BERKONGSI maklumat kepada juruteknik.
BERKONGSI maklumat kepada juruteknik.
Lizam Ridzuan


Kepakarannya berkaitan teknikal kenderaan tidak dapat disangkal lagi untuk ia menyandang jawatan Pakar Servis Mercedes-Benz ataupun "Flying Doctor".

Saurabh Singh, 33, yang berasal dari India sudah bertugas di negara ini lebih tujuh bulan yang sering akan 'terbang' ke sekitar negara Asia Pasifik melawat pusat servis dan pameran kenderaan premium Jerman itu.

Sebelum ini beliau bertugas di India sejak 2015 serta banyak mengendalikan khidmat teknikal segmen prestasi dan mewah jenama itu di sana.

Vroom berkesempatan bertemunya baru-baru ini ketika beliau mengendalikan Klinik Servis di Cycle & Carriage Bintang di Batu Caves, Selangor.

Beliau berkelulusan Sarjana Kejuruteraan Automotif (2013) dan Diploma Lanjutan Mechatronics (2014) yang memulakan karier sebagai Jurutera Rekaan dalam pembangunan trenkuasa dan kompomem kenderaan sebelum menyertai Mercedes-Benz India pada 2015.

Menyentuh mengenai tugasnya yang unik ini, Saurabh juga adalah 'Flying Doctor' termuda ketika itu yang turut bertanggungjawab menyediakan bantuan teknikal untuk jentera prestasi AMG dan kenderaan saloon mewah Maybach S600 Guard & Pullman.

Oleh kerana hanya ada dua sahaja 'doktor terbang' di rantau ini sememangnya tugasan dan jadualnya sentiasa penuh sepanjang tahun dan jarang berada di Malaysia untuk tempoh lama.

"Saya akan menjelajah di sekitar Asia Tenggara ke setiap pusat pameran Mercedes-Benz bagi tujuan menyelesaikan perkara berkaitan teknikal selain berkongsi pengalaman kepada juruteknik dan mekanik berkenaan sesebuah model itu,"

"Saya juga akan memeriksa kenderaan pelanggan bagi memastikan setiap kereta diservis mengikut prosedur termasuk menasihati mereka sekiranya ada penukaran alat ganti yang perlu antara yang dilakukan," katanya.

PEMERIKSAAN kenderaan pelanggan.
PEMERIKSAAN kenderaan pelanggan.

Sebagai pakar berkaitan teknikal, beliau juga sering menjadi rujukan sebarang permasalahan berkaitan kenderaan dan sekiranya ada kes-kes yang beliau tidak dapat diselesaikan maka akan merujuk kepada pihak di Jerman bagi tindakan susulan.

Sepanjang karier Saurabh juga menyediakan sokongan teknikal untuk aktiviti permotoran jentera prestasi Mercedes-AMG selain turut mengendalikan lebih 30 klinik servis bersama jurutera dari Jerman untuk pasaran rantau India sebelum ini.

Penting untuk jawatan seperti beliau dalam memastikan setiap model kenderaan mendapat maklumat penyelenggaraan yang betul bagi kelancaran dan prestasi serta enjin dan alatan tahan lebih lama yang memberikan kelegaan kepada pelanggan.

Selain ilmu dan kemahiran yang ada padanya turut dikongsi bersama kesemua juruteknik dan mekanik terlibat di pusat servis pengedar jenama itu dalam memastikan ia memenuhi standard di seluruh dunia.

"Apa yang pasti saya tidak perlu membawa apa-apa alatan khas kerana setiap pusat servis sudah lengkap dengan ciri prosedur operasi standard (SOP) yang ada bagi memastikan setiap kenderaan akan 'dilayan' mengikut spesifikasi global ," katanya.

Saurabh juga memberikan tips penjagaan kenderaan prestasi Mercedes-AMG iaitu untuk sentiasa menjaga sistem elektronik kenderaan, menggunakan dan cecair adiptif khas AMG untuk bahan api untuk memastikan enjin lebih responsif.

Oleh kerana model prestasi, pemilik kenderaan sebegitu perlu juga sentiasa memeriksa keadaan tayar berprestasi tinggi untuk pengendalian terbaik.

Selepas Malaysia, beliau akan ke Cambodia dan Sri Lanka bagi tujuan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 6:43 AM