MAT Jaman menunjukkan keadaan anak pokok pisang nangka yang sihat.
MAT Jaman menunjukkan keadaan anak pokok pisang nangka yang sihat.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PENANAMAN pisang menjadi pilihan kebanyakan petani kerana permintaan pasaran tinggi selain pulangan atau harganya lebih stabil berbanding tanaman lain.

Namun, ramai petani melihat tanaman itu antara berisiko tinggi kerana ia dikatakan mengambil tempoh yang panjang iaitu kira-kira 10 bulan sebelum dituai.

Ini sekali gus mengundang pelbagai permasalahan seperti serangan penyakit dan haiwan perosak yang boleh menjejaskan pulangan hasil.

Berbeza dengan seorang usahawan tani dan pengusaha tanaman pisang di Sungai Siput (U), Kuala Kangsar, Perak, Mat Jaman Mat Noor, 39, apabila melihat tanaman itu antara paling mudah diusahakan.

"Bagi saya tanaman pisang antara paling mudah untuk petani jana pendapatan yang lebih stabil setiap musim berdasarkan permintaan tinggi baik daripada pembekal atau pemborong produk ladang.

"Selepas berkecimpung dalam pertanian hampir 20 tahun dan pernah menanam pelbagai jenis tanaman, saya dapati pisang sentiasa memberi pulangan baik terutama daripada segi harganya.

"Malah harga pisang semasa antara RM2 hingga RM2.50 pada harga ladang dan untuk harga runcit boleh mencapai kira-kira RM4 hingga RM5.

ANAK benih pisang dari kaedah kultur tisu di ladang milik Mat Jaman di Sungai Siput (U), Kuala Kangsar, Perak.
ANAK benih pisang dari kaedah kultur tisu di ladang milik Mat Jaman di Sungai Siput (U), Kuala Kangsar, Perak.

JARAK tanaman rapat adalah  kaedah terkini dengan sistem pengairan yang baik.
JARAK tanaman rapat adalah kaedah terkini dengan sistem pengairan yang baik.

"Penting untuk pastikan buah berada pada kualiti baik setanding pasaran. Saya menggunakan anak benih tisu kultur kerana pokok tahan penyakit dan saiz buahnya juga besar," katanya.

Kata Mat Jaman, dia mengusahakan pelbagai tanaman termasuk pisang di lima ladang dengan luas keseluruhan 36.4 hektar.

Dia turut mengamalkan penanaman kaedah konvensional iaitu penanaman atas batas dan sumber air dari sungai berhampiran bagi memastikan ladang itu sentiasa dalam keadaan baik.

"Aspek penting bagi penanaman pisang ialah sumber air, cahaya dan baja mencukupi untuk memastikan pokoknya membesar dengan baik.

"Dalam ladang yang diusahakan, saya akan pastikan sistem pengairan renjis (sprinkler) untuk tanaman dalam keadaan baik. Ini penting bagi penanaman lebih moden iaitu jarak tanaman lebih dekat.

"Jika kaedah sama digunakan dengan cara orang terdahulu, bagi keluasan tanah 0.4 hektar, hanya boleh tanam sekitar 500 pokok, tetapi dengan sistem pengairan baik saya boleh tanam sekitar 1,000 hingga ke 1,200 pokok pada keluasan sama," katanya.

Kata Mat Jaman, untuk musim ini, dia menanam kira-kira 8,000 pokok pisang iaitu bagi pisang nangka dan tanduk.

Dijangka pengeluaran mencecah kira-kira 65 hingga 70 tan berdasarkan sepokok dapat menghasilkan buah dengan berat sekurang-kurangnya 12 kilogram.

TENAGA kerja ramai diperlukan bagi penanaman anak benih pisang kultur tisu.
TENAGA kerja ramai diperlukan bagi penanaman anak benih pisang kultur tisu.

"Menerusi anak benih tisu, pengeluaran buah konsisten antara 12 hingga 20 kilogram semusim.

"Pendapatan kasar boleh diraih sekitar RM100,000 dengan tuaian kira-kira lebih 60 tan semusim," katanya.

Tambah Mat Jaman, amalan ladang baik seperti hubungan dengan komuniti termasuk penternak setempat membantu bagi mendapatkan pilihan baja lebih murah.

"Baja pula, saya gunakan baja tahi ayam dibeli daripada pengusaha ladang berhampiran yang jual lebih murah," katanya.

"Ketika ini kami golongan petani terbeban dengan input pertanian seperti baja dan racun yang mengalami kenaikan harga 100 peratus.

"Saya berharap kerajaan dapat memikirkan mekanisme bagi mengurangkan kenaikan harga input pertanian yang semakin melonjak sekali gus dapat membantu petani menjana pendapatan memberangsangkan," katanya.

Bagi menangani serangan perosak pula terutama babi, kata Mat Jaman, dia menggunakan pendekatan menerusi tanaman labu.

"Sementara menuai pisang, saya akan tanam labu. Kebaikan menanam labu juga membantu menghalau babi daripada merosakkan anak pokok pisang.

"Apabila labu sudah matang iaitu kira-kira 70 hari selepas ditanam, anak pokok pisang sudah tinggi. Babi sebenarnya tidak suka dengan pokok labu kerana daun atau pokok labu ini miang," katanya.

Hasil tuaian labu juga membantu menjana pendapatan tambahan sementara menanti pengeluaran hasil pisang yang biasanya dituai selepas 10 bulan ditanam.

Kata Mat Jaman, cabaran lain dalam mengusahakan ladang dengan kapasiti skala ini adalah tenaga kerja berkurangan.

"Setakat ini saya menggunakan 10 hingga 15 pekerja terutama ketika tempoh kahwin bunga dan tuai.

"Masalahnya ketika pandemik, berlaku kekurangan tenaga kerja kerana sektor ini bergantung kepada pekerja asing.

"Jadi, saya beralih dengan mengupah tenaga kerja tempatan terutama Orang Asli bagi mengisi kelompongan tenaga kerja ditinggalkan warga asing," katanya.

SISTEM pengairan renjisan bagi memastikan tanaman mendapat air yang mencukupi.
SISTEM pengairan renjisan bagi memastikan tanaman mendapat air yang mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 6:30 AM