MENAIKI pacuan empat roda dalam perjalanan dari Gilgit ke Chitral.
MENAIKI pacuan empat roda dalam perjalanan dari Gilgit ke Chitral.
Muhamaad Razis Ismail


PANDEMIK Covid-19 yang merebak ke seluruh dunia menyebabkan banyak negara terpaksa menutup pintu sempadan masing-masing.

Sepanjang tempoh itu, banyak sektor tidak dapat beroperasi dan yang pastinya antara terjejas teruk adalah aktiviti pelancongan, bukan sahaja domestik malah antarabangsa.

Bagi yang sudah terbiasa dengan aktiviti mengembara ke luar negara, pastinya gelisah apabila 'terkandas' dalam tempoh yang lama di dalam negara.

Bagaimanapun, apabila kadar kes semakin berkurangan dan peratusan dewasa yang sudah lengkap vaksinasi mencapai angka 90 peratus, kerajaan membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara.

Pastinya berita ini disambut baik rakyat Malaysia. Pada masa sama, terdapat banyak negara yang pada ketika itu menerima kehadiran rakyat negara ini yang lengkap divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin.

Pengembara sepenuh masa, Siti Noridah Ab Rahaman, 38, yang aktif mengembara ke lebih 60 negara di seluruh dunia antara individu paling gembira menerima perkhabaran itu

Pakistan menjadi negara pertama yang ingin dikunjungi selepas hampir 20 bulan 'terkandas' di negara sendiri.

Biarpun sudah beberapa kali ke negara di Asia Selatan itu, dia tidak pernah jemu dengan keindahannya.

TASIK di sekitar Kalam, lembah Swat yang sudah pun membeku.
TASIK di sekitar Kalam, lembah Swat yang sudah pun membeku.

Siti Noridah berkata, kali terakhir dia ke Pakistan adalah pada November 2019 sebelum seluruh dunia diserang pandemik.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia terpaksa menahan rindu terhadap negara yang dikategorikan sebagai yang tercantik pernah dikunjungi.

"Saya sudah menganggap Pakistan sebagai rumah kedua selepas Malaysia.

"Selain itu, saya memilih ke negara itu kerana ia paling mudah untuk dimasuki buat masa sekarang tanpa perlu menjalani kuarantin," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebaik kebenaran untuk ke luar negara diberikan, dia terus membuat perancangan ke negara terbabit termasuk membeli tiket penerbangan pada 30 Oktober tahun lalu

"Sebelum ke sana saya membuat ujian RT-PCR dan selain memohon visa pelancong. Saya bersyukur semuanya berjalan lancar sebelum terbang ke Pakistan," katanya.

Siti Noridah mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur ke Islamabad.

"Disebabkan Covid-19, perjalanan menjadi lebih panjang iaitu hampir 24 jam kerana perlu melalui dua kali transit di Dubai dan Karachi. Kebiasaannya perjalanan cuma mengambil masa selama 10 jam termasuk transit di Bangkok," katanya.

BERSAMA rakan lama, Prince di Peshawar.
BERSAMA rakan lama, Prince di Peshawar.

Katanya, sebaik mendarat di Islamabad, dia perlu menjalani ujian calitan yang ditanggung pihak lapangan terbang Pakistan.

"Jika negatif tidak perlu kuarantin dan boleh bergerak di Pakistan seperti biasa. Saya bersyukur keputusan ujian yang diperoleh adalah negatif," katanya.

Kemudian pada keesokan hari, dia terus mengambil penerbangan ke Skardu yang mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan.

"Oktober adalah kemuncak musim luruh dan saya tidak mahu lepaskan peluang menikmati keindahan pemandangan di Skardu yang sangat cantik.

"Lantas saya tidak berlengah dan terus ke Skardu untuk 'mengejar' musim luruh yang hampir berakhir," katanya.

Selain Skardu, dia turut ke beberapa lokasi lain di sekitar Pakistan antaranya Gilgit, Naltar Valley, Hunza Valley, Gulmit, Kalam dan Peshawar.

Ditanya situasi pandemik di Pakistan, Siti Noridah berkata, keadaan amat normal dan tiada orang bercakap berkenaan pandemik itu.

"Di kawasan yang agak terpencil dan pergunungan, kes hampir tiada di sini. Tiada siapa kisah untuk memakai pelitup muka atau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti di Malaysia.

"Bagaimanapun, sekiranya berada di bandar besar, saya akan memakai pelitup muka dan cuba menjaga jarak sebagai inisiatif keselamatan diri sendiri," katanya.

Jelasnya, masyarakat di sana sangat mengalu-alukan kehadiran pelancong dari luar.

Katanya, sehingga kini dia masih berada di Pakistan dan merancang ke negara lain yang belum dipastikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 7:00 AM