PENULIS (kiri) bersama rakan merakam kenangan di atas ‘lidah raksasa’ Trolltunga. FOTO Norhayati Razak
PENULIS (kiri) bersama rakan merakam kenangan di atas ‘lidah raksasa’ Trolltunga. FOTO Norhayati Razak
Norhayati Razak

SEJAK menuntut di sebuah universiti di United Kingdom (UK) penulis sering menggunakan kesempatan cuti musim panas untuk berkunjung ke negara Eropah lain.

Norway antara negara berada dalam senarai kerana memiliki keindahan alam semula jadi yang unik berbanding negara lain.

Antara lokasi yang menarik minat penulis adalah Trolltunga di selatan Norway.

Trolltunga cukup terkenal sebagai lokasi pendakian yang memiliki pemandangan menakjubkan.

Pada ketinggian 800 meter dari aras laut, terdapat batu melintang kira-kira 700 meter menghala ke utara tasik Ringedalsvatnet yang menyerupai lidah.

Lebih unik, tiada sebarang penghadang keselamatan dibina di situ sekali gus menjadikan Trolltunga antara tempat tarikan pelancongan paling bahaya di dunia

Tambahan pula, penulis sememangnya meminati aktiviti mendaki dan pernah ke beberapa tempat menarik di UK, Itali dan Sepanyol.

Sebelum ke sana, penulis bersama tiga rakan membuat sedikit penyelidikan mengenai Trolltunga menerusi beberapa kawan yang sudah ke sana dan membuat tempahan apartmen, kereta sewa serta tiket kapal terbang pada saat akhir kerana sibuk dengan kerja.

BEREHAT untuk makan tengah hari sambil nikmati keindahan tasik Ringedalsvatnet. FOTO Norhayati Razak
BEREHAT untuk makan tengah hari sambil nikmati keindahan tasik Ringedalsvatnet. FOTO Norhayati Razak

Kami menaiki penerbangan dari Manchester ke Oslo, Norway yang mengambil masa selama dua jam.

Sebaik tiba pada jam 11 pagi, kami terus mengambil kereta di pusat kereta sewa dan singgah membeli barang makanan sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Odda sejauh 320 kilometer (km) yang memakan masa selama kira-kira lima jam.

Perjalanan menggunakan lebuh raya ini sedikit mencabar kerana perlu melalui banyak terowong dan selekoh yang tajam.

Biarpun mengambil masa yang lama, kami tidak berasa bosan kerana disajikan keindahan semula jadi dengan pelbagai bentuk muka bumi di kiri dan kanan jalan.

Ketika itu, Norway sedang mengalami musim panas, namun masih ada di sebahagian tempat diliputi salji. Ini pengalaman yang cukup menarik kerana dapat merasai cuaca panas dan sejuk pada masa yang sama.

Kami tiba di Odda pada lewat petang dan bermalam di apartmen.

Keesokan harinya kami bangun awal pagi untuk memulakan pendakian ke Trolltunga yang sangat mencabar fizikal dan mental kerana mengambil masa lebih 11 jam dengan jarak perjalanan 22km pergi dan balik.

ANTARA pemandangan menarik di Norway. FOTO Norhayati Razak
ANTARA pemandangan menarik di Norway. FOTO Norhayati Razak

Sebaik tiba di lokasi pendakian, terdapat ramai pendaki sedang membuat persiapan untuk memulakan pendakian seperti kami.

Kami tidak menggunakan khidmat jurupandu kerana di sini terdapat banyak papan tanda arah yang membantu pendaki untuk sampai ke lokasi ingin dituju.

Pada tiga kilometer pertama kami perlu mendaki anak tangga yang sangat tinggi tanpa henti.

Selepas pendakian yang cukup melelahkan itu, kami perlu berhati-hati kerana melalui laluan penuh salji yang licin, berbatu dan cerun berlumpur.

Kami tiba di Trolltunga pada tengah hari dan terkejut melihat ramai orang beratur untuk mengambil gambar di situ.

Di sini, kami dapat melihat sendiri keindahan Trolltunga seperti yang diperkatakan ramai. Batu sepanjang 700 meter dilihat seperti lidah raksaksa yang menghadap tasik Ringedalsvatnet dan dikelilingi gunung-ganang

Bagaimanapun, untuk bergambar di atas batu itu memerlukan keberanian dan tidak sesuai bagi orang yang takut kepada ketinggian. Hanya seorang daripada kami yang berani bergambar di hujung batu itu.

KUMPULAN pendaki. FOTO Norhayati Razak
KUMPULAN pendaki. FOTO Norhayati Razak

Kami berada di situ selama 30 minit sebelum terus turun untuk elak daripada berjalan ketika hari sudah gelap.

Pada keesokan hari, kami ke bandar Bergen untuk melihat dermaga, bangunan tradisional Norway dan menikmati makanan laut.

Kami dapat menikmati ikan salmon liar yang lebih berlemak berbanding salmon biasa. Bagaimanapun, harganya sedikit mahal.

Dalam perjalanan pulang ke apartmen di Odda, kami berdepan pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila jalan ditutup pada jam 7 malam untuk pembinaan dan hanya dibuka semula pada jam 6 pagi keesokan hari.

Oleh kerana tiada hotel berhampiran berikutan berada di kawasan terpencil, kami tiada pilihan lain selain tidur di dalam kereta.

Hari terakhir di Norway, kami sempat singgah melihat dan melalui bawah air terjun Latefossen di Skare sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Oslo.

Biarpun hanya beberapa hari di Norway, ia pengalaman yang tidak akan dilupakan penulis.

Sebagai sedikit panduan, kunjungan lebih sesuai ketika musim panas dan dinasihatkan bersedia daripada segi mental serta fizikal kerana berdepan pendakian jauh yang memakan masa lama.

KAWASAN bersalji yang perlu ditempuhi pendaki. FOTO Norhayati Razak
KAWASAN bersalji yang perlu ditempuhi pendaki. FOTO Norhayati Razak

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 7:00 AM