NISSAN GT-R R35 binaan Nagata di TASKL 2023.
NISSAN GT-R R35 binaan Nagata di TASKL 2023.
Lizam Ridzuan

Meskipun kurang dikenali di Malaysia, beliau cukup terkenal sebagai antara 'Street Racer' di Jepun menjadikannya begitu popular buat peminat permotoran dunia.

Nama Kazuhiko Nagata, 57, atau lebih dikenali sebagai 'Smokey Nagata' sememangnya sinonim dengan modifikasi enjin dan kereta dengan talaan prestasi kelajuan tinggi selain kemahiran dan gaya pemanduan jalanan beliau yang hebat sering mencetus kontroversi tersendiri.

Vroom berkesempatan menemu bual ikon berkenaan baru-baru ini ketika beliau menyertai acara Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL 2023).

Nagata ialah seorang jurutera kereta dan usahawan yang juga sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Operasi untuk syarikat Top Secret Co Ltd yang cukup terkenal menghasilkan kereta modifikasi dan talaan mempunyai pengaruh yang besar dalam industri di Jepun.

Penglibatannya bermula sekitar akhir 1980-an hingga awal 2000-an, menerusi binaan beliau yang paling terkenal iaitu Toyota Supra yang diubah suai dengan enjin dinaik taraf ke V12, suspensi yang dipertingkatkan dan kit badan yang agresif.

Selain itu Nagata juga menghasilkan binaan VQ30 Nissan 350Z dan VK45 Skyline CV35, namun katanya Supra adalah projek yang paling menarik dilakukan selain Nissan GT-R R35 adalah yang menjadi kegemarannya.

"Banyak permintaan yang datang dari luar Jepun namun saya lebih terarah kepada enjin Toyota kerana pernah bekerja bersama syarikat itu dan Nissan pula kerana enjin R35 itu adalah sangat baik dan berprestasi bagi talaan," katanya.

SMOKEY Nagata legenda talaan kenderaan Jepun.
SMOKEY Nagata legenda talaan kenderaan Jepun.

Buat masa ini tiada perancangan lagi untuk membuka cawangan Top Secret di luar Jepun bagi menjaga ciri eksklusif jenama itu.

Kepada individu yang gemar melakukan modifikasi kenderaan Nagata berkata ia perlu dilakukan dengan sepenuh jiwa kerana itu mencerminkan sifat dan karakter seseorang itu.

"Saya menggemari mereka yang melakukan modifikasi kereta dengan sepenuh hati kerana menghasilkan binaan dengan seni dan prestasi adalah sesuatu yang cukup mencabar dan ia perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh,"

"Sepanjang saya menjadi juri kesungguhan mereka adalah faktor utama akan saya nilaikan selain elemen reka bentuk dan prestasi enjin," katanya.

Bila ditanya apakah dia juga akan mengubahsuai kereta hibrid atau elektrik (EV) meskipun pernah melakukan ke atas Toyota Prius sebelum ini namun jiwanya lebih kepada enjin pembakaran dalaman (ICE) yang sentiasa mahu menjadikan kereta itu lebih laju.

Meskipun sudah banyak jentera-jentera berprestasi Jepun ditala ke tahap maksimum namun Nagata tidak pernah puas dan sentiasa mahu menghasilkan sesuatu yang lain untuk dijadikan 'masterpiece'.

Untuk rekod, Nissan GTR emas Top Secret yang dipamerkan di TASKL 2023 lalu berjaya dijual tanpa dinyatakan harga dan siapa pembelinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 6:35 AM