RAIH tempat pertama dan kedua pada perlumbaan berprestij ‘Sepang 1,000KM’ selama 9 jam di SIC.
RAIH tempat pertama dan kedua pada perlumbaan berprestij ‘Sepang 1,000KM’ selama 9 jam di SIC.
Muhammad Saufi Hassan


PENGELUAR kenderaan terkemuka, Toyota merangkul kejayaan cemerlang dengan memenangi tempat pertama dan kedua sempena perlumbaan berprestij 'Sepang 1,000KM' yang berlangsung selama sembilan jam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini.

Tiga peserta yang mewakili Toyota berjaya menamatkan perlumbaan dengan kedudukan lima teratas dalam kelas Malaysian Touring Car (MTC).

Kejayaan itu lebih manis apabila ini adalah tahun kedua Toyota menyertai perlumbaan berkenaan.

Duta Toyota GAZOO Racing Malaysia #37 Vios dan GAZOO Racing Malaysia, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dan penyandang juara kelas Vios Challenge Sporting Naquib Azlan, memenangi perlumbaan 181 pusingan berkenaan daripada petak pertama.

Ia sekali gus menamatkan perlumbaan dengan 6.2 saat di depan pencabar terdekat iaitu #39 Yaris yang dipandu oleh Hayden Haikal dan Jwan Hii yang mewakili Ming Hin Motorsports, iaitu pengedar rasmi UMW Toyora Motor.

Tempat ketiga pula dirangkul pasukan Hi Rev Dream Chaser Team, Mitchell Cheak dan Brendan Paul Anthony manakala tempat keempat adalah #38 Wing Hin Motorsports Yaris yang dipandu oleh Boy Wong dan Dannies Ng.

Menduduki kedudukan lima teratas yang lain serta berada di belakang Bios adalah daripada R Engineering HMRT, Lee Wee Sing dan Leon Khoo Beng Koon yang memandu Honda City.

PASUKAN GAZOO Racing Malaysia yang diterajui Tengku Djan Ley dan Naquib Azlan berdiri di tangga teratas perlumbaan S1K di iringi dengan pasangan Jwan Hii dan Hayden Haikal (kiri) di tempat kedua keseluruhan yang juga memandu jentera Toyota sementara pasangan Mitchell Cheah dan Brandon Paul Anthony di tempat ketiga.
PASUKAN GAZOO Racing Malaysia yang diterajui Tengku Djan Ley dan Naquib Azlan berdiri di tangga teratas perlumbaan S1K di iringi dengan pasangan Jwan Hii dan Hayden Haikal (kiri) di tempat kedua keseluruhan yang juga memandu jentera Toyota sementara pasangan Mitchell Cheah dan Brandon Paul Anthony di tempat ketiga.

Bermula di kedudukan petak pertama, Toyota Vios #37 Naquib mendahului perlumbaan sebelum berada di kedudukan ketiga selepas sejam pertama perlumbaan.

Bampar belakang yang sedikit tercabut akibat perlanggaran di litar memaksanya untuk masuk ke pit bagi tujuan pembaikan dan ia mengambil masa beberapa minit untuk dibaiki.

Pada masa sama, rakan sepasukan, Tengku Djan mengambil alih tugas pemanduan memasuki jam kedua, pelumba #37 itu melonjak satu kedudukan ke tempat kedua dengan catatan satu pusingan dua minit 39.160 saat, ia hampir satu saat di hadapan yang lain.

Kehebatan Toyota di atas litar diperlihatkan lagi apabila ketiga-tiga keretanya secara konsisten berlumba di kedudukan lima teratas.

JENTERA yang mantap, pemanduan bertenaga dan strategi perlumbaan yang baik membuahkan hasil bagi pasukan GAZOO Racing Malaysia yang menjuarai perlumbaan S1K.
JENTERA yang mantap, pemanduan bertenaga dan strategi perlumbaan yang baik membuahkan hasil bagi pasukan GAZOO Racing Malaysia yang menjuarai perlumbaan S1K.

Jam kedua perlumbaan seterusnya dikuasai oleh Hayden Haikal dan Jwan Hii yang mendahului perlumbaan menerusi #39 Yaris manakala rakan sepasukan, Boy Wong dan Dannies Ng menerusi #38 Yaris melengkapkan tiga kedudukan teratas.

Keempat-empat pemandu juga adalah pesaing tetap dalam siri perlumbaan Cabaran Vios.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Ravindran K berkata, tahun lalu, fokus lebih kepada pembelajaran dan pembangunan Vios serta Yaris untuk cabaran Sepang 1000KM.

"Kami mempunyai program yang meluas serta kereta yang kompetitif. Kami akan terus memenangi perlumbaan.

"Kami bukan sahaja mendahului daripada awal hingga akhir malah tiga daripada kereta kami berada di kedudukan lima teratas, ia secara keseluruhan menebus kembali kelemahan lalu.

"Vios juga membuktikan keupayaan dan prestasi terbaik termasuk sebagai model yang kompetitif di trek. Ia dapat dilihat menerusi bentuk model pengeluaran standard yang bersaing dalam lima musim siri perlumbaan Cabaran Vios.

"Seterusnya kepada penampilan sulungnya dalam Piala Pecut Vios iaitu perlumbaan sejam, dan kini memenangi perlumbaan ketahanan selama sembilan jam," katanya.

Ravindran berkata, pembabitan Toyota dalam sukan permotoran Malaysia lebih penting menyumbang untuk membantu mendedahkan dan melahirkan lebih ramai bakat pemanduan muda baharu.

PASUKAN GAZOO Racing Malaysia meraikan kemenangan perlumbaan S1K.
PASUKAN GAZOO Racing Malaysia meraikan kemenangan perlumbaan S1K.

"Ia berkaitan memberi kembali kepada masyarakat dan dalam hal ini, ia bermakna menyediakan bakat muda Malaysia yang berpotensi dengan platform yang betul dan peluang untuk berkembang sebagai pemandu yang berdaya saing.

"Kami cukup konsisten dan sepanjang program GAZOO Racing Malaysia sejak lima tahun lalu, banyak program diperkenalkan seperti Program Pembangunan Bakat Muda dan Kelas Rookie," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 6:17 AM