PELBAGAI motif acuan berupa buah-buahan dan hidupan air.
PELBAGAI motif acuan berupa buah-buahan dan hidupan air.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


TERLIUR penulis tatkala melangkah masuk ke dalam ruang membuat baulu di Bangsar, Kuala Lumpur ini kerana aromanya yang begitu 'wangi.'

Pemilik perniagaan itu, Husaini Mat Rejab menyambut kehadiran penulis dan rakan media yang dibawa oleh Tourism Malaysia untuk menerokai tarikan makanan tradisional yang ada di ibu kota.

Sebenarnya, lelaki berusia 46 tahun itu bukan sekadar memasak dan menjual baulunya atas jenama Bahulu Arang, tetapi dia juga pengumpul lebih 300 acuan kuih tradisional warisan negara itu sejak 2016.

Telinga penulis dan rakan media seakan-akan digam ketika beliau menceritakan mengenai keunikan tersendiri acuan baulu. Apatah lagi turut memiliki pelbagai bentuk acuan yang begitu unik.

Bercerita mengenai cintanya terhadap resipi dan acuan baulu, Husaini berkata, sebenarnya perkara itu seakan-akan menjentik nostalgia peribadi ketika membesar di Kuala Nerang, Kedah.

PROSES membakar arang.
PROSES membakar arang.

"Saya anak bongsu daripada empat beradik. Ketika musim perayaan dahulu kuih baulu semestinya menjadi hidangan wajib.

"Jadi, saya sendiri belajar memasak dan menyediakan hidangan ini sejak berusia sekitar enam tahun seingat saya. Kerja di dapur kita kena sama-sama buat adik-beradik," katanya.

Selepas berhijrah ke Kuala Lumpur, dia berasakan kenangan membuat baulu begitu segar dalam ingatan. Apatah lagi di Malaysia terutama di utara dan selatan Semenanjung Malaysia mempunyai keunikan acuan serta resipi tersendiri.

Katanya, pada 2016 dia mula mengumpul sedikit demi sedikit acuan bahulu tradisional asli yang dibuat daripada tembaga.

"Ada antaranya sudah berusia 100 tahun dan ada juga koleksi saya yang unik di belakangnya tertulis tulisan Jawi.

"Selain itu, saya juga mendapati acuan baulu ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan menjadi tanggungjawab untuk mendedahkan kepada orang ramai terutama generasi pada hari ini mengenainya," katanya.

ACUAN berbentuk udang.
ACUAN berbentuk udang.

Sebaik masuk ke ruang masak baulu tradisional keluaran Husaini, mata penulis hanya tertumpu di dinding kiri dan kanan sahaja kerana tergantung pelbagai saiz serta bentuk acuan baulu yang begitu unik.

Terdapat bersaiz loyang yang mempunyai acuan kecil di dalamnya, ada juga bersaiz dan berbentuk seekor ayam!

Husaini berkata, dalam usaha mengumpul acuan kuih itu dia juga mendapati acuan baulu di utara dan selatan mempunyai perbezaan yang ketara.

"Di sebelah selatan acuannya lebih kepada berbentuk daun dan pelbagai binatang manakala di utara lebih kepada buah cermai, belimbing, udang dan ikan.

ACUAN diletakkan di atas pasir panas untuk
ACUAN diletakkan di atas pasir panas untuk

"Kuih baulu ini lebih popular di utara dan selatan Semenanjung Malaysia kerana jika di pantai timur mereka mempunyai kuih tradisional akok," katanya.

Malah, Husaini berkata, acuan bahulu di selatan juga mempunyai pengaruh dari Indonesia kerana terdapat keunikan tembaga yang digunakannya.

"Saya juga pernah membeli acuan paling mahal dengan harga RM1,500 kerana terdapat tulisan Jawi dan mungkin ia dibawa pedagang," katanya.

Katanya, dia berhasrat memiliki sebuah muzium mini yang mampu menempatkan semua koleksi peribadinya untuk tatapan umum.

HUSAINI bersama antara koleksi acuan baulu miliknya.
HUSAINI bersama antara koleksi acuan baulu miliknya.

"Sebenarnya ramai yang mengumpulnya, tetapi koleksi sudah tidak banyak. Jadi, begitu rugi jika acuan kuih warisan negara ini tidak ditunjukkan kepada generasi pada hari ini.

"Acuan ini mempunyai kisah tersendiri yang mungkin boleh dijadikan kajian pada masa akan datang," katanya.

Husaini yang sebelum ini bekerja di dalam bidang teknologi maklumat turut berkata, sebenarnya proses memasak kuih baulu dan acuan itu mampu menarik perhatian pelancong.

"Saya sendiri selain daripada fasa mengumpul, turut mempelajari resipi pembuatan baulu secara tradisional kerana ia lebih sedap.

"Malah saya mengambil masa enam bulan untuk mempelajari teknik membuat kuih baulu secara tradisional di utara dan selatan Malaysia," katanya.

Jelasnya, pembuatan baulu secara tradisional sememangnya rumit kerana ia menggunakan bahan bakar seperti arang, pasir dan sabut.

"Itu belum lagi untuk menyediakan aduanannya yang mengambil masa lama. Jadi, pada 2019 saya mula meperkenalkan jenama sendiri yang masih mengekalkan cara masakan secara tradisional.

"Pada masa sama, pelanggan juga boleh membuat permintaan untuk mempunyai bentuk bahulu daripada acuan yang kami ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 7:00 AM