PELANCONG diwajibkan muat turun aplikasi ThailandPlus, tunjuk imbasan QR Code. - FOTO Google
PELANCONG diwajibkan muat turun aplikasi ThailandPlus, tunjuk imbasan QR Code. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PENGUMUMAN kerajaan Thailand untuk membuka semula destinasi pelancongan negara itu kepada pelancong yang sudah divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin wajib mulai 1 Julai ini jelas memberi khabar gembira buat kaki melancong dari seluruh dunia.

Usaha yang dilakukan itu sememangnya dapat membantu menghidupkan kembali industri pelancongan negara berkenaan yang terjejas teruk.

Menurut laporan Bernama, Thailand mengenakan syarat kemasukan dan kuarantin yang ketat tahun lalu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Langkah itu menyaksikan ketibaan pelancong ke negara itu menurun dengan ketara kepada hanya 6.7 juta pada 2020 berbanding hampir 40 juta pada tahun sebelumnya.

Mulai 1 Julai ini, pulau peranginan Phuket bakal menyambut ketibaan pelancong yang sudah menerima vaksin lengkap menerusi program 'Phuket Sandbox.'

Destinasi pelancongan popular lain seperti Koh Samui, Koh Phang Ngan dan Koh Tao pula dijadual dibuka semula kepada pelancong bermula 15 Julai menerusi program 'Samui Plus.'

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT), pendekatan 'Island Approach' akan diteruskan pada Ogos nanti.

Kelak ia akan diperluaskan ke beberapa pulau pelancongan terkenal seperti Koh Phi Phi, Koh Ngai dan Koh Railay yang menghubungkan Khao Lak serta Koh Yao.

TAT berkata, bermula September, beberapa pendekatan lain pula akan dilancarkan dan ia membabitkan beberapa daerah di Chiang Mai, Chon Buri dan Buri Ram.

KOH Samui juga dijadual dibuka semula kepada pelancong bermula 15 Julai ini menerusi program 'Samui Plus.' - FOTO Google
KOH Samui juga dijadual dibuka semula kepada pelancong bermula 15 Julai ini menerusi program 'Samui Plus.' - FOTO Google

KOH Phang Ngan akan dibuka semula kepada pelancong. - FOTO Google
KOH Phang Ngan akan dibuka semula kepada pelancong. - FOTO Google

"Bermula Oktober atau pada suku keempat pula, Bangkok, Cha Am dan Hua Hin serta destinasi pelancongan siap dibuka semula untuk pelancong yang sudah lengkap divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Gabenor TAT, Yuthasak Supasorn berkata, 70 peratus penduduk Buri Ram perlu divaksin sebagai persiapan penganjuran MotoGP Thailand 2021 di Litar Antarabangsa Chang pada 8 hingga 10 Oktober ini.

Pada 16 Jun lalu, Perdana Menterinya, Prayuth Chan o-cha mengumumkan negara itu akan membuka semula pintunya kepada pelancong yang sudah lengkap divaksin, dalam tempoh 120 hari atau pada pertengahan Oktober bagi merancakkan semula sektor ekonominya yang terjejas akibat Covid-19.

Thailand juga merancang menyuntik 50 juta rakyatnya dengan dos pertama menjelang awal Oktober ini.

Meskipun pintunya kembali dibuka, Thailand sebelum ini meletakkan pelbagai syarat kepada pelancong asing bagi memastikan penularan Covid-19 tidak berlaku.

Pelancong yang memasuki negara itu perlu menjalani kuarantin selama 10 hari manakala bagi yang dijangkiti Covid-19, mereka perlu kuarantin selama 14 hari.

Bagaimanapun, bagi yang ingin ke Phuket, pelancong tidak perlu menjalani kuarantin, namun perlu membuktikan diri mereka sudah divaksin.

Thailand mengizinkan pelancong asing yang menggunakan visa atau pas lawatan untuk berada di negara itu tidak melebihi 45 hari.

BERMULA Oktober atau pada suku keempat pula, Bangkok, Cha Am dan Hua Hin serta destinasi pelancongan siap dibuka semula untuk pelancong yang sudah lengkap divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin. - FOTO Google
BERMULA Oktober atau pada suku keempat pula, Bangkok, Cha Am dan Hua Hin serta destinasi pelancongan siap dibuka semula untuk pelancong yang sudah lengkap divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin. - FOTO Google

PENDEKATAN ‘Island Approach’ akan diteruskan pada Ogos dan akan diperluaskan ke beberapa pulau pelancongan terkenal seperti Koh Phi Phi, Koh Ngai dan Koh Railay. - FOTO Google
PENDEKATAN ‘Island Approach’ akan diteruskan pada Ogos dan akan diperluaskan ke beberapa pulau pelancongan terkenal seperti Koh Phi Phi, Koh Ngai dan Koh Railay. - FOTO Google

Namun mereka perlu memiliki sijil atau surat kebenaran kemasukan serta menjalani kuarantin ketika tiba di negara itu.

Pelancong juga diwajibkan untuk memuat turun aplikasi ThailandPlus dan perlu menunjukkan QR Code yang diimbas.

Bukti polisi insurans yang merangkumi perlindungan rawatan Covid-19 dan hasil ujian negatif dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat juga perlu disediakan.

Selain bukti sudah divaksin, ujian saringan sekali lagi akan dilakukan setibanya di Thailand sebelum dikuarantin.

Thailand sebelum ini melaporkan angka jangkitan yang rendah hasil daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat terhadap rakyatnya.

Bagaimanapun, pada Disember 2020, berlaku lonjakan jangkitan dilaporkan di Samut Sakhon di barat daya Bangkok.

Tindakan pantas kerajaan berjaya melandaikan jangkitan di daerah itu selain merentas negeri kembali dibenarkan sepenuhnya pada 31 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 7:01 AM