DARI kiri: Jeffri, Boo dan George.
DARI kiri: Jeffri, Boo dan George.

Bukan saja kenderaan komersial malah penghasil jentera berat juga kini menumpukan usaha untuk menghasilkan model kenderaan elektrik (EV) masing-masing.

Antara yang diperkenalkan ke pasaran tempatan ialah traktor EV jenama Terberg dari Belanda.

Ia diedar pengedar utamanya di negara ini iaitu Terberg Tractors Malaysia (TTM) yang juga syarikat usaha sama Sime Darby Industrial dan Royal Terberg Group BV.

Royal Terberg Group BV ini mempunyai pengalaman lebih 150 tahun dalam menghasilkan kenderaan dan jentera khas.

Pada awal Disember lalu, model YT200EV yang juga traktor terminal elektrik bateri yang pertama di Malaysia dihasilkan di kilang pembuatan dan pemasangan di Pasir Gudang, Johor, diedar ke pasaran.

Ia sesuai digunakan dalam industri penghantaran dan lojistik, terutama pergerakan kargo dan kontena di terminal kontena selain di pusat pengedaran, gudang dan depoh.

Dijana dengan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkuasa 350kWh, ia mampu membekalkan tenaga sehingga 10 jam (dalam operasi pelabuhan kontena) yang boleh dicas sepenuhnya dalam tempoh satu jam.

Ia juga datang dengan pemacu motor sejukan cecair 240kW dengan tork yang sesuai bagi menampung muatan sehingga 90 tan.

Ia lebih cekap dan efisien berbanding kuasa diesel.

Berbanding traktor tradisional, YT200EV direka dengan ciri yang minimum dan tidak memerlukan komponen enjin yang banyak dalam usaha mengurangkan kos penyelenggaraan.

Turut hadir ketika pelancaran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Datuk Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif TTM Group of Companies Boo Wei Ching dan Ahli Lembaga Pengarah Royal Terberg Group George Terberg.

Info: Menerusi penggantian traktor terminal sedia ada dengan traktor elektrik keluaran Terberg, ia membantu mengurangkan kira-kira 30 tan gas karbon dioksida setiap tahun.

Ia bersamaan menanam lebih sejuta pokok atau mengurangkan lebih 6,000 kereta di jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 8:24 PM