AKSI bas mini pada era kegemilangannya.
AKSI bas mini pada era kegemilangannya.
Nazarali Saeril


KETIKA menuntut di Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam pada penghujung 1990-an, penulis cukup teruja jika mahu ke destinasi tertentu seperti ke bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Bukan apa, setiap kali mahu keluar daripada kolej kediaman, jika tidak mahu berjalan, kami perlu menaiki kenderaan paling 'digeruni' ketika itu iaitu bas mini.

Tambang memang murah, hanya 50 sen atau 60 sen sahaja jika tidak silap penulis.

Namun, 'sendatnya' keadaan bas mini ini mungkin lebih sendat daripada sardin dalam tin.

Bagaimanapun, ketika zaman belajar, itu semua tidak menjadi hal - yang penting sampai ke destinasi.

Malah, tiada yang bergaduh di dalam bas malah semuanya bertimbang rasa, mungkin kerana semua tahu hanya itu saja khidmat pengangkutan yang mampu digunakan.

Ramai, termasuk penulis berharap, selepas tamat pengajian dan mula bekerja, tidak perlu lagi menaiki bas mini sebaliknya mampu memandu kereta sendiri.

Kini, selepas lebih 20 tahun, kenangan bersama bas mini merah jambu kembali mengimbau.

Indahnya kenangan menaiki bas mini, menunggu kedatangannya walaupun berhujan, berlari-lari ke arah bas ketika ia hampir berhenti, melompat ke tangga bas untuk 'cop' tempat walaupun terpaksa berdiri, pinjam duit rakan kerana tidak cukup tambang, bertukar nombor telefon dengan si cantik manis dan pelbagai lagi.

Walaupun ada kalanya tidak selesa, namun dengan bas mini itulah penulis serta rakan lain bergerak ke mana-mana lokasi sekitar Shah Alam untuk menyiapkan tugasan, kelas malam atau makan malam.

Imbauan itu umpama semua kisah berkaitan bas mini berlaku semalam.

Kini, jika ke mana-mana kawasan institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), kelibat bas mini seperti penghujung 90-an itu sudah tidak kelihatan.

Ramai penuntut yang sama ada menunggang motosikal atau memandu kereta. Masih ada yang menaiki bas, namun bukan lagi seperti bas mini lebih 20 tahun lalu.

Sejarah bas mini bermula pada 23 September 1975 dan ketika itu, ia beroperasi di pelbagai laluan di sekitar Kuala Lumpur serta Lembah Klang.

Bas mini yang dilengkapi 20 hingga 30 tempat duduk ini tiada jadual perjalanan yang tetap.

Sebaliknya, perkhidmatan dijalankan berasaskan komisen dan individu paling sibuk sebenarnya ialah 'konduktor' bas.

Dengan papan tiket di tangan, konduktor akan bertanya siapa yang masih belum membayar tambang, meminta penumpang sediakan wang kecil, minta tunjukkan tiket sebagai bukti supaya tidak diturunkan di tengah jalan dan pelbagai lagi.

Walaupun nampak garang, tetapi itulah tugas konduktor. Malah, ada ramai penuntut yang akhirnya menjadi rakan kepada konduktor kerana sudah biasa dengan mereka.

Setiap pengusaha bas mini dibayar mengikut bilangan perjalanan serta kutipan tambang dalam sehari.

Disebabkan itu, ada pemandu yang memandu bas mini dengan 'kepantasan yang menakjubkan'

selain berhenti di mana-mana lokasi untuk mengambil penumpang walaupun bas sudah penuh.

Antara yang paling terkenal, bas mini nombor 55.

Bas mini nombor 55 ini membabitkan laluan Pantai Dalam, Brickfields, 'Bus Stand Klang', Kota Raya, Chow Kit serta Globe (ketika itu, Pasaraya Globe Silk Store).

Bagaimanapun, akhirnya, pada 1 Julai 1998, perkhidmatan bas mini di Kuala Lumpur dihentikan.

Penulis percaya, ramai dalam kalangan pembaca juga pernah menjadikan bas mini sebagai pengangkutan utama satu masa dulu. Apa lagi, jom Vroom Vroom.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 7:00 AM