ARTEON gaya fastback prestasi.
ARTEON gaya fastback prestasi.
Lizam Ridzuan


VOLKSWAGEN Arteon yang juga model fastback empat pintu gaya ranggi dan sporty, kini ditawarkan dengan ciri IQ.Drive menerusi Bantuan Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif dan pengecasan telefon pintar tanpa wayar.

Mula diperkenalkan untuk pasaran negara ini pada 2020, ia juga dilengkapi ciri standard seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA) dan Bonet Aktif untuk perlindungan pejalan kaki.

Ia juga datang dengan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar yang memantau tekanan setiap tayar.

Ia juga akan membrek secara automatik sebaik mengesan objek pada kelajuan 10 kilometer/sejam (km/j).

Arteon kekal dijana dengan enjin 2.0L TSI turbo. Ia mampu menghemburkan kuasa 280PS dan tork 350Nm.

Ia dilengkapi kotak gear tujuh kelajuan DSG serta berkeupayaan memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 5.6 saat.

DILENGKAPI sistem pemanduan IQ.Drive.
DILENGKAPI sistem pemanduan IQ.Drive.

Meskipun berkuasa dalam kelasnya dengan sistem pacuan semua roda 4Motion, namun ia menawarkan penjimatan bahan api untuk penggunaan sekitar 7.4 liter untuk setiap 100km.

Untuk rekaan luaran, ia memiliki garis badan yang memberikan visual kenderaan lebih rendah, ciri pencahayaan dinamik dan LED 3 Dimensi serta rim aloi bersaiz 19 inci.

Bagi ruang dalaman, antara yang disediakan ialah Kokpit Digital dengan sistem infotainmen Discover Pro serta keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk akustik lebih segar, ia dilengkapi sistem pembesar suara berkualiti tinggi daripada Harman Kardon 700-watt dengan 12 pembesar suara.

Selain itu, ia didatangkan dengan antaranya tiga zon penyaman udara, pengecas USB jenis-C, kerusi kulit karbon Nappa dan paparan kamera persekitaran 360 darjah.

Volkswagen Arteon Baharu dijual pada harga RM299,990 dengan lima pilihan warna metalik dan mutiara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 11:00 PM