BERPELUANG bermain salji.
BERPELUANG bermain salji.
Azura Hashim


WALAUPUN sudah banyak tempat dilawati, bercuti di Vancouver, Kanada pada 2015 antara pengalaman yang sukar dilupakan penulis.

Sebenarnya penulis sudah lama mengimpikan untuk berkunjung ke bandar yang terletak di pantai barat Kanada itu selepas melihat keindahan lokasi pelancongan ini di Internet.

Penulis turut menampal gambar bandar Vancouver dan berdoa dapat menjejakkan kaki di sana.

Beberapa bulan selepas itu, suami penulis, Ahmad Firdaus Mahmod menerima panggilan daripada ibunya yang merancang untuk ke Vancouver bagi melawat adik ipar penulis di sana.

Pada mulanya, suami agak keberatan kerana harga tiket kapal terbang agak mahal, namun selepas ibu mentua bertanya buat kali kedua, penulis terus bersetuju.

Dengan izin Tuhan, penulis, suami, ibu mentua dan empat anak berada di sana selama hampir sebulan.

ANAK teruja berada di Dunia Sains.
ANAK teruja berada di Dunia Sains.

Sebaik tiba di Vancouver International Airport, penulis dijemput adik ipar dan terus dibawa ke Universiti of British Columbia (UBC) iaitu kediaman khas untuk penuntut UBC.

Oleh kerana mereka sudah bermastautin di sana hampir empat tahun, adik ipar penulis agak arif berkenaan tempat menarik dilawati terutama yang sesuai untuk kanak-kanak.

Di dalam UBC sendiri terdapat beberapa tempat yang menarik untuk dilawati antaranya Muzium of Anthropology (MOA).

Selain menjadi destinasi pilihan pelancong, MOA adalah muzium pembelajaran dan kajian bagi kursus seperti seni, antropologi, arkeologi, pemuliharaan dan sebagainya. Menariknya, MOA ini menyimpan hampir 50,000 objek entrografik dan 535,000 objek arkeologi.

MELALUI Jambatan Gantung Capilano.
MELALUI Jambatan Gantung Capilano.

Jika hendak berasa tenang dan harmoni, boleh ke Taman Peringatan Nitobe (Nitobe Memorial Garden). Taman yang cantik ini berkeluasan 1.01 hektar adalah taman tradisi Jepun dan ia adalah sebahagian daripada Taman Botani UBC yang berfungsi sebagai lokasi kajian tumbuh-tumbuhan.

Untuk menghiburkan anak-anak, penulis sekeluarga turut berkunjung ke Muzium Desa Burnaby (The Burnaby Village Museum) yang dahulunya dikenali sebagai 'Heritage Village.'

Premis ini terletak di kawasan terbuka di Deer Lake Park. Ia dibina pada 1920, mempunyai 31 bangunan dan seluruh pekerja memakai pakaian tradisi.

Penulis turut menyewa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bagi memudahkan urusan perjalanan sekeluarga.

Anak penulis seronok bagaikan tidak mahu balik apabila dibawa ke Akuarium Vancouver (The Vancouver Aquarium) bertempat di Stanley Park.

Selain menjadi pusat pelancongan, ia adalah pusat kajian marin dan pendidikan literasi lautan, pemuliharaan juga pemuliharaan laut. Terdapat juga persembahan ikan lumba-lumba yang comel.

Tidak ketinggalan, penulis sekeluarga berkunjung ke Dunia Sains (Science World) di False Creek. Seharian suntuk penulis di sana kerana terlalu bany

ak pameran, paparan interaktif dan permainan berkaitan dengan sains.

Penulis turut ke 'Capilano Suspension Bridge Cliffwalk' iaitu Jambatan Gantung Capilano melintasi Sungai Capilano di daerah Vancouver Utara. Jambatan sepanjang 140 meter (460 kaki) dan 70 meter (230 kaki) di atas sungai.

AKUARIUM Vancouver turut menjadi pusat kajian marin.
AKUARIUM Vancouver turut menjadi pusat kajian marin.

Pada mulanya penulis ragu-ragu kerana harga tiket masuk yang agak tinggi, namun ia berbaloi apabila berada sendiri atas jambatan gantung yang terkenal itu.

Penulis juga ke Pantai Jericho (Jericho Beach), kawasan kejiranan pantai Kitsilano. Sangat cantik, damai dan semula jadi.

Taman dan Pantai Jericho antara taman yang paling indah di Vancouver. Penuh dengan burung dan boleh menghabiskan waktu di sini dengan berjalan, berbasikal, duduk di pantai atau di bangku sambil menghirup udara segar sambil menikmati keindahan pemandangan.

Lebih menyeronokkan bagi anak-anak penulis apabila berada di Gunung Grouse (Grouse Mountain) yang terletak hanya 15 minit dari pusat bandar Vancouver.

Dengan menaiki 'Red Skyride' yang ikonik, memberi peluang kepada pengunjung melihat keindahan ciptaan Allah yang mengagumkan.

Di puncak gunung terdapat taman permainan 'Alpine Grouse Mountain' yang luas. Rezeki penulis berada di sana ketika musim sejuk, berpeluang bermain dengan salji.

Biarpun sudah lima tahun berlalu, bercuti di Vancouver adalah pengalaman yang tidak mungkin tidak lupa dan akan terus segar dalam ingatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 7:00 AM