PAKAIAN ketika menunggang motosikal bukan sahaja membantu melindungi anggota badan jika berlaku kemalangan, malah ia kini didatangkan dengan ciri teknologi termaju.
Antaranya menerusi Sistem Beg Keselamatan Air-Tech daripada Alpinestar dengan pilihan model Tech-Air 10, Tech-Air 5 dan Tech-Air 3 yang diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan baru-baru ini.
Sistem ini juga sudah diwajibkan untuk semua pelumba MotoGP di dalam sut perlumbaan sejak 2018 yang membantu mengurangkan kecederaan badan bahagian atas.
Untuk model Tech-Air 10 adalah perlindungan paling komprehensif dalam barisan siri terbaharu ini meliputi bahu, dada, pinggang dan bahagian belakang didatangkan dengan 12 sensor (accelerometers+gyroscope) yang akan berfungsi jika ada tekanan kuat.
Sesuai untuk litar dan jalanan, sistem ini perlu dicas selama 4 jam bagi kegunaan 24 jam dengan paparan LED boleh tanggal tanpa wayar yang boleh dilekatkan pada sistem atau motosikal.
Ia mudah digunakan dengan menutup zip hadapan serta mengetatkan tali pinggang dalaman bagi mengaktifkan beg keselamatan dan Tech-Air 10 dijual pada harga RM4,899 dengan pilihan saiz M hingga 2XL.
Model Tech-Air 5 pula sesuai bagi kegunaan jelajah, urban dan perlumbaan dengan pilihan dua mod Race dan Street.
Ia hadir dengan ciri vest 6 sensor bersepadu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghitung masa sesuai sistem beg keselamatan itu akan berfungsi bagi mengembang.
Ia melindungi bahu, tulang rusuk, dada dan bahagian belakang yang ditawarkan pada harga RM2,999 serta pilihan saiz S higga XL.
Untuk Tech-Air 3 yang direka bagi dipakai di luar jaket sesuai untuk tunggangan urban atau penggembaraan tanpa mengira apa juga jenis motosikal yang menawarkan perlindungan diri dengan ciri beg keselamatan.
Ia berfungsi secara automatik sebaik penunggang zipkan jaketnya dengan ciri 'First Impact 1' yang melindungi dada dan belakang dan Tech-Air 3 dengan sijil CE tahap 2 dijual pada harga RM2,299 serta pilihan saiz S hingga 2XL.
Untuk meningkatkan keselesaan keseluruhan, ada fabrik regangan pada bahagian sisi badan dan ia dilengkapi dengan binaan luar kalis air.
Semua model Tech-Air Alpinestars mempunyai sambungan Bluetooth binaan dalam di mana penunggang boleh menyemak status operasi, bateri dan peta perjalanan tunggangan daripada aplikasi Tech-Air pada telefon pintar.
Namun hanya Tech-Air 5 dan 10 mempunyai dwi mod tunggangan iaitu Race dan Street bagi disesuaikan dengan pengesanan algoritma kemalangan yang berbeza.