MEMANDU tanpa rehat mencukupi undang microsleep. - FOTO Google
MEMANDU tanpa rehat mencukupi undang microsleep. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


DIANGGARKAN sebanyak 2,500 hingga 3,000 kemalangan jalan raya di negara ini, terutama kemalangan membabitkan kecederaan parah dan maut berpunca daripada 'microsleep' (terlelap).

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata, daripada jumlah itu, kebanyakan kemalangan yang direkodkan berpunca daripada kenderaan berat.

Katanya, pemandu kenderaan berat lebih berisiko berdepan microsleep kerana perlu memandu membabitkan perjalanan lama dan jauh.

"Pemandu kenderaan berat perlu memandu tanpa rehat mencukupi kerana upah bergantung kepada 'trip'. Oleh itu, ada dalam kalangan mereka sanggup mengorbankan waktu rehat untuk cepat sampai ke destinasi.

"Tambahan pula dengan muatan berat, mereka tidak dapat memandu laju menyebabkan tempoh yang lama berada di atas jalan.

"Selain itu, pemandu yang berdepan masalah kesihatan seperti diabetes dan masalah tidur turut mempunyai risiko mengalami masalah ini," katanya.

Mengulas lanjut, berdasarkan kajian, jika terlelap selama tiga saat dengan kelajuan 60 kilometer sejam, kenderaan boleh bergerak sejauh 50 meter.

MANFAATKAN kemudahan rehat dan rawat. - FOTO Google
MANFAATKAN kemudahan rehat dan rawat. - FOTO Google

PEMANDU kenderaan berat lebih berisiko berdepan microsleep. - FOTO Google
PEMANDU kenderaan berat lebih berisiko berdepan microsleep. - FOTO Google

"Dalam tempoh singkat ini, apa sahaja boleh berlaku termasuk kenderaan boleh masuk lorong salah sehingga mengakibatkan kemalangan," katanya.

Beliau mengakui, biarpun banyak kes kemalangan membabitkan microsleep berlaku, kesedaran masyarakat masih kurang.

"Pelbagai usaha sudah dijalankan termasuk memberi kopi percuma, namun masih ramai mengambil mudah," katanya.

Jelasnya, antara langkah proaktif yang boleh diambil adalah dengan menggalakkan atau menguatkuasakan penggunaan peranti mencegah microsleep.

"Saya difahamkan, peranti ini sudah digunakan sebuah syarikat minyak di negara ini untuk mencegah pemandu lori minyak mengalami microsleep. Apabila saiz anak dilihat mengecil, maklumat akan dihantar ke ibu pejabat untuk tindakan lanjut.

"Langkah ini boleh dipertimbangkan termasuk pemandu kenderaan biasa kerana mampu mencegah kemalangan berpunca daripada microsleep," katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan supaya pemandu lebih berdisiplin dengan mendapatkan rehat selepas memandu sekurang-kurangnya dua jam.

"Manfaatkan kemudahan rehat dan rawat yang disediakan untuk berehat sekurang-kurang 15 minit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 6:43 AM