EV paling mewah.
EV paling mewah.
Lizam Ridzuan


SELEPAS pelancaran global hujung tahun lalu, model kenderaan elektrik (EV) paling mewah di dunia, Rolls-Royce Spectre diperkenal untuk pasaran Malaysia.

Negara ini yang pertama di Asia Tenggara menerima model ini yang ditawarkan pada tanda harga bermula RM2 juta.

Ciri utama kenderaan ini ialah dengan bentuk 'coupe' dua pintu yang boleh memuatkan empat penumpang diasaskan daripada platform Architecture of Luxury.

Antara model lain menggunakan platform Architecture of Luxury ini ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) Cullinan dan Phantom generasi kelapan.

Untuk dimensi, Spectre dengan saiz 5,475 milimeter (mm) panjang, 2,144 mm (lebar), 1,573 mm (tinggi) dan jarak roda 3,210mm serta berat keseluruhan 2,890 kilogram (kg).

Masih lagi kekal ciri signature Rolls-Royce terutama pada bahagian hadapan gril Pantheon yang besar dengan ciri aerodinamik dan penutup aktif.

Ia juga dengan pencahayaan 22 LED dengan ciri lampu nyalaan siang (DRL) pada atas lampu utama dan pada hujung penutup bonet hadapan dengan emblem dan figura 'Spirit of Ecstasy'.

KEKAL ciri R-R.
KEKAL ciri R-R.

Ciri lain dengan bahagian belakang gaya fastback dengan lampu belakang rekaan khas, pintu bukaan terbalik dan padanan rim bersaiz 23 inci serta saiz tayar 255/40 dan 295/35.

Untuk ruang kabin dengan ciri cahaya kerlipan bintang pada bumbung dan pintu, meter instrumen digital sepenuhnya yang pertama untuk jenama ini serta ruang but 380 liter.

Ia dikuasakan dengan dua motor elektrik pada roda hadapan dan belakang adalah pacuan semua roda menerusi bateri lithium-ion 102 kWj dengan jarak perjalanan sehingga 530 kilometer (km) WLTP dengan pengecasan penuh.

Menerusi pengecasan pantas aliran terus (DC) 195 kw ia boleh dicas dari sifar ke 80 peratus dalam tempoh sekitar 30 minit.

RUANG kabin dengan pintu bukaan terbalik.
RUANG kabin dengan pintu bukaan terbalik.

Spectre menjana 577 kuasa kuda (hp) dan tork 900Nm serta pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam tempoh 4.5 saat.

Sistem suspensi unik model ini memberikan keselesaan maksimum dengan sistem kamera yang akan menukar kepada maklumat untuk melaras mengikut kesesuian permukaan jalan.

R-R juga menyasarkan untuk jualan EV jenama ini sebanyak 20 peratus pada 2024, 70 peratus pada 2028 dan 100 peratus pada 2030 dengan menamatkan pengeluaran enjin pembakaran dalaman (ICE) pada tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 7:01 AM