PEMANDANGAN dari puncak Chimney Walking Trail.
PEMANDANGAN dari puncak Chimney Walking Trail.
Redzuan Muharam


JIKA anda seorang pencinta sejarah, sukakan alam semula jadi dan cenderung berada di tempat yang tidak sesak, Wilayah Persekutuan Labuan antara destinasi ideal untuk dikunjungi.

Lagipun, kerajaan sudah memberi lampu hijau untuk merentas negeri jadi ini masanya meneroka pulau berstatus bebas cukai dan mempunyai 16 tapak taman geologi (geopark) itu bersama rakan atau keluarga tercinta.

Baru-baru ini, penulis bersama 11 wakil media dari Kuala Lumpur, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berkesempatan mengikuti trip Labuan Geopark Media Famtrip anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Malaysia Airlines, MASwings serta Perbadanan Labuan.

Trip empat hari tiga malam itu memberi peluang kepada penulis merasai pengalaman percutian norma baharu seiring dengan keadaan negara yang masih dilanda pandemik Covid-19.

Banyak sebenarnya tempat menarik di Labuan dan antara tempat tarikan dikunjungi penulis adalah Taman Peringatan Perang yang terletak di Jalan Tanjung Batu.

Di situ bersemadinya 3,908 pahlawan perang termasuk yang beragama Islam kerana terkorban ketika Perang Dunia Kedua.

Mereka terdiri daripada tentera warga Australia, Britain, New Zealand, Punjab Signal Corp dan penduduk tempatan yang terbunuh ketika pencerobohan Jepun di Borneo.

DUGONG yang diawet dipamerkan di Muzium Marin Labuan.
DUGONG yang diawet dipamerkan di Muzium Marin Labuan.

Destinasi kedua dikunjungi penulis dan rombongan media ialah Muzium Marin Labuan di Jalan Tanjung Purun.

Menariknya ia muzium pertama seumpamanya di dalam negara yang bertemakan hidupan laut dan pelawat boleh masuk ke situ secara percuma.

Pelbagai spesies ikan selain maklumat berkaitan kapal karam dipaparkan, namun yang paling mencuri perhatian penulis adalah dugong yang sudah diawet dan rangka ikan paus biru di tingkat dua muzium.

Selesai lawatan, penulis ke Ramsay Point pula yang terletak di belakang muzium dan berpeluang melihat kapal kargo berlabuh sambil menikmati desiran bayu dan merakam gambar pemandangan sekitar.

LABUAN United Nation pernah memenangi Anugerah United Nation COBSEA Clean Beach 2008.
LABUAN United Nation pernah memenangi Anugerah United Nation COBSEA Clean Beach 2008.

Ketika kunjungan penulis, kawasan itu lengang, namun hakikatnya ia meriah dengan pengunjung yang datang makan dan minum di gerai berhampiran sambil menikmati angin pantai.

Satu lagi kawasan dikunjungi penulis adalah Labuan United Nation yang pernah memenangi Anugerah United Nation COBSEA Clean Beach 2008.

Selepas puas berjalan di pesisir pantai, penulis bersama rombongan dibawa menjamu selera di Desa Tunas Hijau di Jalan Sungai Pagar.

Istimewanya tempat ini kerana ia lengkap dengan chalet menawarkan harga berpatutan dan antara keunikannya adalah rumah pokok sesuai untuk pengunjung yang mahukan pengalaman baharu.

PENULIS (depan) merasai pengalaman pertama menunggang ATV.
PENULIS (depan) merasai pengalaman pertama menunggang ATV.

Pelbagai aktiviti riadah boleh dilakukan di situ seperti berkayak, berbasikal dan menunggang kenderaan 'serba rupa bumi' atau lebih dikenali sebagai 'all terrain vehicle' (ATV).

Penulis tidak pernah menunggang ATV sebelum ini dan teruja apabila diberi peluang merasai pengalaman itu walaupun agak sukar mengawal kenderaan berkenaan pada awalnya kerana saiz yang besar.

Laluan treknya tidak begitu mencabar dan sesuai untuk mereka yang baru ingin mencuba aktiviti lasak itu.

CHALET berkonsepkan rumah pokok antara tarikan yang ada di perkampumgan rekreasi, Desa Tunas Hijau.
CHALET berkonsepkan rumah pokok antara tarikan yang ada di perkampumgan rekreasi, Desa Tunas Hijau.

Tidak terhenti di situ, penulis dan rombongan media dibawa melakukan pendakian santai di Chimney Walking Trail, Tanjung Kubong.

Hanya lima hingga 10 minit berjalan melalui laluan denai sebelum tiba di puncak yang menyajikan pemandangan indah laut yang luas.

Antara peninggalan sejarah di situ adalah Gedung Ubat yang dulunya menjadi tempat simpanan peluru tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Sekiranya datang pada sebelah pagi, pengunjung berpeluang melihat Gunung Kinabalu dari puncak berkenaan.

Turun daripada puncak, penulis berjalan di tepi pantai dan dapat melihat ukiran batu serta sempat merakam gambar nelayan, Ali Suip, 60, yang sedang menjala ikan bagi mencari rezeki buat isteri dan tiga anaknya.

Pendakian penulis dan wakil media berakhir di Wak Kiman, satu tapak perkhemahan diusahakan penduduk kampung, Herifian Sukimin, 46, dan sepupunya, Noor Afendy@Jack Mohammad, 40.

Menurut Herifian, tapak itu boleh memuatkan 30 khemah dalam satu masa dan menjadi tumpuan pendaki terutama pada hujung minggu malah strategik bagi melihat matahari terbit.

Tidak lengkap rasanya percutian jika tidak membawa pulang buah tangan. Jadi, penulis sempat singgah ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wilayah Persekutuan Labuan bagi membeli ikan bilis mata biru, keropok empelang, keropok cincin dan belacan. Paling unik, sayur paha-paha yang sering menjadi 'buruan' pelancong kerana dikatakan tidak terdapat di tempat lain.

Pada akhir program iaitu pada majlis makan malam perpisahan, penulis menemu bual Pengarah Tourism Malaysia Sabah (TMS), Mohd Faharuddin Hatmin dan beliau memaklumkan trip bersama media itu julung kali diadakan sejak tercetusnya pandemik.

Trip itu, katanya, bertujuan mempromosikan lagi Labuan sebagai destinasi percutian untuk tempoh lama, bukan hanya pada hujung minggu.

Mohd Faharuddin yakin Labuan akan bangkit semula dalam sektor pelancongan malah pengusaha industri bersedia menerima kedatangan pelancong bukan hanya domestik, tetapi antarabangsa meskipun terjejas teruk sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 7:00 AM