MASYHUR iaitu bangunan katedral tertua di England, Katerdral Canterbury yang hanya sempat dirakam dari luar.
MASYHUR iaitu bangunan katedral tertua di England, Katerdral Canterbury yang hanya sempat dirakam dari luar.
Nur Zalfarina Azmee
rencana@hmetro.com.my


Jikaanda merancang menjelajah salah satu kota di England dalam tempoh sehari, penulis berasakan Kota Katerdral Canterbury, Kent, adalah pilihan destinasi yang sesuai.

Kota itu bukan sahaja mempunyai seni bina yang menarik, malah turut menyimpan kisah peradaban Eropah paling panjang kerana dipercayai dihuni sejak zaman prasejarah Neolitik lagi.

Kebetulan penulis berada di England kerana mengikuti pengajian di London, memilih untuk melawat Canterbury pada penghujung Oktober baru-baru ini.

Perjalanan menggunakan kereta api menuju Canterbury dari Baywaters iaitu bandar tempat penulis tinggal dan mengambil masa satu jam 30 minit untuk sampai ke stesen Canterbury West. Harga untuk tiket adalah RM199.53 untuk perjalanan pergi dan balik pada bila-bila masa.

Meskipun bagi segelintir orang harga itu agak mahal, namun jika dinilai dengan pengalaman dan pemandangan yang boleh dinikmati pengunjung sepanjang berada di Canterbury, ia adalah 'pelaburan' yang berbaloi.

Untuk ke stesen Canterbury West iaitu stesen kota Canterbury, sebenarnya anda boleh naik dari mana-mana stesen kereta api di London asalkan aliran perjalanan yang dipilih menuju Selatan Timur (train southeastern).

Sampai sahaja ke destinasi, pintu gerbang kota atau The Westgate Tower adalah seni bina utuh yang membuatkan anda mengagumi peminat filem legenda atau zaman pertengahan Inggeris.

PENULIS bergambar di salah satu ‘spot’ menarik di Westgate Garden.
PENULIS bergambar di salah satu ‘spot’ menarik di Westgate Garden.

Mana tidaknya dengan ketinggian struktur itu lebih 18 meter, ia antara pintu gerbang bandar terbesar yang masih ada di England dan dipercayai dibina sekitar 1379 menggunakan batu lama Kentish.

Pintu gerbang berkenaan juga antara tujuh pintu abad pertengahan yang masih dipelihara dengan baik dan menjadi mercu tanda penting bagi kota Canterbury.

Seperti makluman reputasi kota ini adalah bandar katedral iaitu merujuk kepada 'kota suci' kerana menempatkan gereja usia ratusan tahun seperti Katedral Canterbury selain St Augustine Abbey dan kedua-duanya dinobatkan sebagai tapak warisan dunia.

Paling masyhur adalah reputasi Katedral Canterbury di Canterbury, Kent kerana bangunan ini ialah katedral Ketua Biskop Canterbury, ketua Gereja England dan ketua simbolik Golongan Anglican di seluruh dunia. Gelaran formalnya ialah Katedral dan Gereja Metropolitan Christ di Canterbury.

Penulis hanya merakam foto dari jauh kerana ada kerja pengubahsuaian dijalankan dan untuk masuk juga pengunjung perlu bayar.

TEGAP bangunan pintu gerbang, Westgate Tower dikatakan antara tujuh binaan abad pertengahan yang terdapat di England.
TEGAP bangunan pintu gerbang, Westgate Tower dikatakan antara tujuh binaan abad pertengahan yang terdapat di England.

Masa banyak dihabiskan untuk menikmati panorama cantik di Westgate Gardens. Westgate Gardens adalah taman tertua di England dan dari pintu gerbang pengunjung hanya perlu berjalan selama tiga minit untuk menemui taman.

Taman ini ada panorama dan tarikan cukup sentimental selain daun dan bunga bertaburan, pengunjung boleh menikmati pemandangan seperti ada terusan atau sungai dengan sekumpulan itik bermain di dalamnya. Ada ketika sekawan itik itu akan berjalan di darat dan berkeliaran di sekitar taman.

Lokasi ini 'spot' paling menarik terutama mereka yang sangat menyukai aktiviti bergambar kerana setiap sudut ada sahaja tampak menarik dan unik.

Taman ini dibuka kepada umum dan boleh dikatakan agak luas kerana mengambil masa 20 minit untuk melawat sekitarnya.

Selain taman, menikmati setiap binaan dan laluan di kota itu juga boleh menjadi satu pengalaman menyeronokkan. Antara yang mesti dilawat ialah satu bangunan ikonik iaitu The Old Weaver's House.

Gaya klasik Inggeris, binaan bangunan dua tingkat yang separa kayu menampilkan warna putih latar dan perincian garisan hitam itu juga antara restoran popular di kota terbabit. Sebelahnya pula terdapat stesen bagi mereka yang ingin menyusuri sungai sekitar kota berkenaan.

Bercakap mengenai bangunan lain tidak kurang uniknya ialah The Crooked House. Seperti namanya, rumah ini ketara senget seolah-olah hendak runtuh gayanya.

Difahamkan ia berlaku kerana ada kerja pengubahsuaian pada serombong asap rumah itu menyebabkan ia kekal sampai sekarang. Ia boleh jadi subjek unik untuk dikongsi sebagai latar gambar dalam media sosial anda.

Berita baik juga buat pengunjung dari Malaysia ialah di sini tidak sukar mencari makanan halal. Berjalan di sekeliling ada pelbagai pilihan kafe atau restoran menyediakan sajian halal termasuk kebab, nasi dan sajian lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:00 AM