MENUNGGANG ATV sambil menikmati panorama menakjubkan.
MENUNGGANG ATV sambil menikmati panorama menakjubkan.
Teks dan foto Hafiz Ithnin


TERPINGA-pinga penulis sebaik diberikan kunci untuk menunggang kenderaan serba rupa bumi (ATV) di padang pasir di Taman Negara Sand Hollow di Utah, Amerika Syarikat baru-baru ini

Mana tidaknya, jika di Malaysia khidmat untuk melakukan aktiviti menunggang ATV pasti mempunyai penunjuk arah supaya pelanggan melalui laluan yang betul ketika melakukan aktiviti itu.

Namun di sini, sebaik sahaja pembayaran dibuat kira-kira RM1,547 ($AS350) untuk tiga jam aktiviti itu, pelanggan diberi kebebasan menerokai padang pasir di taman negara seluas 535 hektar itu!

Padang pasir di Taman Negara Sand Hollow sememangnya amat luas. Justeru, pelbagai aktiviti boleh dilakukan selain bermain ATV seperti berkhemah dan bermain golf kerana terdapat resort yang menawarkan sukan itu kepada peminatnya.

Meskipun di langit kelihatan cerah dengan matahari berada di atas kepala, suhu di sekeliling tidaklah mencerminkan keadaan sebenarnya kerana rasa sejuk masih terasa meskipun musim sejuk sudah tiba di penghujungnya.

Sebenarnya di Taman Negara Sand Hollow terdapat banyak laluan untuk memandu ATV kerana menerusi taklimat yang diberikan operator, penulis hanya perlu mengikuti peranti Sistem Kedudukan Sejabat (GPS) yang sudah diberikan.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk membaca penunjuk arah elektronik menerusi peranti itu kerana ia tidak seperti aplikasi memandu popular yang sering digunakan.

MESKIPUN kelihatan seperti cuaca panas, tetapi keadaan sekeliling masih sejuk.
MESKIPUN kelihatan seperti cuaca panas, tetapi keadaan sekeliling masih sejuk.

Hampir 30 minit mencari arah untuk dituju akhirnya penulis mendapat petunjuk lokasi permulaannya. Itu pun selepas mengekori pelanggan lain yang mungkin sudah biasa dengan lokasi berkenaan.

Sebaik sahaja memasuki salah satu laluan menunggang ATV, panorama berona jingga seluas pemandangan menjadi tatapan. Pasir halus berdebu sudah menjadi laluan utamanya.

Ketika memulakan tunggangan hanya penulis dan sahabat sahaja berada di padang pasir terkenal di Utah itu, sehinggalah tiba di kawasan berbukit kami menemui penunggang ATV yang lain.

Menariknya di sini terdapat jenis ATV yang digunakan peminatnya bermula dari dua tempat duduk sehingga empat tempat duduk. Pada hemat penulis ada antara mereka yang sudah biasa ke sana dan ada juga dalam kalangan pelancong dari luar negara.

TERASA berada di dalam lembah asing yang memukau.
TERASA berada di dalam lembah asing yang memukau.

Suara riuh rendah kedengaran dari jauh menandakan keseronokan pengunjung menikmati menunggang ATV di padang pasir itu. Tidak kurang juga yang memberhentikan kenderaan untuk merakam foto peribadi.

Menariknya apabila tiba di kawasan berbukit, jelas kelihatan pemandangan gurun yang cukup luas dan pastinya mata akan tertumpu kepada sebuah takungan air kehijauan yang dikenali sebagai Sand Hollow Reservoir.

Sand Hollow Reservoir juga antara lokasi menarik untuk dikunjungi bagi melakukan aktiviti beriadah seperti berenang dan memancing. Namun, lokasinya dari tempat penulis bermain ATV agak jauh.

Selain pemandangan Sand Hollow Reservoir kelihatan juga pelbagai banjaran gunung berona jingga di sekeliling penulis. Terasa seperti berada di dalam sebuah lembah yang cukup magis.

Meskipun rasa sejuk masih lagi hinggap ke tulang, keseronokan menikmati tunggangan ATV di pelbagai laluan mencabar di padang pasir itu mengetepikan rasa itu.

Apatah lagi dapat menekan minyak sehingga ke tahap maksimum ketika ingin mendaki kawasan tinggi memberikan seribu satu kepuasan. Apabila bertembung dengan penunggang ATV lain mereka juga sentiasa mengangkat tangan dan saling bersorak, menambah lagi keceriaan menikmati aktiviti lasak itu.

Sebenarnya di Taman Negara Sand Hollow mempunyai banyak operator yang menawarkan perkhidmatan menyewa ATV. Jika mempunyai bajet, pengunjung boleh menggunakan khidmat penunjuk arah.

PEMERIKSAAN ATV sebelum memulakan perjalanan.
PEMERIKSAAN ATV sebelum memulakan perjalanan.

Selain itu, sebelum menyewa ATV pihak operator akan memeriksa jentera berkenaan supaya dalam keadaan baik. Menariknya semua jentera yang disewakan dalam keadaan baharu walaupun melalui pelbagai laluan mencabar.

Mungkin disebabkan operator begitu tegas memastikan sebelum menyewa setiap sudut ATV akan diperiksa terlebih dahulu. Jika terdapat kerosakan atau calar, gambar akan diambil.

Sekiranya terdapat kerosakan ATV termasuk calar, ia akan ditanggung penyewa. Jadi, walaupun merasa keseronokan bermain ATV di padang pasir ini, jentera perlu dipastikan dalam keadaan baik.

Jika tidak, hangus wang deposit yang diambil menerusi kad kredit. Wang deposit yang perlu dibayar juga agak tinggi.

Ternyata sepetang di Taman Negara Sand Hollow bermain ATV memberi pengalaman yang begitu berharga untuk penulis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 7:00 AM