NETA V penawaran EV terkini.
NETA V penawaran EV terkini.
Lizam Ridzuan


PENAWARAN kenderaan elektrik (EV) semakin berkembang di Malaysia, malah ia cukup memberangsangkan menerusi penawaran model terbaharu.

Antaranya ialah Neta V, Touchable Smart EV Serba Baharu yang dilancarkan ketika acara Pameran Auto Malaysia 2023 (MAS 2023) baru-baru ini.

Ia ditawarkan pada harga kompetitif iaitu RM99,800 (atas jalan tanpa insurans) - paling murah dalam segmen EV buat masa ini di Malaysia.

Malah ketika pelancaran, pengedar utamanya, Intro Synergy Sdn Bhd sudah menerima 100 tempahan untuk model ini yang bakal diserah kepada pembeli pada suku ketiga tahun ini.

Model ini juga ditawarkan dengan jaminan 10 tahun atau 200,000 kilometer (km), lima tahun atau 150,000km untuk jaminan alat ganti asas dan lapan tahun atau 180,000km untuk alatan komponen tinggi EV.

Neta V ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang direka dengan ciri mesra alam dan praktikal bagi kesesuaian pengguna di Malaysia.

RUANG kabin dengan skrin infotainmen
RUANG kabin dengan skrin infotainmen

Ia dikuasakan dengan bateri 38.5kWh yang membolehkan jarak perbatuan sehingga 380km dapat dicapai dengan sekali pengecasan.

Motor elektrik kenderaan ini menjana kuasa 95PS dan tork 160Nm dan mampu melakukan pecutan daripada sifar ke 50km/j dalam tempoh 3.9 saat.

Kelajuan maksimumnya ialah 120km/j dan untuk pengecasan bateri aliran terus (DC) daripada 30 ke 80 peratus, ia hanya mengambil masa 30 minit.

Ia direka dengan gaya crossover dan fastback dengan kepanjangan 4,070 milimeter (mm), lampu hadapan lazer 'hawk-eye', spoiler belakang sporty dan padanan rim aloi 16 inci.

Ia turut dipadankan dengan kemasan premium serta teknologi termaju termasuk sistem infotainmen bersaiz 14.6 inci.

BAHAGIAN penumpang.
BAHAGIAN penumpang.

Model ini turut dilengkapi ciri keselamatan terbaik seperti Sistem Brek Anti-Kinci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Brek Parkir Elektronik (EPB) serta dua beg keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 7:00 AM