LEMBU yang diternak Adi.
LEMBU yang diternak Adi.
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


PEMBABITANNYA dalam bidang penternakan lembu sejak 2008 lalu sebenarnya berlaku secara tidak sengaja.

Semuanya bermula apabila Adi Hafiz Ahmad Zainuddin, 36, diminta menjaga tanah milik bapanya di Segamat, Johor kerana masih tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Berikutan tanah seluas kira-kira 0.6 hektar sukar diuruskan sendiri kerana dipenuhi semak, Adi Hafiz mencadangkan kepada bapanya supaya menternak lembu.

Bermula hanya tiga ekor lembu dengan modal dikeluarkan bapanya, jumlah itu semakin lama semakin bertambah sehingga mencecah 40 ekor dalam tempoh empat tahun.

Adi Hafiz berkata, pada ketika itu, aktiviti perternakan lembu semakin berkembang apabila mendapat permintaan tinggi.

Melihat jumlah lembu yang semakin bertambah dan ruang tanah yang kian terhad, dia mengambil keputusan untuk mencari kawasan lebih sesuai.

"Saya kemudian membuat permohonan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Segamat (JPV) untuk menternak lembu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

TERNAKAN lembu yang dijalankan secara fidlot.
TERNAKAN lembu yang dijalankan secara fidlot.

"Selepas melalui pelbagai proses termasuk menyediakan kertas kerja, lawatan ke ladang ternakan dan temu bual, saya diberikan kebenaran untuk menternak lembu di atas tanah seluas lapan hektar di TKPM Tungku Tiga, Segamat.

"Alhamdulillah, kemudian selepas projek dilihat berkembang maju, saya membuat lagi permohonan dan diberikan tambahan tanah seluas 12 hektar secara berperingkat di Ladang Satelit Nasional (LSN) Bangas," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberikan untuk menambah bilangan lembu sedia ada.

"Kini saya mempunyai kira-kira 80 ekor lembu yang dipelihara secara fidlot dan integrasi sawit. Sebanyak 100 ekor dilepaskan di ladang kelapa sawit manakala selebihnya dipelihara di TKPM," katanya.

RUMPUT napier yang diproses tahan lebih lama.
RUMPUT napier yang diproses tahan lebih lama.

Menerusi aktiviti penternakan lembu, dia mendapat idea untuk menanam rumput napier untuk dibekalkan kepada penternak.

"Untuk dua tahun pertama, ia kurang mendapat sambutan kerana penternak tidak dapat memproses sendiri rumput untuk diberikan kepada ternakan.

"Saya kemudian mengambil inisiatif sendiri belajar di YouTube dan menghadiri beberapa kursus untuk memproses sendiri rumput napier bagi memudahkan penternak selain tahan lebih lama. Selepas itu, permintaan meningkat mendadak," katanya.

Selain itu, dia juga terbabit dalam perniagaan dedak yang dibekalkan kepada penternak dan peniaga di kawasan sekitar.

Dia juga bijak memanfaatkan media sosial untuk menjalankan aktiviti pemasaran produk yang disediakan.

"Saya dihantar JPV untuk menyertai kursus pemasaran dan di situlah saya banyak belajar ilmu baharu mengenai media sosial.

"Menerusi media sosial, perniagaan yang sebelum ini tertumpu di kawasan sekitar mula berkembang apabila mendapat permintaan dari luar Johor termasuk Pahang, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan," katanya.

PROSES memotong rumput napier.
PROSES memotong rumput napier.

Jelasnya, sepanjang terbabit dalam bidang penternakan ini, dia mengakui berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah sukar mendapat tenaga kerja.

"Saya tidak nafikan memang ada golongan muda tapi tidak ramai kerana mereka tak berminat untuk menceburi bidang ini.

"Selain itu, saya mendapati teknologi dan inovasi pertanian perlu dipertingkatkan lagi berbanding negara luar.

Katanya, dia sama sekali tidak menyangka melihat pencapaian yang diperoleh selepas 13 tahun terbabit dalam bidang penternakan.

"Saya akui pada awalnya tidak minat dan tidak mempunyai perancangan untuk menjadi penternak. Malah saya pernah beberapa kali hampir berputus asa.

"Namun berkat kesabaran dan dorongan keluarga, saya teruskan sehingga ke hari ini," katanya.

Dia turut berkongsi nasihat kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang penternakan sebagai kerjaya mempunyai jiwa dan tenaga.

"Apabila terbabit dalam bidang ini, anda tidak boleh harapkan 100 peratus kepada pekerja.

"Dengan kata lain, anda perlu sentiasa turun padang dan belajar dari bawah berkenaan selok-belok penternakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 6:44 AM