Lizam Ridzuan


JIKA dahulu pentasnya dalam dunia hiburan namun kini lebih kepada perniagaan pengurusan acara selain makanan dan minuman (F&B).

Ahmad Zaidi Masri, 44, atau lebih dikenali sebagai JD Raja Lawak adalah finalis Program Raja Lawak musim ke-4 dan kini menggunakan nama JD23.

Sisi lain yang ramai tidak mengetahui ialah beliau seorang pengumpul kereta, motosikal klasik dan vintaj sebagai hobi yang melengkapi elemen gaya hidupnya.

"Sebagai seorang jurutera saya sememangnya menghargai apa juga kejuruteraan dan mekanikal zaman dahulu dan setiap koleksi ini bukan sahaja mempunyai nilai yang tinggi malah ada cerita yang tersendiri," katanya.

Salah sebuah yang paling 'rare' ialah kereta Ford Mustang GT 390 Fastback keluaran 1968 dengan enjin 6.3 liter V8 yang digunakan dalam filem Bullit oleh mendiang Steve McQueen salah seorang ikon pelakon hebat dan menerima bayaran paling tinggi di dunia sekitar 1970-an dahulu.

Model sama digunakan itu sememangnya 'rare' dan jarang dijumpai terutama di negara ini dan ia juga pemanduan sebelah kiri adalah salah satu model yang menjadi buruan peminat Mustang seluruh dunia.

"Untuk model asal yang digunakan dalam filem itu mendapat bidaan sehingga AS$3.6 juta di Amerika Syarikat (AS) dan model ini meskipun tidaklah mencapai harga sebegitu namun adalah berbaloi untuk dijadikan simpanan dan koleksi," katanya.

Salah satu motosikal yang juga terpaling 'rare' di dalam garajnya itu ialah Harley-Davidson 1947 WL 45 'Original Malaya' yang dicipta sebelum Perang Dunia ke-2 menggunakan enjin 'flathead' 750cc.

SENTIASA memastikan motosikal dalam keadaan baik.
SENTIASA memastikan motosikal dalam keadaan baik.

"Meskipun ada juga pengumpul lain yang memiliki motosikal model ini namun ia adalah kenderaan import terpakai dari AS, namun model yang saya miliki ini adalah yang dibeli oleh kerabat Perak pada 1947 di tanah air pada ketika itu dengan sijil pemilikan kenderaan import baharu," katanya.

Model ini juga menampilkan gear di tangan dan klac di kaki seakan mekanisma yang terdapat kereta dan menjadikan ia unik dan sering menjadi perhatian ramai.

Selain itu Zaidi juga memiliki kereta lain antaranya seperti Volkswagen Beetle 1965, Mazda Cosmo Sport 1967, Porsche 911 Carrera 3.2 1984 dan Ferrari 328 Qutrovalvole 1989.

Untuk motosikal pula terdapat seperti Triumph 3HW 1939, BSA DBD34 Goldstar 1957, BMW R60/2 1962, Cagiva Mito 1992 dan Suzuki Katana 1989 dalam simpananya.

Untuk rekod, Zaidi pernah beraksi di KL International Comedy Festival 2015, Komediri Bersama Harith Iskander Season 1 dan 2, Lawak Sorang2 Season 1, Oi! Jaga Mulut Season 1, dan pernah terlibat dalam persembahan di PJ Live Arts, Crackhouse Comedy Club dan No Black Tie! selain aktif dalam bidang lakonan pada suatu ketika.

MUSTANG GT 390 Fastback 1968.
MUSTANG GT 390 Fastback 1968.

Antara perancangan masa hadapannya ialah meluaskan skop perniagaannya menerusi syarikat Doplohtiga ke tahap yang lebih tinggi dengan mengkhususkan kepada makanan, kecantikan, pengurusan acara dan studio.

Selain itu beliau juga mahu membawa jenama itu ke peringkat global serta menawarkan skim francais kafe dengan konsep gaya hidup permotoran dan memperkenalkan makanan signaturnya iaitu burger halal.

Zaidi juga fasih berbahasa Jepun dan pernah tinggal di negara itu selama enam tahun (1999-2005) ketika menuntut di Shinshu University of Nagano dalam Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Mekanik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 6:40 AM
ZAIDI bersama sebahagian koleksinya.
ZAIDI bersama sebahagian koleksinya.