MODEL sedan masa depan.
MODEL sedan masa depan.
Nurul Husna Mahmud


Estetik yang dramatik, figura dinamik dan tampil dengan teknologi futuristik, ia kesimpulan penulis terhadap model sedan mewah EQS 500 4MATIC yang menggunakan sepenuhnya kuasa bateri atau elektrik.

Semestinya 'kosmetik' luar dan dalam model sedan elektrik itu sudah dijangka melangkaui jangkaan peminat motokar yang mengikuti setiap perkembangan model pengeluar ternama dari Jerman itu.

EQS 500 4MATIC juga dipasang sepenuhnya dalam negara (CKD) di kilang pengeluarannya di Pekan, Pahang.

Boleh dikatakan elemen mewah dan elegan berlebihan apabila penggunaan skrin paparan untuk kawalan dan infotainment bukan hanya dinikmati pemandu dan penumpang hadapan, sebaliknya turut disediakan untuk setiap penumpang di belakang.

Dengan salutan tempat duduk kulit Nappa yang mewah, imej itu sepadan dengan estetik luar 'coupé, kawasan kerangka yang tampak tegap dan diperhalusi dengan garisan halus dalam reka bentuk membuatkan ia tampak 'sleek' dan 'stailo'.

Elemen kemasan krom yang elegan dan roda aloi ringan lima jejari 20 inci (50.8 sentimeter) turut dilengkapi dengan gril radiator bercorak Mercedes-Benz yang ikonik.

Bumbung matahari gelongsor panoramik membolehkan cahaya mencukupi mencerahkan kabin.

PAPARAN dalam model sedan EQS 500 4MATIC.
PAPARAN dalam model sedan EQS 500 4MATIC.

Ramai yang menjangka, bagi model kenderaan elektrik, pemanduannya kurang bertenaga.

Sebaliknya, model generasi terbaharu dalam segmen Mercedes ini menawarkan pemanduan berkuasa apabila mampu memecut daripada sifar ke 100km/j hanya dalam 4.8 saat dengan penambahan motor elektrik kedua.

EQS 500 4MATIC mampu menjelajah sejauh 696 kilometer dengan bateri penuh.

Pemacu juga disediakan dengan kedua-dua pilihan pengecasan arus ulang-alik dan arus terus.

Bagi pengecasan arus terus (200 kW) daripada 10 hingga 80 peratus yang disediakan di stesen pengecas pantas, ia hanya memerlukan 31 minit.

BAHAGIAN belakang EQS 500 4MATIC.
BAHAGIAN belakang EQS 500 4MATIC.

Manakala pengecasan arus ulang-alik (11 kW) di stesen pengecas awam atau Mercedes-Benz Wallbox, ia mengambil masa 10 jam untuk pengisian daripada 10 hingga 100 peratus.

Sudah semestinya model kenderaan masa depan itu tampil dengan ciri Pakej Bantuan Pemanduan Plus sebagai ciri keselamatan bagi melindungi pemandu dan penumpang.

Sistem itu merangkumi Bantuan Jarak Aktif DISTRONIC, Bantuan Pengekalan Lorong Aktif, Bantuan Stereng Aktif, Sokongan manuver mengelak, sisi impuls PRE-SAFE® dan sistem pengesan belakang untuk penukaran lorong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 6:20 AM