Lizam Ridzuan

Toyota Vios Serba Baharu yang dilancarkan baru-baru ini tampil lebih sporty, ciri dinamik dan kemasan lebih premium.

Ia yang dibina atas platform baharu dengan rekaan kerangka lebih kukuh dan dalam masa sama menawarkan kestabilan lebih baik pada kelajuan dan selekoh.

Vroom berpeluang memandu ujinya baru-baru ini dalam sesi pandu uji prapelancaran di Pulau Langkawi, Kedah.

Vios ini adalah model generasi keempat sejak ia ditawarkan ke pasaran pada 2003, dalam sedan segmen-B.

 CIRI fastback serlah premium.
CIRI fastback serlah premium.

Untuk pasaran Malaysia, Vios Serba Baharu ditawarkan menerusi dua varian iaitu Vios 1.5G AT dan Vios 1.5E AT.

Namun, ia mengekalkan enjin sama iaitu 1,496cc, empat silinder sebaris, DOHC dengan dwi-VVT-i.

Ia menjana kuasa 106PS pada 6,000 rpm dan 138Nm pada 4,200 rpm serta transmisi tujuh kelajuan CVT dengan 'Sequential Shiftmatic'.

Sepanjang pemanduan di laluan kecil di perkampungan, ia cukup mudah dikendalikan, malah lancar ketika memintas.

Pengendalian di selekoh juga stabil hasil penggunaan suspensi hadapan McPherson Strut dan suspensi belakang Torsion Beam.

SESI pandu uji di Pulau Langkawi.
SESI pandu uji di Pulau Langkawi.

Ia juga meluncur lancar ketika pendakian di Gunung Raya. Kotak gear CVT juga berfungsi mengikut keperluan tenaga yang diperlukan.

Platform bagi model ini juga menawarkan kestabilan dan keselesaan, malah faktor kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) turut ditambah baik.

Untuk ruang kabin, ia tampil lebih elegan berbanding generasi sebelumnya dengan papan pemukanya menggunakan material lembut dan kulit.

PAPAN pemuka dengan gaya lebih elegan.
PAPAN pemuka dengan gaya lebih elegan.

Melengkapi konsol tengah, terdapat gear, butang brek parkir elektronik selain ruang simpanan barangan serta sistem pengecasan telefon tanpa wayar.

Ia juga dilengkapi Paparan Maklumat Pelbagai (MID) tujuh inci TFT dengan susun atur boleh ubah, roda stereng balutan kulit dengan pedal gear serta butang fungsi audio, Bluetooth, mod pemanduan dan Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC).

KEMASAN kabin terperinci.
KEMASAN kabin terperinci.

Menariknya, Vios ini datang dengan pilihan 64 lampu suasana.

Di bahagian belakang, ia dilengkapi corong penyaman udara serta butang pengecas USB. Namun, kerusi penumpang tidak boleh direbah dan tiada perehat lengan untuk versi kali ini.

Pada bahagian kepala pula, ruangnya sedikit rendah kerana reka bentuk Vios dengan ciri Sportsback untuk gaya lebih sporty dan premium.

Namun, penulis tetap berasakan keselesaan serta ruang unjuran kaki yang lebih baik kerana jarak antara roda juga lebih panjang daripada model sebelumnya.

BAHAGIAN belakang dengan Vortex Generator dan difusser pada bampar.
BAHAGIAN belakang dengan Vortex Generator dan difusser pada bampar.

Ciri keselamatan terbaik disediakan menerusi Toyota Safety Sense (TSS) dengan Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Keluar Laluan (LDW), Pencegahan Keluar Laluan (LDP) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA) sebagai ciri standard.

Untuk varian G, ia didatangkan dengan Kawalan Kekal Laluan (LKC), Pancaran Lampu Tinggi Automatik (AHB) serta Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC).

Ciri-ciri lain untuk kesemua varian antaranya Kawalan Nyahoperasi Pedal (PMC), Monitor Pandangan Panorama 3D (3D PVM), Monitor Titik Buta (BSM) dengan Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), Perakam Kamera Hadapan dengan Keterhubungan telefon pintar dan dan enam beg keselamatan.

ENJIN 1.5 liter cekap tenaga.
ENJIN 1.5 liter cekap tenaga.

Secara keseluruhan, model yang dipasang di 'Assembly Services Sdn Bhd' (ASSB) di Bukit Raja, Klang, Selangor ini dengan kualiti 'Toyota Way' sudah pun menerima lebih 5,000 unit tempahan setakat ini.

Ia dijangka meningkat sehingga 8,000 unit menjelang akhir bulan ini.

Lima pilihan warna ditawarkan dengan yang terbaharu, Spicy Scarlet menjadikan ia tampil seakan-akan 'abangnya' iaitu model Camry.

Ruang but 475 liter cukup luas untuk membawa bagasi atau barangan keperluan lain selain di bawahnya ada ruang simpanan 'rahsia' tambahan.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Vios Serba Baharu dijual pada harga RM89,600 (1.5L E (AT) dan RM95,500 (1.5 G (AT).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 6:16 AM