AIR Terjun Tegenungan dari dekat yang menarik kehadiran pelacong.
AIR Terjun Tegenungan dari dekat yang menarik kehadiran pelacong.
Hafiz Ithnin


PENERBANGAN kira-kira tiga jam dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali, Indonesia ternyata mengujakan buat gadis berusia 34 tahun ini.

Berkelana ke Bali selama empat hari tiga malam ke pulau popular antarabangsa itu adalah kali pertama buat Nadia Shaiful Bahari.

Ternyata percutian ke pulau itu memberi pelbagai pengalaman menarik buatnya kerana bukan sekadar dapat menikmati pemandangan pantai popular, malah berpeluang melihat secara dekat budaya dan kraf tangan yang diusahakan masyarakat setempat.

Nadia berkata, sudah lama dia bercadang untuk melancong ke Bali, namun disebabkan pelbagai kekangan termasuk sempadan negara ditutup kerana Covid-19 menyebabkan impiannya ke sana tertangguh.

Jelasnya, khabar mengenai salah satu destinasi pelancongan terkenal di Asia itu ternyata tidak dinafikan kerana ia mempunyai pelbagai tarikan yang sememangnya tidak puas melancong untuk satu satu tempoh yang pendek.

"Perkara yang paling tidak dapat dilupakan apabila berkesempatan mengunjungi Alas Harum Bali yang terletak kira-kira sejam perjalanan menaiki kenderaan dari Kuta.

"Di sini ada panorama menarik sawah padi berbukit yang mendamaikan. Malah, menurut pemandu pelancong kami ia salah satu tempat wajib dikunjungi pelancong jika ke Bali," katanya.

Lebih menarik jelasnya, di Alas Harum Bali terdapat aktiviti 'bermain' buaian yang menguji keyakinan diri pengunjung di tempat tinggi.

"Menerusi bayaran sekitar Rp.235,000 (RM69), kita boleh menaiki buaian berkenaan dan pengunjung akan dihayunkan di aras yang tinggi untuk melihat panorama sawah padi yang cukup luas," katanya.

Tambahnya, namun aktiviti itu tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai rasa gayat kerana kedudukan buaian berkenaan yang agak tinggi dan di antara dua lembah bukit.

"Apabila buai itu dihayunkan sememangnya rasa gayat terus terasa kerana dengan jelas saya boleh melihat kedudukan buai itu sangat tinggi.

MELIHAT pembuatan aksesori menggunakan perak di Yanyan Silver.
MELIHAT pembuatan aksesori menggunakan perak di Yanyan Silver.

"Walaupun sudah dipakaikan dengan alat keselamatan seperti abah-abah, tetapi rasa gerun tidak dapat disembunyikan. Saya sendiri walaupun dalam pakej boleh menikmati sehingga 15 kali hayunan, tetapi tidak mampu menghabiskan keseluruhannya," katanya.

Katanya, selain daripada aktiviti ekstrem itu, dia juga berkesempatan mengunjungi beberapa destinasi popular kraf tangan di Yanyan Silver.

Jelasnya, di lokasi berkenaan dia dapat melihat pembuatan aksesori daripada perak dan penggiat kraf tangan di sana begitu teliti.

"Menariknya saya berpeluang mengunjungi tempat pembuatan kraf tangan di Bali seperti batik dan pembuatan aksesori berasaskan perak.

"Apabila dapat melihat dengan lebih dekat cara penggiat seni menghasilkannya, saya lebih menghargai hasil tangan kraf tangan yang sebenarnya tidak mudah untuk dihasilkan," katanya.

Selain itu, Nadia juga mengunjungi antara air terjun yang popular di Bali iaitu Air Terjun Tegenungan. Lokasi itu menurutnya ibarat sebuah permata yang tersembunyi.

"Sebelum tiba di lokasi air terun itu sedikit pun saya tidak dapat mendengar deruannya kerana disambut dengan masyarakat setempat yang melakukan aktiviti jual beli.

MENONTON persembahan Tarian Kecak di Uluwatu Temple ketika matahari terbenam.
MENONTON persembahan Tarian Kecak di Uluwatu Temple ketika matahari terbenam.

"Tetapi, sebaik sahaja berada berhampirannya ada sebuah restoran mewah, Omma Bali yang amat cantik dan dipenuhi pengunjung tempatan dan antarabangsa di sana untuk menikmati panorama yang menarik itu," katanya.

Katanya, jika mengunjungi Bali, tetapi tidak menonton persembahan Tarian Kecak sudah semestinya tidak lengkap kerana ia adalah salah satu perkara wajib ditonton apabila mengunjungi pulau itu.

"Saya menonton Tarian Kecak di Uluwatu Temple. Persembahan itu diadakan ketika matahari terbenam dan pemandangannya cukup memukau," katanya.

Nadia berkata, dia berasa cukup puas dengan hanya berbelanja kurang RM2,000 termasuk pembelian

tiket pesawat ke Bali dapat menikmati pelbagai keindahan di pulau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 7:00 AM