonan aktor Salman Khan dan si cilik Harshaali Malhotra.

Pada ketika itu, pasti ramai yang baru mengetahui betapa indahnya Pakistan.

Namun, tahukah anda, Pakistan mempunyai banyak tempat menarik terutama di kawasan utara negara itu?

Penulis yang menetap di Islamabad, Pakistan kerana mengikut suami yang bertugas, sangat bersyukur kerana berpeluang melihat negara orang dan mempelajari adat serta budaya mereka yang sudah tentunya berbeza dengan kita.

Pada Ramadan lalu, penulis bersama keluarga dan beberapa sahabat dari Malaysia berpeluang berkunjung ke bahagian utara Pakistan.

Tentu cabaran bercuti di Ramadan tidak sama seperti hari biasa kerana perlu berjalan pada waktu panas terik, yang tentunya sangat mencabar fizikal dan mental.

Waktu yang paling sesuai untuk berkunjung ke Hunza adalah pada Jun hingga Oktober kerana ketika musim sejuk serta salji lebat, kebanyakan lokasi penginapan tidak beroperasi.

Pada musim panas dan luruh menjadi waktu yang paling ramai pengunjung kerana ketika itulah anda akan dapat lihat keindahan sebenar Lembah Hunza kerana landskap yang indah bak lukisan gergasi.

Perjalanan kami bermula dari Islamabad menggunakan perjalanan udara memandangkan penulis sendiri mempunyai anak kecil yang berusia enam bulan.

Perjalanan kami ke destinasi hanya mengambil masa 45 minit berbanding perjalanan darat yang memakan masa lebih 12 jam.

Namun demikian, saya amat menyarankan kepada anda yang sukakan cabaran untuk menggunakan perjalanan darat kerana lebih murah dan secara tidak langsung, anda dapat menikmati pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan ke Hunza.

PENULIS bersama anak sebaik tiba di lapangan terbang Skardu
PENULIS bersama anak sebaik tiba di lapangan terbang Skardu

Kami mendarat di lapangan terbang Skardu terlebih dahulu kerana tiket penerbangan terus ke Hunza sudah habis dijual. Kedatangan kami disambut pemilik agensi pelancongan, Awesome Adventure Pakistan, Altaf.

Altaf seorang pemandu pelancongan yang sangat berpengalaman walaupun masih muda. Beliau juga dikenali sebagai 'mountain boy' dalam kalangan pelancong Malaysia. Kami menggunakan khidmat Altaf bagi memudahkan segala urusan kami sepanjang lawatan ke Skardu dan Hunza ini.

Sejurus urusan di lapangan terbang selesai, kami memulakan lawatan ke Lower Kachura Lake atau lebih dikenali sebagai Shangri-la Lake.

Tasik buatan yang jernih dengan landskap berlatarbelakangkan gunung-ganang dan rumah penginapan (Shangri-la Resort Skardu) yang diilhamkan daripada seni bina China, bakal memukau pandangan anda.

RUMAH penginapan (Shangri-la Resort Skardu) yang diilhamkan daripada seni bina China.
RUMAH penginapan (Shangri-la Resort Skardu) yang diilhamkan daripada seni bina China.

Kami diberi masa untuk memotretkan memori sebelum beralih ke lokasi seterusnya iaitu Upper Kachura Lake.

Untuk sampai ke sini, kami perlu menuruni bukit kira-kira 10 minit dan perjalanan sedikit mencabar kerana sedang berpuasa waktu itu.

Kepenatan kami terbayar sebaik melihat keindahan tasik yang kehijauan. Air tasik yang jernih memanggil kami untuk bermain di gigi air.

Anak turut teruja melihat kejernihan air tasik. Air tasik bersuhu sejuk kerana berasal daripada glasier, sangat menyegarkan.

Sebagai seorang Muslim, anda tidak perlu runsing apabila tiba waktu solat kerana di mana-mana sahaja tersedia tempat solat terbuka untuk digunakan.

Di sini, anda juga boleh mencuba aktiviti air seperti menaiki bot mengelilingi Tasik Upper Kachura.

KEPENATAN terbayar sebaik melihat keindahan tasik yang kehijauan.
KEPENATAN terbayar sebaik melihat keindahan tasik yang kehijauan.

Di Skardu, kami menginap di Hotel Himalaya kira-kira 15 minit dari pekan Skardu sebelum meneruskan perjalanan ke Lembah Hunza.

Jika diberikan peluang dan masa yang panjang, kami ingin sekali melanjutkan percutian di Skardu kerana masih banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi.

Apa yang penulis kongsikan di sini hanya sebahagian daripada apa yang ada di Skardu. Kebanyakan lokasi di Skardu juga diwartakan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Keindahan alam semula jadi di Skardu yang tidak terusik pasti memikat hati anda yang bertandang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 7:00 AM