RONALD (kanan) meninjau hasil pengeluaran kubis bunga tanah rendah bersama Mohamad Roff dan plot tanaman terbabit.
RONALD (kanan) meninjau hasil pengeluaran kubis bunga tanah rendah bersama Mohamad Roff dan plot tanaman terbabit.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Permintaan pasaran dalam negara bagi sayur-sayuran yang ditanam di tanah tinggi amat menggalakkan.

Ini termasuk kubis bunga atau nama saintifiknya, Brassica oleracea var botrytis yang memerlukan suhu persekitaran rendah iaitu antara 18 hingga 22 darjah Celsius bagi memastikan penghasilan curd atau meristem bunga iaitu bahagian sayur terbabit dijadikan hidangan dan produk makanan.

Menyedari keperluan tinggi terhadap sayur berkenaan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menjalankan penyelidikan kaedah terbaik penanamannya di kawasan tanah rendah sejak empat tahun lalu.

Kini Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah sudah sedia diperkenalkan kepada petani dalam sesi pelancaran rasminya oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berlangsung di tapak kajian penanaman sayur berkenaan di Ibu Pejabat Mardi, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Dr Ronald, inovasi berkenaan berita baik bukan saja kepada pengguna malah kepada petani apabila berpotensi memberi tambah nilai kepada pendapatan sedia ada sekali gus mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada produk import .

PENOLONG Pegawai Penyelidikan Mardi, Fazlinda Fadzil menunjukan kubis bunga hasil mengunakan Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah.
PENOLONG Pegawai Penyelidikan Mardi, Fazlinda Fadzil menunjukan kubis bunga hasil mengunakan Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah.

"Kapisiti pengeluaran kubis bunga tempatan ketika ini adalah sekitar 4.66 tan metrik setahun berdasarkan kawasan tanaman sayur itu yang sangat terhad.

"Secara umum kebanyakan pengeluaran kubis bunga tempatan hanya diperoleh daripada petani di kawasan tanah tinggi, membabitkan kawasan pertanian seluas 535 hektar di Cameron Highlands, Pahang dan Kundasang, Sabah.

"Jumlah itu tidak mampu menampung permintaan tinggi sayur kubis bunga dalam negara yang penggunaan perkapita setahun ialah 1.95 kilogram dan Malaysia terpaksa mengimport dari China bekalan itu dengan jumlah RM280 juta pada tahun 2018,"katanya.

Kajian dilakukan Mardi adalah memenuhi pakej menyeluruh atau lengkap bagi pengeluaran bermula penentuan varieti untuk benih, amalan agronomi bagi hasil yang tinggi, pengurusan perosak dan penyakit serta kawalan kualiti hasil tanaman selepas dituai.

TEKNOLOGI Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah menggunakan kaedah fertigasi bawah struktur pelindung hujan (SPH) .
TEKNOLOGI Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah menggunakan kaedah fertigasi bawah struktur pelindung hujan (SPH) .

"Varieti kubis bunga kawasan tanah rendah iaitu varieti C2 menghasilkan bunga yang berkualiti dengan warna putih 'keju' walaupun ditanam pada suhu tinggi mencecah 40 darjah Celsius.

"Dari segi saiz dan profil rasa, kubis yang ditanam di tanah tinggi tiada jauh bezanya,"katanya.

Beliau melihat potensi penanaman kubis bunga tanah rendah itu dapat diperluaskan dalam skala besar dan berharap memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha tanaman itu kerana amalan penanamannya dikatakan hampir menyamai kualiti amalan produk tanaman organik.

WARNA putih 'keju' dan daun hijau.
WARNA putih 'keju' dan daun hijau.

Sebagai galakan, pihaknya menyarankan petani atau pengusaha yang berhasrat menjalankan tanaman berkenaan dalam skala besar boleh melihat inisiatif seperti Program Agropreneur Muda dan bantuan pengeluaran makanan daripada Agrobank sebagai sokongan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata, tempoh kajian bagi tanaman kubis bunga itu mengambil masa selama empat tahun bukan hanya melihat kepada kualiti, tetapi aspek kandungan nutrisi membolehkan ia produk makanan yang selamat dan sihat untuk pengguna.

MENGGUNAKAN polibeg hitam saiz 16 inci sesuai beri sokongan pada pertumbuhan kubis bunga.
MENGGUNAKAN polibeg hitam saiz 16 inci sesuai beri sokongan pada pertumbuhan kubis bunga.

Kajian pihaknya turut mendapati kubis bunga yang ditanam secara kaedah fertigasi dengan kawalan atau teknik tertentu itu pada kawasan tanah rendah, memberi hasil jauh lebih baik berbanding produk import atau tanaman di tanah tinggi.

"Hasil kajian Mardi mendapati kubis bunga di kawasan tanah rendah mempunyai vitamin C yang lebih tinggi berbanding kubis bunga import dan yang ditanam di tanah tinggi.

"Selain itu, teknologi pengeluaran kubis bunga tanah rendah juga dapat memendekkan tempoh ia boleh dituai iaitu dalam satu hingga dua minggu, selain mengurangkan risiko penyakit terhadap tanaman terbabit," katanya.

Tempoh matang tuai bagi sayur itu antara 80 hingga 85 hari selepas ditanam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 7:00 AM