Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) kini dalam perancangan ke arah pembangunan motosikal elektrik (EV) menerusi model MEV-1.
Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) kini dalam perancangan ke arah pembangunan motosikal elektrik (EV) menerusi model MEV-1.
Oleh: Lizam Ridzuan


SERDANG: Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) kini dalam perancangan ke arah pembangunan motosikal elektrik (EV) menerusi model MEV-1.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Roskan berkata motosikal EV itu kini khusus untuk tujuan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang sedang diuji untuk kegunaan Pos Malaysia Berhad.

"Ia adalah satu permulaan untuk Modenas mengenalpasti model dan teknologi EV yang sesuai digunakan untuk pasaran Malaysia menerusi model yang diasaskan daripada jenama terkenal antarabangsa itu,

"Kami harus lebih teliti dalam pemilihan rakan perniagaan untuk motosikal EV atas faktor keselamatan penunggang dan memilih Vmoto Soco dari Australia yang sudah terbukti akan keupayaannya dalam menghasilkan ribuan motosikal EV di Eropah dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini," katanya ketika ditemui di Pameran Auto Malaysia (MAS 2023).

Model EV ini adalah yang sama digunakan oleh syarikat penghantaran barangan runcit (e-hailing), Getir di United Kingdom.

Ia menggunakan dua bateri Lithium-ion dengan kuasa 60v setiap satu yang boleh dicas untuk 100 penuh dalam tempoh 3.5 jam.

Menurutnya mereka juga masih menilai model-model EV lain untuk untuk ditawarkan kepada pengguna namun infrastruktur pengecasan masih belum tersedia sepenuhnya di negara ini maka bagi tujuan permulaan motosikal EV ini lebih sesuai tujuan komersial dan perniagaan.

Ujian oleh Pos Malaysia dilihat lebih sesuai dengan keperluan maklumat dan kajian syarikat dan MEV-1 ini boleh menjangkau perjalanan sehingga 140 kilometer (km) pada kelajuan maksimum 80km/j dan boleh menampung berat sehingga 230kg.

"Kami akan memperkenalkan beberapa model EV lain untuk tujuan B2B terlebih dahulu dan menyasarkan untuk menjadi pemain utama motosikal EV pada masa hadapan seiring dengan sasaran kerajaan Malaysia sebanyak 15 peratus daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) kenderaan adalah EV pada 2030," katanya.

Modenas juga menyasarkan 2025 bagi memulakan pembangunan model EV jenama itu namun sentiasa peka akan perubahan dan teknologi semasa terutama berkaitan bateri bagi keperluan teknikal dan kesesuaian pasaran.

Menerusi perkembangan lain, model Supermoped Modenas kini dalam peringkat rekaan dan ujian yang bakal dilancarkan pada 2025 di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 8:11 PM