BERSEMPENA ulang tahun ke-60 jenama kereta super prestasi mewah Itali, model Lamborghini Revuelto diperkenalkan untuk pasaran global dan dan baru-baru ini memasuki pasaran Malaysia.
Sebagai model High Performance Electric Vehicle (HPEV) ia adalah model V12 pertama jenama itu menampilkan ciri elemen kenderaan elektrifikasi menerusi enjin 6.5 liter aspirasi natural petrol menjana 825PS pada 9,250 rpm dan tork 725Nm pada 6,750 rpm.
Ia dilengkapi dengan transmisi E-DCT dwiklac lapan kelajuan dan terdapat bateri pada bahagian terowong tengah kenderaan yang menjana tiga motor elektrik dengan setiap satu menawarkan kuasa 150PS dan tork 150Nm.
Motor elektrik dengan kuasa 3.8Kwj boleh dicas menerusi kuasa sehingga 7kW dan mengambil masa sekitar 30 minit untuk penuh selain brek regeneratif pada roda hadapan serta terus dari enjin dalam tempoh 6 minit.
Untuk kelajuan maksimum, gabungan kuasa keseluruhan Revuelto menjana sebanyak 1,015 PS membolehkan ia mencapai sehingga 350km/j dan pecutan sifar ke 100km/j dalam tempoh 2.5 saat.
Sebagai model hibrid ia menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Recharge, Hybrid dan Performance dengan kombinasi mod pilihan Citta (City), Strada, Sport dan Corsa serta 12 larasan yang boleh dipilih menerusi dua pilihan butang pada roda stereng.
Untuk Citta ia bagi kegunaan dalam bandar sifar emisi sehingga 180hp, Strada untuk pemanduan lebih selesa dengan enjin V12 sehingga 876hp, Sport pula terbahagi kepada tiga mod (Recharge, Hybrid, Performance) sehingga 895hp dan Corsa untuk kuasa maksimum 1,015hp.
Reka bentuk Revuelto dengan mengekalkan DNA jenama itu dengan garis tajam serta eleman 'Y' yang banyak terdapat pada lampu nyalaan siang (DRL) LED, bonet, sisi dan lampu belakang dan ia didatangkan dengan ciri pintu 'scissor'.
Selain itu ia juga supersport pertama menggunakan 100 peratus gentian karbon pada bahagian hadapannya untuk fungsi serapan tenaga lebih baik dan lebih ringan berbanding aluminium.
Ciri aerodinamik berbeza berbanding Aventador yang ia dibangunkan dengan empat ciri utama iaitu kecekapan, sinergi antara komponen, integrasi antara komponen dan reka bentuk.
Ia dicapai dengan menggabungkan 'downforce' yang tinggi dan meminimumkan seretan (drag) dengan sayap belakang aktif baharu, dicipta untuk memastikan prestasi aerodinamik terbaik dengan tiga ketetapan berbeza.
Untuk ruang kabin ia adalah lebih luas berbanding Aventador dengan bahagian kaki dan kepala terdapat pertambahan sebanyak 23mm dan 84mm.
Papan pemuka juga terdapat tiga skrin paparan dengan saiz 12.3 inci untuk kluster meter, 8.4 inci untuk tengah kedudukan menegak dan 9.1 inci untuk sistem infotainmen khas penumpang.
Sistem hiburan juga boleh dikemas kini menerusi ciri Over-the-Air selain terdapat ruang simpanan barang pada bonet dan belakang tempat duduk serta tempat meletak bekas minuman juga tersedia.
Material yang digunakan untuk ruang kabin adalah daripada Corsa-Tex yang diperbuat daripada gentian mikro Dinamica dan boleh disuai-padankan dengan material kulit dan terdapat 70 pilihan warna ditawarkan.
Untuk bahagian luarannya, sebanyak 400 pilihan warna boleh dipilih bagi disesuaikan dengan citarasa pembeli.
Walaupun belum diumumkan harga rasmi Lamborghini Revuelto namun menurut sumber ia bakal ditawarkan pada tanda harga sekitar RM2.5 juta (tidak termasuk cukai dan insurans).