SEKSYEN terbaharu Minion Land mengukuhkan lagi tarikan di  Universal Studio Singapore
SEKSYEN terbaharu Minion Land mengukuhkan lagi tarikan di Universal Studio Singapore
Nurul Husna Mahmud

MELIHAT keletah si genit karakter Minion, pembantu kepada karakter utama dalam animasi Despicable Me beraksi di Universal Studio Singapore (USS) berjaya mengundang tawa dan senyuman kepada pengunjung termasuk penulis.

Seolah-olah masuk ke dunia animasi itu dan menjadi rakan subahat kepada karakter serba kuning apabila setiap kemunculan berjaya memukau tumpuan semua yang berada di lokasi persembahan sehinggakan ada yang mengajuk aksi Minion dan turut sama menari.

Itulah keseronokan yang dapat dirasai ketika menjadi sebahagian daripada kumpulan media yang menghadiri acara pelancaran projek pembinaan Minion Land, USS baru-baru ini.

Meskipun pernah berada di taman tema popular ini suatu ketika dahulu, keterujaan kali ini berlainan. Mungkin kerana penangan pandemik!

Masuk sahaja pintu utama, kemeriahan sudah dapat dirasai apabila laluan utama sudah dihiasi dengan pentas berlatarkan seperti tapak pembinaan sebagai 'highlight' mengenai projek pembinaan seksyen terbaharu Minion Land yang mengukuhkan tarikan di USS.

Pelancaran projek itu disempurnakan Menteri Negara, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia & Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Alvin Tan dan Pegawai Eksekutif Resort World Sentosa (RWS), Tan Hee Teck.

PERSEMBAHAN retro Minion sempena meraikan sekuel baharu filem animasi terbabit turut menampilkan era sekitar 1970.
PERSEMBAHAN retro Minion sempena meraikan sekuel baharu filem animasi terbabit turut menampilkan era sekitar 1970.

PELANCARAN projek pembinaan Minion Land bakal menyaksikan tarikan terbaharu pengunjung USS.
PELANCARAN projek pembinaan Minion Land bakal menyaksikan tarikan terbaharu pengunjung USS.

Mengiringi pelancaran itu pastinya persembahan tarian dan kehadiran maskot Minion yang begitu lincah menghiburkan pengunjung.

Melihat kepada sambutan itu, penulis menjangkakan tarikan baharu dijangka siap pada 2024 itu pastinya dipenuhi pelbagai aktiviti atau permainan tunggangan yang dramatik, mengujakan dan mendebarkan seperti pengembaraan Gru bersama Minionnya.

Pengalaman awal, boleh mulakan kunjungan ke Minion Mart iaitu kedai bertemakan Minion.

Kedai serba kuning bersama jingga dan sedikit perincian biru adalah konsisten dengan warna karakter itu. Di sini peminat tegar boleh berbelanja dan memiliki pelbagai cenderahati comel sebagai kenangan.

Turut mengisi itenari sehari bersama Minion, penulis dan rakan media juga dihidangkan dengan set sajian tengah hari memaparkan tema sama di Loui's Pizza.

Detik menghiburkan apabila tidak melepaskan peluang menyaksikan sketsa pendek memaparkan aksi karakter itu berkung fu di Minion Fu selain persembahan tarian ala retro bersama penari latar sambil mengenakan kemeja bunga-bunga sesuai dengan musim panas.

MINION Mart iaitu kedai cenderahati menampilkan tema karakter Minion.
MINION Mart iaitu kedai cenderahati menampilkan tema karakter Minion.

Mood ini senada dengan kehadiran sekuel terbabaru filem Dispecable Minions 2: The Rise of Gru dijangka ditayangkan pada bulan ini.

Kesempatan berada di USS kali juga dimanfaatkan penulis bersama rakan media mencuba pelbagai tunggangan menarik.

Menerima layanan seperti kelas atasan, tiket 'fast lane' diberi RWS membantu pengalaman lebih baik kerana tidak perlu menunggu lebih lama untuk setiap permainan termasuk ketika berada di zon Transformers, tunggangan yang sering menjadi tumpuan. Setiap kali menaikinya masih mendebarkan apabila 'tersepit' dalam pertarungan antara Autobots dan Decepticons.

Selain itu permainan di zon Jurassic Park antara paling diingati. Mana tidaknya, terjunan dari jeram buatan tinggi membuatkan penulis lencun.

Dalam pilihan permainan dicuba di taman tema terbabit, tiada yang lebih mengujakan daripada cabaran di zon Battlestar Galactica.

SAJIAN bertemakan Minion memberi pengalaman kepada kumpulan media hadir dalam pelancaran.
SAJIAN bertemakan Minion memberi pengalaman kepada kumpulan media hadir dalam pelancaran.

ROLLERCOASTER Battlestar Galactica untuk mereka sukakan cabaran.
ROLLERCOASTER Battlestar Galactica untuk mereka sukakan cabaran.

Boleh dikatakan ketika mencuba dua jenis 'rollercoaster' iaitu 'Human' dan 'Cyclon,' hampir hilang suara kerana sepanjang tunggangan dengan kelajuan 90 kilometer sejam kami tidak berhenti menjerit.

Tidak hairanlah taman tema ini menjadi tarikan kerana setiap sudut permainan memiliki keunikan meskipun untuk permainan mesra kanak-kanak.

Pada sebelah petang kumpulan media diraikan dengan pengalaman berada di restoran mewah Osia Steak & Seafood Grill.

Difahamkan restoran ini menjadi tumpuan dan perlu ditempah setiap hujung minggu kerana kerap penuh dengan kunjungan orang ramai terutama pencinta hidangan stik dan panggang.

Sesuai dengan reputasi restoran bertaraf Machelin, hidangan dipersembahkan bermula sajian pembuka selera sehinggalah sajian penutup iaitu kek lava dengan sedikit sentuhan rasa lada hitam memiliki estatik dan rasa cukup elegan.

Mesti dicuba jika anda berkesempatan menjejak ke Resort World Sentosa yang juga menjadi lokasi USS.

PENULIS bergambar dengan Minion.
PENULIS bergambar dengan Minion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 7:00 AM