PEMANDANGAN dari tempat pelepasan gelongsor air.
PEMANDANGAN dari tempat pelepasan gelongsor air.
Amirah Norliyana Ramlan


SEBAIK kerajaan Singapura memberi kelonggaran kepada beberapa industri termasuk pelancongan untuk mula operasi pada penghujung Jun lalu, kesempatan itu diambil penulis untuk mencuba pengalaman pelayaran di atas kapal persiaran mewah, Dream Cruises World.

Kebetulan harga pakej ditawarkan antara terendah, tentunya pelancong teruja untuk menikmati pengalaman percutian ala 'Titanic.'

Penulis bersama dua lagi rakan, Amira Ahmad,25, dan Nor Hafiza Ghazali, 21, juga warga Malaysia yang bekerja di Singapura cuba memanfaatkan peluang bercuti atas kapal untuk melepaskan tekanan serta menenangkan fikiran.

Pakej tawaran percutian tiga hari dua malam atas kapal mewah menyusuri perairan Indonesia dan Malaysia itu dengan harga RM888 (SGD 296) termasuk makan, minum dan penginapan dikira cukup berbaloi.

Jika bermalam di hotel pun, harga untuk semalam sahaja mencecah hampir RM500 (SGD 150). Kali ini kami dapat menikmati pengalaman bersantai atas kapal serba mewah!

Apatah lagi pakej RM888 itu termasuk ujian calitan Covid-19 kepada setiap penumpang sebelum menaiki kapal. Boleh dilihat operator pelancongan ini amat menitik berat prosedur operasi standard (SOP) keselamatan Covid-19 bagi menjamin setiap pelancong menaiki kapal bebas pandemik itu.

Proses mendaftar masuk ke kapal merangkumi pemeriksaan imigresen dan prosesnya mengambil masa lama iaitu dari jam 10.30 pagi dan hanya jam 2 petang baru dapat masuk bilik masing-masing.

PEMANDANGAN senja dari atas kapal.
PEMANDANGAN senja dari atas kapal.

Berkenaan sistem atas kapal pula, urus niaga menggunakan kad akses diberikan kepada setiap penumpang. Jadi, apa sahaja pembayaran perlu menggunakan kad berkenaan dan jumlah perbelanjaan dilangsaikan sebelum daftar keluar.

Sebaik berada di kapal, menikmati juadah tengah hari perkara pertama kami lakukan. Banyak pilihan, namun hanya tiga restoran menawarkan makanan percuma.

Sementara itu, restoran yang menjadi pilihan kami berada di dek 16 iaitu The Lido kerana menyediakan juadah halal. Cumanya berbanding sebelum ini sajian disediakan secara bufet, tapi kali ini ia dihidangkan staf selain setiap meja hanya dua orang dibenarkan duduk.

PENULIS bersama dua lagi rakan tidak melepaskan peluang untuk mencuba aktiviti bertali.
PENULIS bersama dua lagi rakan tidak melepaskan peluang untuk mencuba aktiviti bertali.

Untuk tempahan membabitkan penggunaan fasiliti termasuk kolam dan jakuzi, semua itu menggunakan aplikasi khas. Perkara pertama kami lakukan ialah tempah slot untuk jakuzi dan kolam renang untuk keesokkan hari yang terletak di dek 17 menghadap pemandangan laut.

Hari pertama atas kapal, kami banyak habiskan masa itu dengan meninjau keseluruhan kapal termasuk lokasi aktiviti seperti gelongsor air dan zon aktiviti bertali.

Sebelah malam pula, kami menikmati persembahan muzikal yang menggabungkan tarian dan akrobatik di panggung khas berlangsung selama sejam. Memang relaks dan menghiburkan selepas hampir setahun tidak 'berhibur' dan menyaksikan persembahan langsung seperti itu.

PALING dinanti-nantikan ialah aktiviti bergambar di ‘spot’ menarik.
PALING dinanti-nantikan ialah aktiviti bergambar di ‘spot’ menarik.

Namun, ada beberapa pusat aktiviti atau hiburan ditutup termasuk pusat karaoke kerana Covid-19. Selain persembahan dan aktiviti luar, ada juga perkhidmatan lain seperti spa.

Hari kedua, aktiviti kami lebih padat sebaik sahaja selesai sarapan pagi. Aktiviti kami bermula dengan mandi di kolam dan jakuzi. Kami menempah untuk slot jam 8 hingga 9 pagi dan pengalaman bermain air selama sejam itu cukup berbaloi.

Bayangkan seluas-luas kolam dann jazuki itu hanya ada kami. Rasa sangat privasi kerana tiada orang lain berkongsi fasiliti sama sepanjang tempoh itu.

Namun, perlu sentiasa beringat untuk mengenakan pelitup muka sebaik sahaja keluar kolam kerana staf kapal sangat memantau ketat SOP. Bayangkan tidak sampai beberapa inci keluar jakuzi sudah diberi amaran kerana tidak mengenakan pelitup muka.

Selesai aktiviti mandi-manda, kami melakukan aktiviti berhalangan 'zip line course.' Selain beratur, pakaian lengkap termasuk berkasut sebagai syarat menyertai aktiviti itu.

PENULIS bergambar dari balkoni bilik.
PENULIS bergambar dari balkoni bilik.

Boleh dikatakan aktiviti ini paling mengujakan kerana perlu meniti atas tali yang menyajikan pemandangan saujana indah laut di depan mata. Lebih mencabar apabila ada angin bertiup kencang selain setiap halangan mempunyai tugasan berbeza.

Begitu juga untuk aktiviti gelongsor air. Masa beratur adalah panjang kerana perlu mematuhi dalam penjarakan sosial. Bagi mencuba aktiviti bertali itu sahaja kami perlu menunggu dua jam.

Dalam mengisi waktu menunggu itu juga, saya dan kawan-kawan bermain apa sahaja permainan seperti ping pong, bola jaring serta catur.

Kami habiskan waktu di dek berkenaan hingga jam 3 petang. Kemudian kami menukar pakaian untuk sesi bergambar yang juga antara aktiviti digemari ramai orang apabila berada atas kapal.

Banyak 'spot' menarik dan semestinya bagi yang gemar melaram atau menggayakan 'outfit of the day' (OOTD) untuk media sosial, boleh dapatkan pelbagai gambar menarik di kapal ini.

Saya sangat sukakan pemandangan di dek 19 kerana menawarkan panorama indah termasuk keseluruhan pamandangan kapal. Memang kami 'sakan' bergambar atas kapal ia bakal menjadi kenangan.

Pada malam terakhir, kami berpeluang menyaksikan persembahan lazer di dek utama kapal. Bagi persembahan ini, penting untuk cari 'port' strategik bagi mendapatkan pemandangan lebih cantik.

Boleh dikatakan percutian dalam norma baharu ini sebenarnya pengalaman bermakna kerana ia memberi suatu pandangan betapa penting menghargai setiap detik dalam hidup.

Maklumlah kira-kira setahun juga banyak perkara tidak dapat dilakukan termasuk bercuti dengan bebas. Keadaan itu membuatkan saya begitu menghargai pengalaman percutian atas kapal.

Andai ada bajet untuk percutian seterusnya, saya berhasrat belayar dengan Royal Carribean pula. Kapal layar itu jauh lebih besar dan mempunyai lebih banyak aktiviti dan permainan termasuk kereta langgar (bump car).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 7:00 AM