Ravindran (kiri) dan Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Takashi Obata pada pelancaran Toyota Corrola Baharu. - FOTO NSTP
Ravindran (kiri) dan Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Takashi Obata pada pelancaran Toyota Corrola Baharu. - FOTO NSTP
Lizam Ridzuan


Shah Alam: UMW Toyota (UMWT) melancarkan model Toyota Corolla Baharu menerusi varian Corolla IMP 2023 (Peningkatan) dan Corolla GR Sport.

Presidennya, Ravindran K berkata sebagai memenuhi keperluan pelanggan, pengenalan dua varian ini seiring dengan visi 'Move Your World' Toyota yang menyerlahkan ciri aspirasi peribadi serta corak pemanduan yang pelbagai.

"Kedua-dua model ini disasarkan buat pelanggan yang mahukan kenderaan sedan harian yang sporty seperti GR Sport dan ciri keselamatan termaju serta luaran yang bergaya bagi Corolla IMP," katanya pada majlis pelancaran, semalam.

Corolla GR Sport itu menerima perubahan seperti reka bentuk bampar, lampu hadapan serta lampu kabus LED berprestasi tinggi, dan pelindung bawah kenderaan hadapan.

Ia juga dilengkapi cermin sisi berwarna hitam dan rim aloi baru berukuran 18 inci dengan tayar bersaiz 225/40, sistem suspensi yang ditala dan kemasan bampar baharu serta logo GR.

Ruang dalaman dihiasi tempat duduk kulit jahitan merah dan logo GR serta kluster meter baharu digital sepenuhnya bersaiz 12.3 inci.

Tiada perubahan pada enjin dengan 1.8L DOHC Dwi-VVT-i yang menawarkan prestasi dan penggunaan bahan api efisien serta transmisi CVT 7- kelajuan yang didatangkan dengan mod pemanduan Eco dan Sport.

Toyota Corolla 2023 ditawarkan pada harga RM139,800 (1.8E), RM147,800 (1.8G) dan RM152,800 (GR Sport).

Sempena pelancaran, aktiviti Showroom Weekender untuk pandu uji dan tawaran cenderamata percuma akan diadakan dari 8 hingga 10 September untuk Semenanjung Malaysia serta pada 23 dan 24 September nanti di Sabah dan Sarawak membabitkan 51 pengedar sah Toyota untuk Corolla GR Sport dan 24 pengedar sah terpilih untuk Corolla G.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 1:29 PM