MONUMEN Charminar ketika waktu senja yang memukau.-FOTO Asyraf Maskan
MONUMEN Charminar ketika waktu senja yang memukau.-FOTO Asyraf Maskan
Asyraf Maskan


BERKELANA selama seminggu pada 2018 ke destinasi selatan India ini sememangnya membuka lembaran baharu dalam dunia pengembaraan penulis, kota Hyderabad. Sebuah dunia penuh sejarah bagi mereka yang gemar menggalinya.

Duduk di pekarangan Masjid Makkah di Kota Hyderabad pada waktu senja antara yang boleh dinikmati ketika singgah di kota tua ini.

Selain menikmati senja di sini, pengunjung juga boleh memberi burung merpati makan sambil menunggu waktu Maghrib.

Sesuai dengan namanya, Masjid Makkah dibina apabila Sultan Muhammad Quli Qutb Shah yakni sultan kelima dalam Dinasti Qutb Shahi bertitah untuk membawa segenggam tanah dari Makkah untuk menjadi bahan binaan batuan yang membentuk gerbang utama di dalam Masjid Makkah.

Penulis mendapat tahu masjid yang berusia 400 tahun itu pernah dibaluti peristiwa hitam pengeboman membabitkan 10,000 mangsa. Namun kekuatan binaan masjid ini menyelamatkan ruang utama dalam masjid.

Tidak jauh dari Masjid Makkah, terbinanya Charminar iaitu sebuah mercu tanda ketika perpindahan dinasti Qutb Shahi daripada Golkonda ke Hyderabad.

Monumen di tengah-tengah kota Hyderabad dan sekelilingnya bercambah bangunan bazar, jualan tekstil serta rempah yang begitu tersusun. Jika ke sini, agak janggal sekiranya tidak mencuba nasi beriani Hyderabad di restoran tempatan.

SEBAHAGIAN sudut di makam Quli Qutb berbentuk simetri dan kubahnya yang hampir sama dengan Tak Mahal di Agra.- FOTO Asyraf Maskan
SEBAHAGIAN sudut di makam Quli Qutb berbentuk simetri dan kubahnya yang hampir sama dengan Tak Mahal di Agra.- FOTO Asyraf Maskan

Tidak perlu ragu status halalnya kerana majoriti masyarakat di sini beragama Islam. Bagi penulis, beriani kambing yang dimasak di dalam periuk tanah antara yang paling istimewa.

Ketika berjalan di bazar pula, penulis dapat bayangkan suasana kesibukan kota Hyderabad 400 tahun dahulu bersandarkan catatan sejarah ia adalah sebuah kota moden terkemuka di India.

Perjalanan pulang dan pergi dari satu destinasi ke destinasi di sini lebih mudah menggunakan aplikasi e-hailing, Ola Cabs kerana banyak digunakan masyarakat tempatan dan difahamkan lebih dipercayai.

Penulis hanya berdua bersama rakan bermalam di sebuah hostel backpacker, Elysium Inn kira-kira enam kilometer (km) dari kota tua Hyderabad. Hostel dalam kawasan kejiranan Anand-Nagar menjadi pilihan kerana berada di tengah-tengah.

Uniknya, kawasan ini penuh dengan masyarakat tempatan pada setiap pagi kerana ada pasar pagi di tepi jalan. Sesuai buat mereka yang ingin melihat sendiri situasi masyarakat tempatan menjalani kehidupan seharian.

PENULIS berehat sambil melakar lukisan sebuah taman dalam kompleks kubu Golconda Fort.- FOTO Asyraf Maskan
PENULIS berehat sambil melakar lukisan sebuah taman dalam kompleks kubu Golconda Fort.- FOTO Asyraf Maskan

Antara yang menarik perhatian penulis Quli Qutb Shah membina jambatan menyeberangi Sungai Musi supaya dapat bertemu Bhagmati, seorang penari dari Kampung Chiclam terutama ketika musim hujan dan banjir.

Quli Qutb Shah mengahwini Bhagmati walaupun dia daripada golongan kebanyakan.

Jambatan yang dibina Purana Pul kini rosak dek pencemaran. Sungai Musi tetap menjadi nadi kepada penduduk sekitar termasuk sumber air untuk perkhidmatan cuci pakaian.

Begitulah sedikit sebanyak sejarah kota yang mungkin tidak popular dalam kalangan pelancong. Antara tempat yang menarik untuk mengenali sejarah kota Hyderabad dengan lebih dekat ialah Muzium Salar Jung.

Memasuki muzium ini akan memberikan sedikit pengalaman zaman kolonial dengan banyaknya koleksi lukisan, seramik, tekstil, artifak logam, jam dan perabot daripada seluruh pelosok dunia.

Muzium Salar Jung di selatan Sungai Musi dimiliki oleh keluarga Salar Jung III iaitu bekas pemerintah Hyderabad pada 1912.

Antara koleksi utama di Salar Jung ialah gambar ketika pembesar bersama Sir Winston Curchill di United Kingdom ketika perang dunia kedua.

Pelbagai kisah Freemanson juga diselitkan di sini bersama koleksi hadiah pemberian. Kisah Ramayana juga diceritakan di sini dalam bentuk lukisan Sri Rama bersama Lakshmana dan Hanuman.

LALUAN sepanjang bazar tekstil, herba dan barangan gangsa menuju Charminar yang menjadi pusat kota tua Hyderabad. - FOTO Asyraf Maskan
LALUAN sepanjang bazar tekstil, herba dan barangan gangsa menuju Charminar yang menjadi pusat kota tua Hyderabad. - FOTO Asyraf Maskan

Tidak cukup sebenarnya jika sehari meneliti semua pameran yang ada di dalam bangunan bekas kolonial dua tingkat ini.

Sekitar tiga km dari Muzium Salar Jung, terdapat sebuah peninggalan utama Dinasti Qutb Shahi iaitu sebuah kubu, Golconda Fort di atas sebuah bukit batuan granit.

Kubu ini dibina untuk pertahanan daripada musuh selain pernah menjadi gudang penyimpanan batu berlian. Pada zaman itu, binaan Golconda Fort dikatakan sangat moden kerana mempunyai sistem kumbahan dan saliran yang maju.

Terdapat ruang masjid dan ruang utamanya, Dewan Durbar di lokasi yang paling tinggi di kubu ini. Penulis bertuah kerana dapat mendengar bunyi azan yang dilaungkan di sini membuktikan ada beberapa ruang terbina dengan ruang akustik yang unik.

Penulis juga dimaklumkan pengunjung tempatan yang pagar besi runcing sengaja dibina untuk mengelak serangan gajah liar.

Oleh kerana tiba di Golconda Fort agak kesiangan, matahari yang agak terik dapat dirasakan ketika melihat pemandangan sekeliling kubu ini. Namun, sejurus memasuki satu ruang di dalamnya, Dewan Durbar, penulis dapat berasakan redup dan sejuknya ruang dengan arkitektur yang sesuai untuk laluan angin.

Ia juga antara keunikan binaan kubu ini. Makam Quli Qutb Shah adalah sebuah kompleks menempatkan makam keluarga. Uniknya di sini terdapat binaan makam yang menyerupai Taj Mahal dan diceritakan inilah Taj Mahal yang kedua di Agra.

ANTARA lukisan penceritaan Ramayana yang tersimpan dalam Muzium Salar Jung. - FOTO Asyraf Maskan
ANTARA lukisan penceritaan Ramayana yang tersimpan dalam Muzium Salar Jung. - FOTO Asyraf Maskan

Terdapat juga binaan tempat mandi awam seperti dalam tamadun Indus, tetapi tidak diketahui fungsi sebenar binaannya.

Ketika berkunjung, kerja pembaikan masih dilakukan bagi menjaga tinggalan bersejarah ini dan ia sebuah usaha yang boleh dipuji. Begitulah kisah tinggalan sejarah di Kota Hyderabad dan sedikit berbeza dengan kota besar lain di India.

Pastinya usaha Muhammad Quli Qutb Shah membuka kota Hyderabad dengan mengumpulkan ramai arkitek tempatan dan luar boleh dipuji serta dijadikan sebagai inspirasi terutama bagi penulis yang gemarkan kisah sejarah sesuatu lokasi pengembaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 7:00 AM