KETIKA di kedudukan tinggi di Kampung Sting.
KETIKA di kedudukan tinggi di Kampung Sting.
MENYUSURI trek mencabar, sempit untuk saksi keindahan kawasan Empangan Bengoh nyata berbaloi.
MENYUSURI trek mencabar, sempit untuk saksi keindahan kawasan Empangan Bengoh nyata berbaloi.
Nurul Husna Mahmud


HIKMAH di sebalik pandemik Covid-19 yang menyebabkan sekatan perjalanan ke luar negara bagi mengekang penularannya.

Jadi, ramai beralih kepada tarikan pelancongan yang terdapat di dalam negara untuk memenuhi keinginan bercuti.

Apatah lagi khazanah alam semula jadi yang negara kita miliki juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan negara luar.

Satu destinasi menarik perlu dipertimbangkan ialah berkunjung ke daerah Pandawan, Sarawak kerana terdapat tarikan baharu dan unik di situ.

Kunjungan ke sana juga antara pengalaman bermakna buat 'kaki jalan' seperti Aiza Harwani Mohd Jamadil khususnya mengenai keindahan kawasan Empangan Bengoh.

Penceritaan Aiza Harwani yang menggambarkan pengembaraan menyusuri banjaran dan Empangan Bengoh tidak ubah seperti paparan hutan dalam filem Jurrasic Park yang pernah ditonton ketika zaman kecilnya.

"Apabila lihat banjaran, gunung-ganang, hutan, pokok dengan akar yang bersimpang-siur menyelinap segenap batu air terjun, 'mood' dirasai tidak ubah seperti 'masuk' ke dalam dunia filem Jurassic Park yang pernah saya tonton ketika kecil.

SEPERTI latar hutan dalam filem Jurassic Park.
SEPERTI latar hutan dalam filem Jurassic Park.

"Ditambah pula air terjun yang tinggi dengan hutan sekelilingnya menghijau, panorama ketika itu memang sangat indah. Apabila berada di situ, rasa macam di tempat lain atau bukan di negara sendiri sebab hutannya unik dan 'tidak terusik," katanya.

Kata Aiza Harwani, walaupun meniti laluan untuk sampai ke pedalaman atau kawasan belantara perlu menyusuri trek mencabar dan sempit, dia mengakui itu antara pengalaman yang berbaloi.

"Pertama kali datang ialah pada Jun tahun lalu ketika kerajaan baru saja beri kelonggaran melakukan aktiviti luar dan riadah. Saya ambil kesempatan itu apabila mengetahui ada laluan merentas denai tidak jauh dari tiga kampung tradisi Bidayuh berhampiran dengan empangan berkenaan.

"Cumanya tahun lalu saja baru ada kesempatan termasuk mengatur perjalanan bersama orang kampung yang boleh bawa saya ke lokasi terbabit. Saya tidak menghadapi masalah untuk mendaki cuma apabila sudah terlalu lama tidak keluar seperti itu rasa mudah penat.

AIR terjun Curtain yang unik.
AIR terjun Curtain yang unik.

"Trek juga tidak sukar kerana orang kampung selalu ada di kawasan itu untuk mandi-manda atau mencari sayur-sayuran kampung. Cuma sempit kerana perlu susur laluan buluh untuk melintasi beberapa anak sungai.

"Kemudahan itu sudah ada penambahbaikan oleh penduduk kampung apabila ramai orang luar mula memenuhi kawasan kampung untuk melihat dan menyusuri denai ke air terjun. Terdapat empat air terjun iaitu Curtain, Pe'an, Korin dan Sungsung yang memiliki air jernih selain sejuk," katanya.

Tidak cukup dengan itu, pemandangan dari aras atas bagaikan menara tinjau apabila pengunjung berada di Kampung Sting iaitu satu daripada kampung kaum Bidayuh di kawasan terbabit. Apabila empangan dibuat penduduk sekitarnya mula membina kampung di atas tanah tinggi. Sekali gus membolehkan pengunjung menikmati panorama 180 darjah pemandangan empangan dan Banjaran Bengoh.

"Maklumat lain yang perlu diketahui pengunjung yang pertama kali tiba ke kawasan ini ialah mereka hendaklah mengenakan pakaian sesuai untuk mendaki atau merentas denai. Saya mengenakan pakaian sukan mudah kering selain memakai kasut 'Adidas' kampung kerana perjalanan ke air terjun terutama Curtain dan Sungsung yang curam serta basah.

MENYUSURI sungai ke sempadan Bengoh.
MENYUSURI sungai ke sempadan Bengoh.

"Bawa juga bekalan snek ringkas untuk alas perut dan amalkan sikap menghargai alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata," katanya.

Bagi mereka yang tinggal di ibu kota, Kuching, kata Aiza Harwani yang juga seorang eksekutif kewangan di bandar berkenaan, lokasi itu paling ideal untuk riadah hujung minggu kerana tempoh perjalanan iaitu memandu ke Jeti Pandawan memakan masa sejam hingga dua jam. Perjalanan ke Jeti Pandawan ke Empangan Bengoh dengan bot pula memakan masa kira-kira 30 minit.

"Anda perlu lanjutkan perjalanan pendakian sekitar empat jam ke lokasi menempatkan empat air terjun. Jangka masa itu bergantung kepada kelajuan dan tempoh meluangkan masa di satu-satu tempat.

"Malah anda boleh dapatkan khidmat pemandu pelancong Bayan Atuh Ecotourism Zone yang juga orang kampung di situ untuk mengunjungi lokasi keempat-empat air terjun unik terbabit," katanya.

LADANG lada hitam milik penduduk.
LADANG lada hitam milik penduduk.

Tidak dinafikan, Aiza Harwani gembira apabila perkongsian mengenai Bengoh mula tular dan membantu penduduk yang sebelum ini terjejas teruk ketika pandemik mampu menjana pendapatan sampingan daripada tarikan baharu itu.

JAMBATAN buluh yang sempit antara laluan unik dilalui Aiza Harwani.
JAMBATAN buluh yang sempit antara laluan unik dilalui Aiza Harwani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 6:21 AM