EDISI terhad Hydra-Glide.
EDISI terhad Hydra-Glide.
Lizam Ridzuan


MODEL ini tampil unik terutama buat peminatnya kerana elemen yang ditawarkan umpama mengembalikan nostalgia.

Harley-Davidson memperkenalkan model siri koleksi ikon Hydra-Glide Revival 2024 ke dalam pasaran tempatan.

Ia dilancarkan baru-baru di Ace Cafe Kuala Lumpur menerusi pengedarnya di Malaysia Didi Resources.

Model edisi terhad ini hanya dikeluarkan 1,750 unit di seluruh dunia dan untuk Malaysia hanya lima unit ditawarkan.

Model ini umpama kelahiran semula motosikal Hydra Glode yang pernah dikeluarkan sejak 75 tahun lalu namun kali ini dengan versi moden klasik.

Antara ciri pada motosikal ini ialah dwi warna Merah Redline dan Putih Birch pada tangki yang pernah diperkenalkan pada 1956.

Ia juga dengan logo V dan Hydra Glide logo pada dapra hadapan serta corak grafik pada bahagian belakang menyerlahkan gaya edisi terhadnya.

Pelana tunggal dengan hiasan kulit dan jahitan merah kontra dan rel krom menambah nostalgia.

Beg sisi kulit dengan hiasan rerambu dan krom dilengkapi dengan kunci serta garisan putih menambah gaya.

Jentera ini juga dengan nombor siri yang menjadi pilihan utama pengumpul motosikal sebegini.

Hydra Glide Revival dikuasakan dengan enjin Milwaukee-Eight 114 1,870cc V-Twin sejukan udara dan minyak menjana 86 kuasa kuda dan tork 161Nm dengan Screaming Eagle High-Flow untuk prestasi lebih baik.

Ciri suspensi belakang penyerap hentakan tunggal boleh laras untuk tunggangan lebih selesa dan dinamik sambil mengekalkan gaya profil hardtail.

Model ini juga dengan lampu hadapan LED dan lampu tambahan, pelindung angin serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Sesuai sebagai model edisi terhad, Hydra-Glide Revival 2024 didatangkan dengan tanda harga RM179,900 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 6:50 AM